SEKEPING roti empat segi dibakar perlahan-lahan selama seminit, kemudian dipecahkan sebiji telur separuh masak dan kaya buatan sendiri di setiap penjuru roti sebelum dihantar kepada pelanggan. Ia mungkin sekadar roti dengan telur separuh masak tetapi di Kopitiam Kita, Kota Bharu, Kelantan ia dikenali sebagai Roti Titab yang menjadi buruan sehingga ada yang sanggup menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kelantan semata-mata untuk merasai keenakan hidangan itu. ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup redah 450km demi roti paung gebu, rupa-rupanya ini rahsianya! Berkongsi kisah makanan ini, pemilik kopitiam, Wong Nye Hua, 63, berkata ia bermula pada 2010 ketika dia bercuti ke Guangzhou, China selepas melihat masyarakat di sana bersarapan. "Di Guangzhou, saya lihat terdapat pelbagai roti dijual dan antara yang popular adalah roti yang dimakan bersama telur dan sos tomato. "Daripada situ, tercetus idea kepada saya untuk mencipta Roti Titab dan mula diperkenalkan kepada pelanggan hampir 10 tahun lepas," katanya kepada Bernama. Wong menghidangkan Roti Titab kepada pelanggan. Wong berkata, pada peringkat awal, dia memberi secara percuma roti itu kepada pelanggan bagi mendapatkan reaksi dan maklum balas mereka. "Hampir sebulan saya beri Roti Titab secara percuma kepada pelanggan dan ada yang mengatakan ia sangat sedap sebelum ia tersebar dari mulut ke mulut dan di media sosial. "Sejak itu Roti Titab menjadi 'hidangan pengenalan' di kopitiam yang saya usahakan sejak 14 tahun lalu," katanya yang turut mempunyai 30 pekerja berbangsa Melayu bagi menguruskan restoran itu yang dibuka pada pukul 6.30 pagi hingga 2.30 petang. Wong memberitahu idea memberi nama 'Titab' adalah merujuk kepada roti yang digunakan tebal seperti sebuah kitab. "Roti ini pula dibekalkan oleh sebuah kedai roti yang membuat khusus roti berkenaan untuk kopitiam saya," katanya. Kopitiam Kita sudah beroperasi di Kota Bahru sejak 14 tahun lalu. Oleh kerana Roti Titab yang semakin popular dan ramai peniaga yang meniru pembuatannya, Wong memutuskan untuk mematenkan nama Roti Titab melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 2016 dan kini dalam proses untuk mematenkan cara pembuatan roti berkenaan pula. Wong berkata beliau mampu menjual antara 400 hingga 500 keping Roti Titab setiap hari dan ia kini mempunyai 20 jenis Roti Titab yang berbeza. "Secara asasnya, Roti Titab mempunyai dua perisa (kaya) iaitu klasik dan pandan, dan bagi setiap perisa mempunyai lapan jenis perisa yang berbeza seperti Roti Titab Scrambled, Roti Titab Miskin dan Roti Titab Telur Mata. Harga pula serendah RM5 bagi Roti Titab biasa dan untuk Roti Titab Special (Istimewa) pula adalah RM6," katanya. Sementara itu, seorang pelanggan, Shahrir Rahim, 34, dari Kampung Padang Sakar, Salor di sini, berkata ia merupakan kunjungan kali kedua beliau ke Kopitiam Kita untuk merasai keunikan Roti Titab.