suria

Tiga kota, tiga suasana berbeza... Jangan lepaskan peluang rasai pengalaman shopping, healing dan budaya di Vietnam

Vietnam menjanjikan banyak lokasi dan pengalaman menarik yang tidak akan dilupakan pelancong.

VIETNAM merupakan salah satu destinasi pelancongan yang digemari rakyat Malaysia.

Jika anda sedang merancang untuk melancong ke tiga destinasi sekaligus di Vietnam, anda perlu mencuba Hoi An, Quy Nhon dan Ho Chi Minh.

Mana tidaknya, jika disebut harga kain yang murah dan pilihan yang pelbagai, antara destinasi pilihan ialah Hoi An dan Ho Chi Minh.

Jika mahukan makanan laut segar dengan harga yang berpatutan, Quy Nhon boleh dijadikan pilihan terutamanya bagi foodie.

Anantara Quy Nhon pool

Penulis di Anantara Quy Nhon Resort.

Quy Nhon merupakan sebuah destinasi di Vietnam yang belum dipelopori sepenuhnya oleh pelancong.

Selain daripada makanan laut segar, Quy Nhon juga merupakan lokasi menarik untuk menjejaki sejarah Vietnam antaranya tentang Melayu Champa.

Rakyat Malaysia yang gemar ke Hoi An pastinya tahu bahawa ia merupakan tempat untuk menempah pakaian seperti suit dan juga pakaian wanita yang boleh disiapkan dalam masa tiga hari.

Namun, kota Hoi An bukan sahaja untuk tujuan tersebut.

Sungai Hoi An

Pelancong menyusuri Sungai Hoi An.

Kota lama ini merupakan sebuah kota di bawah Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang masih memelihara ciri-ciri kotanya sekitar abad ke-15 sebagai sebuah pelabuhan perdagangan utama di Vitenam.

Kota lama Hoi An semakin hidup di waktu malam apabila dilimpahi dengan cahaya lampu tanglung dari pelbagai warna dan bentuk. Tanglung ini diberi nama Hoa Dang atau tanglung bunga.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu kelainan di Terengganu? Setiu ‘syurga’ pencinta alam semula jadi... Paragliding Bukit Bubus paling menakjubkan!

Sepanjang Sungai Hoi An di waktu malam akan dipenuhi sampan-sampan membawa penumpang yang ingin menikmati pemandangan kota lama ini.

Terdapat pelbagai pilihan untuk pelancong memilih lokasi menginap di Hoi An.

Jika anda mahukan lokasi yang strategik berhampiran dengan kota lama Hoi An, Anantara Hoi An perlu berada dalam senarai penginapan pilihan anda.

Hanya lebih kurang lima minit berjalan, anda sudah pun berada di tengah kota lama ini.

Walaupun ia berhampiran dengan pusat kota, namun anda masih mendapat

yang dinginkan dan jauh dari kebisingan pelancong yang memenuhi kota Hoi An.

Setelah puas berjalan di Hoi An mungkin anda mahukan destinasi yang lebih tenang untuk rehat dan rawat.

Quy Nhon Food Street

Salah satu tempat yang wajib dikunjungi di Quy Nhon.

Quy Nhon adalah antara destinasi yang sesuai kerana bandar kecil ini memberikan anda ruang untuk rejuvinasi diri.

Terdapat pelbagai cara untuk ke Quy Nhon sama ada menaiki bas atau keretapi.

Jika mahu menyelusuri kampung-kampung dengan pemandangan sawah padi di samping merentas sungai dan tasik, pengakutan keretapi adalah pilihan yang terbaik.

Jika anda mahu menikmati pengangkutan kereta api yang mewah dan selesa, Vietage menawarkan perkhidmatan tersebut.

Perjalanan selama enam jam ke Quy Nhon akan terasa sungguh singkat kerana sepanjang perjalanan anda akan dijamu dengan pelbagai juadah mengikut menu yang disediakan di samping pakej spa yang disediakan sewaktu anda menaiki kereta api ini.

Setibanya di Quy Nhon, ke mana harus anda pergi?

Untuk penginapan, sekiranya anda mahukan suasana romantis dan tenang, Anantara Quy Nhon adalah pilihan yang tepat.

Tidak jauh dari tempat penginapan ini anda akan tiba di bandar Quy Nhon di mana anda akan menjadi rambang mata melihat pilihan makanan laut segar yang disediakan dengan harga yang sangat berpatutan.

Pasar Besar Ben Thanh Ho Chi Minh

Syurga membeli belah di Ho Chi Minh, Pasa Besar ben Thanh.

Selain itu, terdapat juga banyak monumen bersejarah yang boleh dilawati antaranya Kuil Cham yang sudah mencecah usia 800 tahun.

Lokasi ketiga ialah ibu kota Vietnam iaitu Ho Chi Minh.

Paling mudah dan selesa ke sana ialah dengan menaiki kapal terbang domestik. Vietjet merupakan salah satu penerbangan domestik tambang murah yang boleh dijadikan sebagai salah satu pilihan untuk ke Ho Chi Minh dari Quy Nhon.

Vietjet juga menyediakan penerbangan terus dari Ho Chi Minh ke Kuala Lumpur.

Jadi, ada apa dengan bandar Ho Chi Minh?

Jika anda mahu membeli belah, pasar Ben Thanh adalah tempatnya.

Kain, pakaian wanita dan lelaki, tidak lupa juga makanan tempatan seperti mi Vietnam yang dikenali sebagai Pho dan juga Banh Mi iaitu sandwich versi Vietnam boleh di dapati di pasar ini.

Jika risaukan tentang makanan halal, usah gusar. Di sekitar pasar ini terdapat banyak kedai makanan halal dan kebanyakan daripada pengusaha restoran boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik.

Keratapi Vietage

Menaiki kereta api ke Quy Nhon.

Mahukan sedikit cabaran? Anda boleh menaiki motor untuk ke lokasi pelancong.

Kesesakan kenderaan terutama motor di bandar Ho Chi Minh ini membuatkan anda terasa berdebar untuk menaiki motor.

Namun, ia mempercepatkan perjalanan anda untuk ke lokasi seperti Muzium Perang Vietnam, Pejabat Pos Lama Ho Chi Minh dan Pasar Bunga.

Tiga destinasi di Vietnam dengan tiga suasana yang berbeza.

Jika anda mahu rasakan perbezaan ini, melanconglah ke Hoi An, Quy Nhon dan Ho Chi Minh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain