suria

Suka pedas? Buka kasut, duduk bersila, nikmati Nasi Bergaduh & 22 sambal

BUKAN nama kedainya sahaja kedengaran pelik, nama-nama makanannya pun tidak kurang anehnya!

Sudahlah pelanggan disuruh buka kasut dan duduk bersila untuk makan, menyelak helaian menu untuk pesan makanan pun boleh buat dahi pelanggan berkerut, apatah lagi bagi yang pertama kali datang.

Sebenarnya itulah keunikan dan keistimewaan Tempat Makan Lesehan yang menyajikan hidangan popular dari Indonesia, atau lebih khusus lagi Yogyakarta, tetapi hanya terletak di Seri Kembangan, Selangor.

Makan sambil duduk bersila lebih santai.

Bagi yang tidak tahu, 'lesehan' adalah perkataan Indonesia yang bermaksud bersila yang mana banyak kedai makan tempatan mengetengahkan konsep makan berlesehan di ruang terbuka atau di kaki-kaki lima.

Sebaik sahaja anda duduk di lantai dengan meja rendah beralaskan surat khabar, mata pasti 'melilau' memerhati dekorasi kedai. Memang ringkas, tapi 'mood' klasik ala Indonesia itu tetap ada.

Koleksi kaset artis popular luar dan dalam negara menjadi sebahagian daripada dekorasi kedai.

Poster filem dari seberang kegilaan orang kita, 'Ada Apa Dengan Cinta', novel Aku yang dibaca oleh hero filem tersebut, Rangga, koleksi kaset dan kain batik di dinding sudah memadai untuk menghias ruang.

Itu dari segi hiasannya! Dari segi hidangannya pula, kedai ini menawarkan 22 jenis sambal yang mana pelanggan hanya perlu buka menu, tanya selera.

Sambal terung.

Ada sambal kedondong yang rasanya manis-pedas, ada sambal ijo, sambal terung, sambal mangga, paru, sotong, ikan bilis dan banyak lagi. Semuanya pedas menyengat.

Bayangkan nasi putih panas-panas dimakan dengan sambal pilihan. Licin sahaja pinggan, boleh terbaring anda dibuatnya!

Pemilik restoran, Kamarul Anuar Mohamed Nasir, 36, berkata dia sengaja menamakan hidangannya dengan nama pelik bagi menarik perhatian pelanggan seperti Nasi Bergaduh, Nasi Goreng Gobal-Gabul, Nasi Goreng Gila dan Bakso Beranak.

Nasi Bergaduh ramai peminat!

Walaupun pelbagai hidangan masyarakat Indonesia ditawarkan di sini, Nasi Bergaduh ibarat membawa tuah kepada Tempat Makan Lesehan.

"Selain 22 jenis sambal dan lauk pauk, kita juga ada aneka mi dan nasi goreng tapi ramai pelanggan 'berkenan' dengan Nasi Bergaduh.

"Mungkin mereka suka sebab ia menggabungkan ayam dan daging penyet serta tiga sambal iaitu dua jenis sambal penyet dan sambal belado pedas manis," katanya.

Rambang mata nak pilih menu? Jangan risau kerana pemilik kedai ini sedia membantu.

Selain itu, Nasi Goreng Gila, asli dari Jakarta pun tak kurang mantap! Mana tidaknya, di dalamnya ada ayam, daging, hati, paru, sosej, udang dan sotong. Yang penting harga makanan di sini berpatutan, tak mahal gila-gila.

Nasi Goreng Gila

Kamarul Anuar yang mengusahakan restoran ini bersama adiknya Nurul Hana, 34, berkata bagi memastikan keaslian rasa hidangan negara jiran, tukang masak dari Indonesia diupah.

"Saya akan pastikan cili dan bahan mentah lain yang digunakan setiap hari segar. Begitu juga dengan sambal, semuanya baharu dan segar apabila ia dihidangkan di meja pelanggan," katanya.

Sup rawon pun enak juga.

Hidangan lain yang patut dicuba di sini termasuklah mi pangsit, sup rawon, gado-gado, aneka mi Jawa, keli dan tilapia goreng atau bakar.

Disebabkan kepedasan sudah menjadi ‘trademark’ kedai ini, mustahillah jika anda tak mahu pesan minuman.

Jus jeruk atau alpukat pasti akan membuatkan pengalaman anda makan di sini menjadi lebih manis.

Artikel Lain