suria

AirAsia X akhirnya terbang ke Kazakhstan... Boleh rancang percutian bermula Mac tahun depan

Majlis pelancaran yang diadakan di Kedutaan Besar Republik Kazakhstan di Kuala Lumpur pada Khamis.

SEBUT sahaja tentang Kazakhstan pasti kita akan terbayang tentang keindahan alam yang cukup menakjubkan.

Kini hasrat untuk melihat sendiri keindahan negara itu semakin mudah apabila AirAsia X (AAX) melebarkan sayapnya dan bakal terbang secara langsung ke Almaty, Kazakhstan bermula 14 Mac 2024.

Dengan penerokaan baharu ini, AirAsia X yakin akan menyumbang peningkatan tinggi dalam perjalanan dua hala antara Kuala Lumpur dan destinasi unik ini dengan aksesibiliti yang lebih berpatutan.

Almaty yang merupakan pusat perdagangan dan kebudayaan Kazakhstan menawarkan landskap yang indah, kekayaan warisan budaya dan campuran perpaduan tradisional dan moden untuk pengembara.

IMG_4991

AirAsia X memperkenalkan laluan baharu kepada penumpang yang ingin bercuti di Kazakhstan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, ini adalah pasaran baru sepenuhnya bagi AAX dan merupakan laluan strategik untuk diteroka secara lebih luas lagi, sekali gus mendekatkan bahagian dunia lain kepada Asia Tenggara.

"Sebagai usaha pertama kami ke Asia Tengah, pengembangan ke pasaran Kazakhstan adalah bukti kukuh terhadap visi dan tekad kami untuk meneroka destinasi baru serta meneruskan perkhidmatan ke destinasi paling popular kami selepas pandemik.

"Langkah untuk memperkenalkan penerbangan langsung ke Almaty dijangka akan mendorong pertukaran perdagangan, perdagangan dan pendidikan dengan mengambil kira status Kazakhstan sebagai negara terkaya di Asia Tengah.

“Sempena sambutan ulang tahun ke-16 AirAsia X pada bulan ini, kami tetap komited untuk menyediakan penyambungan yang tiada tandingannya dengan tambang yang bernilai hebat untuk destinasi kegemaran para tetamu kami," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran laluan baharu berkenaan di Kedutaan Besar Republik Kazakhstan di Kuala Lumpur pada Khamis.

IMG_4990

Sekitar majlis perasmian laluan baharu ke Kazakhstan.

Sementara itu Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev berkata, Almaty berperanan sebagai gerbang ke salah satu daripada sepuluh negara terbesar di dunia.

"Penglibatan AirAsia X ke Kazakhstan merupakan suatu pencapaian yang membanggakan dalam hubungan dua hala. Inisiatif strategik ini tidak hanya mengukuhkan ikatan budaya dan ekonomi antara Kazakhstan dan Malaysia.

"Tetapi ia menyediakan pilihan yang berpatutan bagi pelancong di rantau ini untuk menerokai keindahan Almaty dan seluruh Kazakhstan sebagai negara terbesar ke-9 di dunia dengan kemajuan digital yang melangkaui beberapa negara Eropah, Asia, dan Amerika," katanya.

Jadual penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Almaty (ALA) adalah seperti berikut:

Penerbangan D7600 bagi laluan KUL-ALA, perlepasan adalah pada pukul 12.50 tengah hari dan waktu ketibaan pada 6.45 petang dengan kekerapan pada hari Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.

Penerbangan D7601 bagi laluan ALA-KUL pula, perlepasan adalah pada pukul 8.05 malam dan waktu ketibaan pada 6.05 pagi dengan kekerapan hari Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.

Jadi tunggu apa lagi, rancang jadual perjalanan anda untuk percutian pada pertengah Mac 2024 sekarang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain