suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tak payah bawa mi segera dari Malaysia! Ini 5 lokasi makanan halal dan mesra Muslim kalau bercuti ke Hong Kong

Pengembara Muslim mempunyai pelbagai pilihan lokasi menjamu selera yang menawarkan hidangan halal dan mesra Muslim.

MENCARI makanan halal antara perkara yang sering menjadi keutamaan pengembara Muslim ketika bercuti di luar negara.

Namun, pengembara Muslim yang berkunjung ke Hong Kong mempunyai beberapa pilihan tempat makan yang boleh dimasukkan dalam itinerari, termasuk restoran bersijil halal dan premis yang menawarkan sajian mesra Muslim.

Menerusi pengalaman meneroka Hong Kong bersama Hong Kong Tourism Board (HKTB), mStar berpeluang mencuba beberapa lokasi makanan yang boleh dipertimbangkan ketika berkunjung ke kota metropolitan itu.

Daripada menikmati dim sum tempatan, hidangan hot pot hinggalah makan malam sambil menyaksikan panorama pelabuhan, berikut lima lokasi yang boleh diberikan perhatian.

Islamic Centre Canteen di Wan Chai menawarkan dim sum dan hidangan tempatan Hong Kong dengan dapur bersijil halal.

Dim sum menu popular di Islamic Centre Canteen di Wan Chai.

1. Islamic Centre Canteen, nikmati dim sum halal di pusat komuniti Islam

Terletak di tingkat lima Masjid Ammar dan Osman Ramju Sadick Islamic Centre di Wan Chai, Islamic Centre Canteen bukan sahaja menjadi pilihan komuniti Muslim setempat, malah turut dikunjungi pelancong dari pelbagai negara.

Kantin yang mempunyai dapur bersijil halal itu menawarkan pelbagai hidangan tempatan Hong Kong, sekali gus memberikan peluang kepada pengembara Muslim menikmati makanan bercita rasa tempatan tanpa mengabaikan keperluan pemakanan.

Antara menu popular yang sering menjadi pilihan pengunjung ialah dim sum, nasi goreng dan mi goreng yang dimasak segar setiap hari.

Bagi penggemar dim sum, lokasi ini pastinya menarik kerana pengunjung berpeluang menikmati sajian berkenaan dalam versi halal.

Suasana kantin yang santai juga sesuai untuk pengunjung berehat dan mengisi perut selepas seharian berjalan-jalan di sekitar bandar.

Selain pilihan makanan, kedudukannya dalam bangunan pusat Islam turut memudahkan pengunjung menunaikan solat sebelum meneruskan perjalanan.

Pengalaman menikmati hidangan hot pot halal secara bufet dengan pelbagai pilihan bahan untuk dimasak mengikut cita rasa sendiri.

Pengalaman menikmati hidangan hot pot halal secara bufet dengan pelbagai pilihan bahan untuk dimasak mengikut cita rasa sendiri.

2. Sheep Village Hot Pot Buffet, nikmati hidangan berkuah

Bagi penggemar hidangan berkuah, Sheep Village Hot Pot Buffet boleh dimasukkan dalam senarai tempat makan sepanjang berada di Hong Kong.

Restoran yang mempunyai pensijilan halal itu menawarkan konsep hidangan hot pot dengan pelbagai bahan pilihan yang boleh dimasak mengikut cita rasa masing-masing.

Konsep bufet membolehkan pelanggan menikmati pelbagai pilihan bahan makanan dalam satu hidangan, sekali gus memberikan pengalaman menjamu selera yang berbeza.

Pilihan ini juga sesuai untuk mereka yang bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan kerana hidangan hot pot lazimnya dinikmati secara berkumpulan.

Angelini menawarkan hidangan Itali dengan pilihan menu halal serta pemandangan indah Victoria Harbour.

Angelini menawarkan hidangan Itali serta pemandangan indah Victoria Harbour.

3. Angelini, restoran Itali dengan dapur bersijil halal

Bagi mereka yang menggemari masakan Itali, Angelini di Kowloon Shangri-La, Hong Kong boleh menjadi antara lokasi yang menarik untuk dikunjungi.

Diketuai Ketua Chef Eksekutif Sam Sin, restoran ini mengetengahkan hidangan Itali menggunakan bahan bermusim berkualiti yang diperoleh dari Itali.

