MENERIMA komen pedas daripada juri program nyanyian One In A Million, peserta dan juga penyanyi Rezza Shah mengakui sedikit tersinggung dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Yusry itu.
Enggan terlalu lama berkecil hati, Rezza, 23, bagaimanapun berkata dia menjadikan komen itu sebagai pembakar semangat untuk menjadi seorang penyanyi yang lebih baik pada masa hadapan.
“Saya sangat menghormati komen tersebut (juri) dan juga komen pedas netizen. Walaupun ada tersinggung sedikit, tetapi bagi saya komen itu ada betulnya. Ia adalah komen membina untuk saya supaya boleh jadi penyanyi dan manusia lebih baik dalam industri dan relevan lebih lama.
“Saya terima dengan hati terbuka. saya akui ia salah saya dan akan perbaiki. Mestilah ada sedih sedikit dengan perkataan menyesal itu. Saya juga akui yang saya menyesal (dengan persembahan saya). Tetapi bagi saya okay sahaja, saya kena kuat,” katanya kepada mStar.
Ditanya mengenai masalah disiplin yang didedahkan Yusry, Rezza tampil mempertahankan dirinya dan menjelaskan perkara sebenar.
“Saya tidak buat pun maslaah disiplin. Saya ada alasan sendiri yang mana ada temu janji dengan doktor mengenai masalah kesihatan saya. Saya tidak buat benda-benda jahat dalam pertandingan,” ujarnya.
TONTON VIDEO TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI