suria

Perhatian wanita! Ikuti 5 tip ini jika travel solo... jadikan perjalanan selamat, menyeronokkan

Ramai wanita kini suka mengembara secara solo. Gambar hiasan

SEJAK peralihan ke fasa endemik Covid-19, sektor pelancongan di serata dunia kembali rancak.

Selepas pintu sempadan di kebanyakan negara dibuka secara beransur-ansur tahun lalu, ramai mengambil peluang untuk 'terbang' ke destinasi percutian.

Mungkin ada yang belum berkesempatan untuk melancong selepas dua tahun 'terkurung' gara-gara wabak Covid-19 serta kesibukan bekerja, justeru sekarang paling sesuai untuk merehatkan minda.

Bercakap mengenai percutian yang menenangkan minda, ada yang memilih untuk melancong bersama rakan-rakan, namun ada juga lebih selesa travel secara solo.

Semakin ramai yang berani menjadi 'solo traveller' kerana mahu mengutip pengalaman merasai pengembaraan yang lebih 'adventure' atau sekadar mahu 'healing', namun perlu diingat, mengembara bersendirian mempunyai risiko yang tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan takut! Empat pengembara kongsi kisah buat anda jatuh cinta 'travel solo'

Menurut tinjauan terbaharu yang dipetik oleh syarikat perkhidmatan keselamatan dan kesihatan terkemuka di dunia, International SOS, sebanyak 88 peratus wanita mengatakan mereka agak terancam atau berasa tidak selamat semasa dalam perjalanan; dan 12 peratus wanita diserang atau diancam secara fizikal.

Sementara itu, hasil tinjauan Persatuan Perjalanan Perniagaan Global (GBTA) terhadap 503 pengembara perniagaan wanita mendapati bahawa 83 peratus responden mengalami kebimbangan atau insiden berkaitan keselamatan, dan 90 peratus menunjukkan kebimbangan keselamatan mempengaruhi cara mereka menghabiskan masa lapang dalam perjalanan perniagaan.

solo 2

Sentiasa mengemaskini lokasi anda kepada ahli keluarga atau kenalan rapat. Gambar hiasan

Justeru sebagai langkah keselamatan, International SOS menyediakan beberapa tip perjalanan untuk membantu meminimumkan risiko dan membantu wanita menjadikan perjalanan mereka selamat dan menyeronokkan.

1) Berhati-hati dengan norma, budaya lokasi

Membuat sedikit carian dan penyelidikan terhadap destinasi pelancongan sebelum ketibaan adalah penting, walaupun ia hanya untuk satu malam atau sekadar singgah sebentar. Maklumat yang paling penting untuk diketahui tentang sesuatu lokasi ialah norma budaya, di mana ia dibentuk oleh agama anutan majoriti di negara tersebut.

2) Peka terhadap kod pakaian

Kebanyakan negara mempunyai idea berbeza tentang cara wanita harus berpakaian dan berkelakuan. Orang akan membuat andaian mengenai anda berdasarkan apa yang anda pakai. Walaupun anda tidak bersetuju dengan adat tertentu, namun ia akan menjadikan perjalanan anda lebih menyeronokkan sekiranya menghormati budaya tempatan.

3) Nasihat keselamatan am

Antaranya, memulakan perjalanan pada waktu siang; jangan memakai barang kemas mahal pada anggota yang jelas kelihatan; berwaspada dengan barangan peribadi dan jika anda berasa sangat gementar di bandar yang tidak dikenali, pastikan mengekalkan hubungan dengan rakan atau saudara semasa melancong bersendirian. Maklumkan individu berkenaan tentang lokasi anda dan berikan mereka gambaran menyeluruh tentang rancangan anda.

4) Penjagaan kesihatan

Pastikan anda membawa ubat yang mencukupi jika anda bergantung kepada perubatan, produk kebersihan kewanitaan dan kontraseptif untuk bertahan sepanjang perjalanan.

5) Percaya naluri

Salah satu alat terpenting yang kita semua ada ialah naluri. Jika anda berasa tidak sedap hati, ikutlah naluri dan segera keluar dari situasi berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain