suria

Umat Islam boleh berhibur asalkan patuhi 5 panduan ini namun ‘prank’, Lathi Challenge dilarang

Hiburan yang tanpa batasan dan melalaikan ditegah dalam Islam. - Gambar Sekadar Hiasan

HIBURAN merupakan satu cara untuk seseorang itu menggembirakan hati, merehatkan minda, menenangkan jiwa dan menyedapkan pendengaran.

Pendek kata, apa-apa perkara dan tindakan yang boleh menimbulkan perasaan suka, gembira, seronok dan tenang merupakan suatu hiburan.

Islam tidak menghalang untuk seseorang berhibur. Ini kerana kehidupan kita di atas muka bumi bukanlah semata-mata untuk melakukan ibadah di masjid, berzikir yang berterusan atau membaca Al-Quran sepanjang masa.

ARTIKEL BERKAITAN: Tutup segera 18 ‘pintu’ ini agar jin, syaitan tidak berjaya rasuk ke dalam diri manusia

Beribadahlah untuk kesenangan di akhirat kelak tetapi jangan lupa untuk mengambil apa yang Allah telah sediakan di atas dunia.

Kehidupan yang Allah berikan kepada kita mestilah digunakan dengan sebaik mungkin dalam mentaati perintah Allah.



Islam tak melarang hiburan kerana ia cara untuk seseorang itu menggembirakan hati, merehatkan minda, menenangkan jiwa dan menyedapkan pendengaran. - Gambar Sekadar Hiasan

Di dalam sebuah hadis bagaimana suatu hari, Hanzalah datang berjumpa Nabi bersama Abu Bakar lalu berkata: “Hanzalah telah berlaku munafik wahai Rasulullah!” Baginda menjawab: “Mengapa sebegitu?” Jawab Hanzalah: “Wahai Rasulullah! Apabila kami berada di sisimu, kamu sering mengingatkan kami tentang neraka dan syurga, sehingga kami seolah-olah dapat melihatnya di hadapan mata kami. Tetapi apabila kami meninggalkan majlismu, kami telah dilalaikan dengan anak dan isteri serta harta benda kami sehingga kami terlupa kepada peringatanmu itu.”

Maka jawab Baginda Rasulullah: Demi (Zat) yang jiwaku di TanganNya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasa ketika bersamaku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan berjabat tangan (yakni disamakan) dengan malaikat di tempat-tempat perbaringan kalian dan di jalan-jalan kalian. Tetapi, wahai Hanzalah! Sesaat begini dan sesaat begitu! – Rasulullah menyebut tiga kali”. [HR Muslim 2750]

Antara pengajaran daripada hadis ini ialah manusia diciptakan Allah selaku khalifah di atas muka bumi. Oleh yang demikian tugas khalifah adalah menguruskan soal dunia dan akhirat.

Kita tidak boleh terlepas daripada fitrah manusia iaitu berehat, tidur, mencari nafkah, bersama keluarga dan bermacam lagi sedangkan para malaikat mereka sentiasa bertasbih memuji Allah tanpa henti.

Kemudian yang dimaksudkan sesaat begini dan sesaat begitu bukanlah bererti sesaat melakukan dosa dan sesaat lagi melakukan pahala. Sesaat yang dimaksudkan mestilah menepati hukum syara' dan tidak melakukan maksiat kepada Allah.

Kerana itu Dr. Yusuf Al-Qardawi ada menyebut dalam buku Al-Halal Wa Al Haram [ms. 543:]

Justeru, Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah Al-Quran dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum...”



Hiburan mengenakan orang (prank) tidak dibenarkan dalam Islam.

Walaupun Islam tidak melarang mengenai soal hiburan tetapi perlulah kita ingat bahawa Islam tidaklah membuka ruang hiburan dengan seluas-luasnya sehingga tidak ada batasan sama sekali.

Islam memberikan satu garis panduan secara umum agar kita boleh menilai setiap hiburan yang kita lakukan.