Lebih menarik, Angelini turut memperoleh pensijilan dapur halal, sekali gus memperkukuh komitmennya menyediakan pengalaman menjamu selera kepada pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

Restoran yang menawarkan pemandangan Victoria Harbour itu turut menyediakan pilihan menu halal untuk pelanggan Muslim.

Antara menu yang boleh dicuba ialah set makan tengah hari Itali yang ditawarkan dari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang.

Pengalaman makan tengah hari itu dimulakan dengan Signature Antipasto Platter yang menampilkan lapan pilihan hidangan seperti burrata, salad ketam, udang panggang dan arancini safron.

Pengunjung kemudian boleh memilih hidangan pasta dan sajian utama seperti linguine bersama kerang, rigatoni alla carbonara, snapper puttanesca serta pipi lembu yang dimasak perlahan.

Antara tarikan istimewa yang turut disediakan ialah pencuci mulut tiramisu tanpa had menerusi pengalaman 'Tirami-scoop' yang dihidangkan terus kepada pelanggan di meja.

Bauhinia Cruise menawarkan pengalaman menikmati bufet sambil menyaksikan keindahan panorama Victoria Harbour dari atas kapal.

Bauhinia Cruise menawarkan pengalaman menikmati bufet sambil menyaksikan keindahan panorama Victoria Harbour dari atas kapal.

4. Bauhinia Cruise, makan malam halal sambil menikmati panorama pelabuhan

Pengalaman menjamu selera di Hong Kong turut boleh dinikmati dengan suasana berbeza menerusi pelayaran di sekitar Victoria Harbour menggunakan Bauhinia Cruise.

Menariknya, Harbour Cruise – Bauhinia merupakan antara restoran terapung di Hong Kong yang mempunyai pensijilan halal BOT dan Qmark.

Menerusi pelayaran makan malam A Symphony of Lights Dinner Buffet Cruise, pengunjung berpeluang menikmati bufet antarabangsa yang menawarkan pilihan menu bersijil halal sambil menyaksikan panorama bandar dari atas kapal.

Antara pengalaman yang ditawarkan termasuk pelayaran sekitar Victoria Harbour, persembahan muzik secara langsung dan dek terbuka untuk menikmati pemandangan bandar.

Lebih istimewa, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pertunjukan cahaya terkenal A Symphony of Lights yang menerangi bangunan di sekitar Hong Kong.

Sepanjang pelayaran, kapal akan melalui beberapa kawasan ikonik termasuk Central Waterfront, Tsim Sha Tsui Promenade, West Kowloon Waterfront dan kawasan Kai Tak.

Gabungan pengalaman menjamu selera serta menikmati pemandangan kota pada waktu malam menjadikan pelayaran ini pilihan menarik bagi mereka yang mahu mencuba sesuatu berbeza.

Cookies Quartet dan Palmier Museum menawarkan pengalaman mengenali sejarah serta seni pembuatan pastri palmier yang popular di Hong Kong.

Cookies Quartet dan Palmier Museum menawarkan pengalaman mengenali sejarah serta seni pembuatan pastri palmier.

5. Cookies Quartet dan Palmier Museum, persinggahan pencinta manisan

Penggemar makanan manis pula boleh memasukkan Cookies Quartet dan Palmier Museum dalam senarai persinggahan ketika berada di Hong Kong.

Terletak di Imperial Hotel, Nathan Road, Tsim Sha Tsui, kedai konsep berkenaan menggabungkan pengalaman menikmati pastri, seni dan sejarah pembuatan palmier.

Pengunjung berpeluang mengenali lebih dekat pastri berbentuk rama-rama itu yang menjadi antara produk popular jenama bakeri premium Hong Kong berkenaan.

Menariknya, ruang pameran turut memaparkan sejarah palmier yang dikatakan bermula sejak lebih 400 tahun lalu, selain memperkenalkan teknik penghasilan pastri berkenaan.

Antara keistimewaan produk Cookies Quartet ialah teknik lipatan tangan sebanyak 128 lapisan bagi menghasilkan tekstur rangup pada palmier.

Kedai berkonsep muzium seni itu turut menampilkan dekorasi dan pemasangan kreatif yang diinspirasikan daripada karya seni terkenal, sekali gus menjadikannya lokasi menarik untuk pencinta makanan dan fotografi.

Produk pastri dan biskut yang dijual juga boleh dijadikan buah tangan untuk keluarga serta rakan-rakan.

Artikel Lain