suria

Jepun kembali meriah mulai Oktober! Pelancong asing boleh melawat tanpa visa, had ketibaan pun tiada

Pelawat individu dibenarkan masuk dan Jepun akan mengembalikan pengecualian visa. Foto: AP/Hiro Komae.

JEPUN bakal menamatkan sekatan Covid-19 yang dikenakan ke atas pelancong asing dengan pembukaan semula sempadan bermula 11 Oktober depan.

Menurut Perdana Menteri Fumio Kishida, pelawat individu mula dibenarkan masuk dan Jepun akan mengembalikan pengecualian visa.

Ketika berucap dalam sidang akhbar di New York, dia mengumumkan bahawa had ketibaan harian di Jepun juga akan berakhir.

Jepun mengumumkan langkah untuk membatalkan sekatan ke atas pelancong asing selepas gelombang wabak menakutkan itu semakin reda.

Nilai mata wang Yen turut merosot ke paras terendah berbanding dolar dalam tempoh hampir suku abad, menjadikan kepulauan itu sebagai destinasi yang murah dan menarik untuk pelawat dari luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak susah jika OKU berkerusi roda nak melancong... Bekas atlet paralimpik buat solo trip dari Ipoh ke Bangkok naik train

Menurut Kishida lagi, pada masa yang sama diskaun untuk perjalanan domestik juga akan diperkenalkan.

Sebelum penularan Covid-19, Jepun membenarkan pelawat dari 68 negara dan wilayah, termasuk Amerika Syarikat dan Singapura, untuk tinggal selama 90 hari tanpa visa.

Bilangan pengunjung mencapai rekod hampir 32 juta pada 2019, merosot kepada kira-kira 246,000 tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan perubahan kepada undang-undang yang membolehkan hotel menolak tetamu yang enggan mematuhi langkah kawalan jangkitan.

Berbeza dengan kebanyakan negara, topeng muka kekal digunakan secara universal di Jepun walaupun pada masa ini tiada kewajipan undang-undang untuk menggunakannya. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain