PELAKON dan pengarah asal Nigeria iaitu Abbey Abimbola menafikan dakwaan insiden kereta miliknya yang terbakar di sebuah lokasi di Subang Bestari, Selangor pada Ahad lalu hanyalah sekadar content bagi mempromosikan filem terbarunya Bukan Hantu Biashe-Biashe.
Kecewa dengan tuduhan tidak berasas itu, Abbey menjelaskan dia terpaksa menanggung kerugian RM3,000 kerana wang miliknya telah dicuri malah segala dokumen peribadi juga hangus terbakar dalam insiden berkenaan.
“Sakit hati saya sebab bila berlaku kejadian macam ni tapi netizen cakap itu sekadar content, saya bukan orang kaya sebab hari-hari keluar buat live TikTok untuk promosikan filem saya.
“Kejadian tu berlaku pada hari Ahad dan waktu tu saya buat live di kawasan rumah terbiar jadi lepas habis live TikTok terkejut sebab nampak kereta saya terbakar.
“Habis semua dokumen penting macam kad bank, sijil kahwin, surat beranak anak saya, passport semua hilang dan terbakar... duit RM3,000 pun mereka ambil,” kata Abbey kepada mStar.
Sementara itu, Abbey memberitahu pihak polis masih lagi menjalankan siasatan mencari punca kereta Perodua Axia itu terbakar.
TONTON VIDEO PENUH DISEDIAKAN MSTAR INI.