PENYANYI muda As'ad Motawh meluahkan rasa syukur karier nyanyiannya semakin diterima baik di luar negara meskipun pernah dihentam teruk.
Nyanyian As'ad dalam satu program live di Indonesia didakwa memalukan Malaysia apabila dia gagal menyanyikan lagu daripada kumpulan Armada dengan baik.
"Alhamdulillah kerana peminat sentiasa sokong saya walaupun jatuh dan org lain seakan bencikan As'ad.
"Kali pertama ke Indonesia, memang nampak jumlah peminat di Malaysia lebih ramai daripada Indonesia, tapi sekarang boleh dikatakan sama jumlahnya di kedua-dua negara," katanya kepada mStar Online.
As'ad, 16, turut berkongsi pengalamannya terbang ke Las Vegas minggu lalu untuk menghadiri jemputan Billboard Music Awards.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Senyum ini turut disertai penyanyi manis Farisha Irish ke majlis berprestij tersebut.
"Baru lapan bulan dalam industri dah dapat banyak sangat peluang, ini semua hasil sokongan peminat sehingga saya dipilih untuk menghadiri anugerah tersebut.
"Walaupun saya artis disini, tapi saya rasa seakan peminat disana.
"Ada Shawn Mandes dan ramai lagi pada malam itu, tetapi buat saya yang kurang meminati musik K-pop, persembahan daripada kumpulan BTS merupakan persembahan terbaik malam itu," ujarnya.