suria

5 amalan hebat di bulan Ramadan... Rebutlah segera wahai umat Islam ketika kita diuji dengan pelbagai musibah

Rebutlah peluang di bulan Ramadan ini dengan banyak beramal dan berdoa.

AMALAN kebajikan merupakan suatu perkara baik yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh semua umat manusia. Ini kerana amalan kebajikan yang diseru oleh Allah itu termasuk semua amalan yang baik dan menjangkau semua amal soleh.

Firman Allah dalam Surah Al-Hadid ayat 21 yang maksudnya; Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang terbaik bagi seorang hamba yang mahu melipat gandakan amalan soleh. Pada Bulan Ramadan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu dapat mendidik jiwanya untuk melakukan kebaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Memadai hanya tahu baca Al-Fatihah, tak sangka mudahnya solat tarawih di rumah! Ikuti 8 saranan untuk kesempurnaan Ramadan tahun ini

Antara faktor yang boleh kita sebutkan secara ringkas ialah:

1. Ramadan merupakan bulan ketakwaan

Kita diseru untuk mentaati perintah Allah yang mana pada bulan-bulan biasa kita boleh makan dan minum serta bagi suami boleh menggauli isteri melainkan dalam beberapa keadaan yang dilarang tetapi apabila masuknya bulan Ramadan kita diminta untuk berpuasa di siang hari dengan menahan lapar dan dahaga.

Bukan itu sahaja, kita juga diminta supaya tidak menggauli isteri di siang hari pada bulan Ramahan. Ini menjadikan seseorang itu apabila patuh perintah Allah maka akan dikurniakan kepadanya sifat takwa di dalam diri mereka.

Solat terawih merupakan solat sunat yang dituntut ketika bulan Ramadan.

2. Bulan yang dapat menjaga hawa nafsu

Seseorang yang ingin menahan hawa nafsunya di luar bulan Ramadan memerlukan mujahadah yang tinggi tetapi dengan adanya bulan Ramadan seseorang itu dapat menahan nafsunya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak diredai Allah. Pada bulan Ramadan syaitan dibelenggu bagi memudahkan manusia berperang melawan hawa nafsu mereka. Ini kerana syaitan bersarang dan berjalan di dalam badan manusia melalui saluran darah untuk menghasut manusia supaya melakukan kejahatan.

3. Bulan yang dapat menajamkan fikiran

Manusia yang terlalu banyak makan akan menjadi malas untuk berfikir ataupun melakukan kerja. Ini dapat dibuktikan dengan sejarah Rasulullah yang mana pembukaan kota Mekah pada Bulan Ramadan dan berlaku juga peperangan tersebut dalam Bulan Ramadan. Lukman Al-Hakim telah berpesan kepada anaknya dengan katanya: Jika perut penuh, maka ia akan menjadikan pemikiran tidak berfungsi dan akan terbantut hikmah serta anggota badan tidak akan mengerjakan ibadah.



Penuhi bulan Ramadan dengan amal ibadat bersama keluarga.

Oleh yang demikian, apabila kita telah sampai di Bulan Ramadan maka seharusnya kita memenuhi amal kebajikan kita dengan memperbanyakkan ibadah.

Di sini ustaz akan kongsikan amalan-amalan yang boleh kita lakukan sepanjang Bulan Ramadan.

  • Solat Terawih

Solat Terawih merupakan solat sunat yang dituntut untuk kita lakukan pada Bulan Ramadan dan ia tidak boleh dilakukan pada bulan lain selain Ramadan.

Terawih menurut kata asalnya ialah duduk untuk istirehat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Ia boleh dilakukan lapan rakaat atau 20 rakaat bergantung pada kemampuan dan keikhlasan seseorang.

  • Tadarus Al Quran

Al-Quran diberikan kepada Malaikat Jibril sebagai pembawa wahyu maka Malaikat Jibril menjadi sebaik-baik malaikat (ketua bagi para malaikat). Al Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad dan baginda menjadi sebaik-baik rasul.

Al Quran diturunkan kepada umat Nabi Muhammad dan umatnya menjadi sebaik-baik umat. Al Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan Ramadan adalah sebaik-baik bulan. Al Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar dan malam Lailatul Qadar adalah sebaik-baik malam. Bayangkan jika Al Quran itu kita baca dan amalkan maka kita akan jadi manusia yang baik.

Tadarus Al Quran boleh dilakukan sama ada seorang diri ataupun secara berjemaah dengan kita membaca atau mendengar daripada Surah Al-Fatihah sehingga Surah An-Nas untuk mengkhatamkan sebuah Al Quran. Oleh yang demikian kita perlu menjadikan Bulan Ramadan bulan kita memperbanyakkan lagi bacaan Al Quran.



Perbanyakan amalan bersedekah sepanjang bulan Ramadan ini kerana ia sangat besar di sisi Allah.

  • Bersedekah

Sedekah merupakan amalan kebajikan yang sangat besar di sisi Allah. Seseorang itu boleh melakukan ibadah sedekah dalam banyak cara seperti memberi makanan kepada fakir miskin atau memberi makanan kepada orang yang mahu berbuka puasa. Sedekah menjadikan hati seseorang itu lembut dan rendah diri.

Ini kerana Bulan Ramadan juga dinamakan bulan berkasih sayang. Oleh sebab itu kita diminta untuk sentiasa mengingati orang yang lebih susah daripada kita yang mana mungkin ada di antara mereka yang tidak ada makanan.

  • Mendengar Kuliah

Pada waktu wabak Covid-19 ini agak mustahil untuk kita ke masjid dan surau bagi mendengar kuliah. Tetapi pada zaman teknologi yang serba canggih ini kuliah-kuliah semuanya di hujung jari. Kita hanya memilih ustaz-ustaz yang berkenan di hati untuk mendengar pengajaran mereka. Ia juga menjadikan Bulan Ramadan sebagai bulan kita menambah ilmu pengetahuan.

  • Berdoa

Bulan Ramadan juga merupakan bulan untuk kita berdoa meminta keampunan Allah. Tatkala Allah membuka seluas-luasnya pintu syurga dan menutup serapat-rapatnya pintu neraka serta dibuka pintu kerahmatan maka pada waktu inilah kita memohon keampunan Allah dengan kita berdoa: Wahai Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Mulia dan Engkau menyukai untuk memberikan keampunan, maka ampunilah daku Ya Allah.

Apa-apa pun kebajikan yang kita mahu lakukan di Bulan Ramadan pastikan ia dilakukan dengan ikhlas kerana Allah dan juga dengan hati yang khusyuk lagi tawaduk kepadaNya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Ramadan, Bersedekah, Amalan

Artikel Lain