PELAKON Norman Hakim tidak mampu menahan air mata ketika menyambut kepulangan anak sulungnya iaitu Mohamed Danish Hakim dari Turki.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di laman Instagram, Norman bersama Abby Abadi menyambut kepulangan Danish di KLIA, pada Rabu.
Remaja berusia 15 tahun itu menyambung pengajian hafazan di Turki selama lima bulan.
Dalam video tersebut, Norman dilihat lengkap berbaju Melayu bersama bekas isteri iaitu Abby Abadi dan anak perempuan mereka Damia sedondon mengenakan baju raya berwarna hitam.
Aksi Norman menyuapkan Danish juadah raya menyentuh hati pengikut.
Menurut Norman tujuan dia berbaju Melayu serta membawa juadah raya ke lapangan terbang itu adalah untuk memberi mood raya kepada anaknya yang tidak dapat bersamanya ketika awal Aidilfitri lalu.
"Siap bekal ketupat, rendang, lemang kuah kacang segala bagai. Jumpa nanti nak terus suapkan dia sebab masa raya hari itu dia makan buah ceri sahaja.
"Baju Melayu dan sampin nak bagi dia 'feel' suasana hari raya. Insya-Allah," tulis Norman.
Rata-rata netizen yang menonton video tersebut turut sebak dan terkesan dengan apa yang dilakukan Norman dan mendoakan keluarga ini bahagia selamanya.