Antara garis panduan yang ditetapkan di dalam Islam ialah:

1. Sebarang bentuk hiburan tidak boleh bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah.

2. Hiburan dalam bentuk menghina, menjatuhkan maruah atau membuka aib seseorang adalah ditegah di dalam Islam.

3. Hiburan yang menyerupai agama lain dari sudut pegangan ataupun ibadah mereka adalah dilarang sama sekali.

4. Hiburan yang tidak mendatangkan faedah sama sekali maka ia juga dilarang didalam Agama Islam.

5. Hiburan yang mengenakan orang (prank) agar mereka takut atau terkejut tidak dibenarkan didalam Islam. Seperti mana sabda Baginda Rasulullah: Tidak halal bagi seorang muslim menakut-nakutkan muslim yang lain. - [HR Abu Daud 4351].

Baru-baru ini tular satu cabaran di media sosial yang dinamakan Lathi Challenge. Dikatakan ia adalah satu cabaran di mana seseorang itu mengenakan solekan, kemudian menari tarian tradisional mengikut rentak lagu, dan dengan tiba-tiba si pelaku tadi berubah menjadi satu sosok yang menyeramkan.

Penari tersebut yang pada asalnya berupa paras elok, kemudian bertukar karakter seumpama hantu. Lathi bermaksud lidah atau ucapan.

Lirik lagu tersebut menggambarkan bahayanya pengucapan jika tidak dikawal kerana boleh menyebabkan berlakunya perkara tidak diingini. Trend terbaharu ini mula tular di negara jiran dan terkini di negara kita.

Terdapat segelintir masyarakat yang mempertikaikan pandangan ulama' jika sesuatu perkara itu jatuh kepada hukum haram maka mulalah mereka membantah mengatakan semua benda baru nak diharamkan sedangkan yang kami mahu hanyalah hiburan sahaja tidak lebih daripada itu.

Dalam mengeluarkan sesuatu hukum ia tidaklah semudah ABC dengan mengatakan itu halal dan itu haram. Ia mestilah berpandukan dalil dan kefahaman dalil. Maka disini ada beberapa isu di dalam Lathi Challenge. Dua isu utama yang perlu diambil berat adalah:



Lathi Challenge sedang menjadi ikutan ketika ini yang membimbangkan.

Pertama: Menyerupai hantu. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui rupa syaitan kerana mereka merupakan makhluk ghaib yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Kerana itu gambaran hantu mempunyai pelbagai variasi mengikut adat, budaya dan negara seseorang. Oleh itu menyerupai hantu dalam Lathi Challenge tidak mendatangkan sebarang bentuk faedah bahkan ia adalah suatu perkara yang disukai oleh musuh Allah iaitu syaitan.

Firman Allah di dalam Surah Nur ayat 21: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.

Kedua: Merubah kemulian wajah. Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan muka merupakan anggota yang mulia kerana di situ terdapat beberapa anggota yang sangat penting seperti mata, telinga hidung dan lidah.

Keindahan wajah telah kita tukar dengan solekan yang tidak mendatangkan sebarang faedah walaupun kita mengatakan ia hanyalah hiburan dan hanya mahu menunjukkan kemahiran solekan sahaja. Niat yang baik tidak menghalalkan cara. Kerana itu niat yang baik tadi mestilah selaras dengan hukum agama.

Firman Allah di dalam Surah Al-Mukminun ayat 1 hingga 3: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya, dan orang-orang yang berusaha menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan atau mengeluarkan perkataan yang sia-sia.

Sebagai seorang muslim kita diminta untuk sentiasa berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara dengan tidak mengaibkan diri sendiri dan mengelakkan perkara yang tidak mendatangkan faedah.

Sabda Rasulullah: Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya. [HR Tarmizi 2239]

Semoga kita sentiasa terpelihara daripada tipu daya syaitan yang mahu memesongkan kita setiap masa supaya menjadi hamba Allah yang derhaka kepada Maha Pencipta.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Hiburan, Lathi Challenge, Lalai, Maksiat

Artikel Lain