MENEROKA destinasi pelancongan terindah di dunia mungkin merupakan salah satu matlamat dalam bucket list anda untuk direalisasikan bersama pasangan, keluarga mahupun rakan terdekat. Masih banyak tempat-tempat pelancongan yang memukau mata terdapat di pelusuk dunia yang mungkin tidak diketahui ramai. ARTIKEL BERKAITAN: 14 Tarikan Pelancong Paling Bahaya Di Dunia Berikut ialah senarai destinasi pelancongan tercantik di dunia yang boleh dilawati. 1. Antartika Antartika terletak di hujung selatan dunia sebagai benua terpencil tetapi masih memiliki kawasan pelancongan yang menakjubkan. Walaupun kedengaran agak pelik, ia mempunyai perkhidmatan khas yang menyediakan pakej perjalanan ke benua Antartika disamping dapat menerokai kawasan sekitarnya. Pelancong yang bercuti di Antartika boleh melawat ke Pulau Deception, Rumah Bransfield, Muzium Georgia Selatan, Gereja Trinity dan banyak lagi. 2. Algarve, Portugal Algarve terletak di bahagian selatan Portugal termasuk sebagai salah satu pusat pelancongan kerana selalu menerima kunjungan pelancong tempatan dan asing. Kecantikan pantai-pantai yang terbentang luas seperti Praia Sao Rafael, Praia de Benagil, Tavira Island, hingga muzium, taman negara dan taman rekreasi mampu menarik perhatian pelancong. Malah beberapa penginapan mampu milik di Algarve juga turut disediakan - salah satunya ialah Casa Me di Lagos yang sesuai untuk cuti musim sejuk. 3. Bali, Indonesia Menurut CNtraveller, Pulau Bali di Indonesia antara pusat pelancongan yang paling cantik di dunia. Terutamanya di kawasan Ubud, terdapat desa-desa artistik yang sederhana, kuil, serta mempunyai sawah hijau, hutan rimbun dan kawasannya yang luas. Selain memiliki budaya yang unik memaparkan kedamaian dan ketenangan, Pulau Dewata juga terkenal dengan keindahan laut yang menjadi syurga kepada pelayar tempatan mahupun luar negara.Pusat peranginan pantainya juga mewah dengan keindahan pemandangan pada waktu malam. 4. Antelope Canyon, Arizona Antelope Canyon di Arizona, Amerika Syarikat sesuai dijadikan destinasi pelancongan bagi mereka yang gemarkan dunia fotografi dek kerana tempat tersebut memiliki spot menarik untuk berswafoto dan sebagainya. Untuk makluman, Antelope Canyon adalah jurang di bumi yang terbentuk oleh hakisan batu pasir Navajo selama beribu-ribu tahun lamanya. Dinding Antelope juga memiliki perubahan warna, terutama apabila ia terdedah kepada cahaya matahari, menjadikannya kelihatan berwarna-warni dan cantik. 5. Marrakesh, Maghribi Marrakesh, Maghribi yang mendapat jolokan sebagai kota merah ini semakin mendapat perhatian pelancong sebagai destinasi wajib untuk dikunjungi. Keindahan kotanya membuat ramai terpanggil untuk ke sana sekaligus merasai era Maghribi purba. Antara destinasi yang boleh dilawati adalah seperti Jardin Majorelle, kawasan Jemaa el-Fna atau menginap di Villa Mandarin Oriental Marrakech. 6. Shark Bay, Australia Shark Bay terletak di bahagian hujung barat tanah besar Australia dan merupakan tapak warisan dunia Unesco. Kawasan yang kini popular sebagai tempat pelancongan itu diasaskan pada abad ke-17 dan ditemui oleh Kapten Cook dan penjelajah Belanda. Seluruh tempat di Shark Bay dipenuhi deretan keajaiban alam yang menakjubkan, malah fenomena di tempat itu dikatakan jarang berlaku dan paling indah. 7. Svalbard, Norway Kepulauan Svalbard adalah wilayah utara di Norway yang terletak di lautan Artik. Kehidupan penduduk Svalbard telah diketahui wujud bersama beruang kutub, malah bilangan mamalia marin lebih banyak daripada manusia. Svalbard merupakan salah satu destinasi pelancongan tercantik di dunia kerana di tempat ini pengunjung boleh melihat sendiri fenomena alam yang sempurna iaitu Aurora Borealis dan Midnight Sun. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI