suria

Dah lama tak ke Singapura? Ketahui 8 tarikan terkini wajib dikunjungi, photo op pun banyak!

Singapura memperkenalkan pelbagai aktiviti baharu untuk tarikan pelancong.

SEMPADAN perjalanan Malaysia kini dibuka dengan beberapa kelonggaran prosedur di samping keperluan ujian untuk Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura.

Tidak hairanlah, ramai diantara kita yang tidak sabar untuk menaiki kapal terbang menuju ke destinasi pilihan, terutamanya negara jiran terdekat seperti Singapura.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak melancong gaya mewah... Ini 5 cara tempah tiket penerbangan business class tapi murah

Singapura kini memperkenalkan pelbagai tarikan baru daripada suasana muzium yang mengasyikkan kepada aktiviti luar seperti berbasikal diatas air dan go-karting.

Bukan itu sahaja, terdapat beberapa tarikan dan aktiviti yang baru dibuka dan ianya wajib untuk anda kunjungi ketika sampai di republik ini, termasuklah;

1. SkyHelix Sentosa

Jika anda gemar melihat pemandangan yang menarik, gondola terbuka ini akan memberikan anda tempat duduk di barisan hadapan dengan pemandangan panoramik Sentosa dan kawasan dermaga sekitar dari ketinggian 35 meter di atas tanah.

Setiap perjalanan mengambil masa 12 minit, termasuk dua minit naik dan turun serta 10 minit di puncak, di mana gondola akan berputar perlahan-lahan supaya anda dapat menikmati pemandangan sekeliling.

Menariknya, anda boleh berehat dan minum semasa menaikinya. Malah tidak seperti roller coaster, telefon bimbit dibenarkan dibawa untuk anda merakam seberapa banyak gambar untuk kenang-kenangan.

2. Menara Jam Teater Victoria

Penuhi fantasi anda dengan bermain-main di menara loceng katedral gothic di Teater Victoria dan dewan konsert, selain dapat menikmati pemandangan bandar pulau yang maju itu dari perspektif berbeza.

Selain itu, anda juga boleh menerokai sejarah bangunan, seni bina dan pemasangan baharu disamping dapat mengetahui lebih lanjut tentang menara jam itu sendiri.

Anda disarankan untuk memakai pakaian yang selesa dan kasut sukan, ia berikutan pendakian dengan ketinggian 54 meter itu bukan mudah.

3. Kingfisher Wetlands di Gardens by the Bay

Selain itu, jika anda mencari aktiviti luar untuk dilakukan bersama pasangan, Kingfisher Wetlands di Gardens by the Bay yang baru sahaja dibuka adalah pilihan tepat.

Dengan keluasan 15,000 persegi yang menempatkan lebih 200 pokok bakau asli seperti Bakau Oren Hulu dan Bakau Kelip-Kelip. Malah ia merupakan tempat bird-watchers, jurugambar alam semula jadi dan kawasan untuk mereka yang memerlukan suntikan alam.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai beberapa air terjun, padang lalang dan juga arca yang sesuai untuk merakam moment yang sempurna.

4. Muzium ais krim Singapura

Muzium Ais Krim (MOIC) yang dinanti-nantikan akhirnya berada di Singapura, malah terdapat sebuah kolam merah jambu yang dipenuhi taburan warna-warni.

Ia merupakan tarikan ikonik bertaraf global yang sebelumnya berpangkalan di Amerika Syarikat. Anda akan dibawa ke dunia nyata dengan pemandangan menarik, bunyi yang manis, hidangan lazat dan permainan menghiburkan merentasi 14 pemasangan multi-sensory.

Pun begitu, pengunjung akan dapat menikmati hidangan ais krim tanpa had yang dicipta semula dengan sentuhan pakar di Singapura, termasuk ais krim Pulut Hitam Potong, Lemon Bliss Balls, Apple Pie Soft Serve, Lychee Bandung dan Taro Milk Tea serta Sandwich Ice Cream bersama perisa unik aiskrim Pina Colada.

5. Tropical Montane Orchidetum di Taman Botanik Singapura

Bagi mereka yang ingin mencari ketenangan dengan mengelakkan dunia talian dan pekerjaan, Orkidetum Montane Tropika adalah tempat baru yang sesuai untuk pengunjung bersantai.

Ia terletak di Taman Orkid Nasional di Taman Botanik Singapura yang menempatkan 1,000 spesis orkid dan pelbagai bunga kacukan serta tumbuhan paku pakis yang lain.

Dikatakan, di taman dalam sebuah rumah kaca ini terdapat penghawa dingin yang dipanggil Sembcorp Cool House untuk memastikan anda sentiasa berasa sejuk, malahan ia juga menjadi lokasi temu janji bersama pasangan.

6. Galeri VR di Muzium ArtScience Singapura

Dilengkapi dengan teknologi tercanggih daripada set kepala hingga controller, Galeri VR Spacewalkers di Muzium ArtScience Singapura menanti pengunjung untuk merasai pengalaman menyeronokkan.

Ia juga unik dengan susunan daripada beberapa artis, muzium dan festival filem yang paling terkenal di dunia, sehingga pengunjung tidak dapat melupakan pengalaman itu.

Bagaimanapun, Spacewalkers ialah penerokaan kehidupan yang menyebabkan anda seolah-olah melambung tinggi di luar bumi melalui dua karya seni Realiti Maya yang menakjubkan dan dipersembahkan di Galeri VR Muzium.

7. Waterbike Singapura

Manakala bagi mereka yang ingin merasai pengalaman baru dan mencari sukan santai, aktiviti berbasikal di atas air adalah yang paling sesuai.

Ia adalah aktiviti berbasikal tanpa basah sambil menghirup udara segar di atas air melintasi laluan masuk dan keluar ke Singapura.

Oleh kerana itu, aktiviti ini bukan sahaja untuk mereka yang mencari sukan baru, namun ia turut sesuai untuk aktiviti bersama keluarga dan anak-anak.

8. Litar Go-Kart KF1

Bagi mereka yang mencari keseronakan luar biasa yang menyemarakkan lagi tenaga, berlumba di Litar Karting KF1 adalah pengalaman yang harus dirasai setiap pengunjung.

Tidak hanya disediakan kepada golongan dewasa, Litar Go-Karf KF1 juga menyediakan perlumbaan mesra dan berdaya saing kepada usia seawal sembilan tahun.

Kanak-kanak bawah umur akan dibenarkan berlumba dengan kelajuan 30km/j dengan memilih sesi karting peringkat novis, disamping dapat berlumba tanpa berada di bawah terik matahari.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain