suria

Nak suruh bayar hutang 'adik'? Daler Yusuf kata "tak mungkin"

TERPALIT kes hutang membabitkan model kelahiran Uzbekistan iaitu Sherzod Yusuf, pelakon Daler Yusuf menjelaskan status sebenar hubungannya dengan individu itu.

Menurut Daler, mereka hanya berkawan baik dan mengenali antara satu sama lain ketika belajar di Malaysia.

"Walaupun kami tiada pertalian darah, saya anggap dia sebagai adik kerana kami mula rapat ketika belajar di kolej yang sama di Kuala Lumpur.

"Apabila timbul isu hutang membabitkan Sherzod, orang ramai mula memetik nama saya di laman sosial.

"Oleh kerana itu, saya menulis di Twitter dan menjelaskan status sebenar hubungan kami," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Daler memaklumkan dia sudah menghubungi Sherzod yang kini berada di Uzbekistan dan meminta lelaki tersebut menyelesaikan hutangnya itu.

"Saya sudah bercakap dengan Sherzod dan minta dia bertanggungjawab atas apa yang dilakukan.

"Ada netizen di laman sosial yang minta saya bayar hutang tersebut, itu tidak mungkin kerana saya pun ada komitmen lain untuk keluarga.

"Kalau dia adik kandung saya sekalipun, dia harus bertanggungjawab," ujarnya.

Sebelum ini menerusi Twitter, pelakon drama Encik Suami Mat Salleh Celup ini mendedahkan hubungan sebenarnya dengan model berkenaan.

"Salam semua, saya sedar apa yang sedang hangat di Twitter berkaitan Sherzod. Saya ingin jelaskan tentang perkara ini.

"Saya dan dia hanya kawan baik sejak kami berdua sama-sama memulakan kerjaya di Malaysia. Tapi kami bukan adik beradik kandung. Sherzod dan saya membesar di tempat berlainan di Uzbekistan dan kami menghormati satu sama lain seperti adik-beradik," tulisnya.

Daler Yusuf, Sherzod Yusuf


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi