suria

Solat sunat sempurnakan ibadat, jangan alpa... ada 5 waktu haram menunaikannya?

Terdapat enam solat sunat berjemaah iaitu Tarawih, Aidilfitri, Aidiladha, mohon hujan (istisqa'), gerhana matahari dan bulan serta witir.

BAYANGKAN sehelai kain yang berlubang dan lompong itu umpama lalainya umat Islam dalam mengerjakan solat wajib lima waktu sehari.

Tentu sekali ia sesuatu yang menggusarkan jika tidak dapat memenuhi tuntutan agama. Maka ketika ini, amalan menunaikan solat sunat dapat menyempurnakan ibadat kita.

ARTIKEL BERKAITAN: Ucapkan 7 kalimah mulia ini... Salah satunya 'password' pengikat rohani di sisi Allah

Namun, perlu diingat dalam mengerjakan solat sunat, aspek keikhlasan penting untuk kita menjadi hamba yang dikasihi Allah.

Apakah maksud solat sunat?

Solat sunat disebut juga solat Nawafil atau Tatawwu’ iaitu solat yang dilakukan secara sukarela untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Orang yang mengerjakannya dengan ikhlas lebih dikasihi dan diberi lebih perhatian oleh Allah SWT berbanding orang yang hanya mengerjakan solat fardu semata-mata.



Solat sunat mempunyai fadilat yang tersendiri namun hakikatnya disembunyikan oleh Allah SWT.

Pada zaman Rasulullah SAW, sahabat sangat cemburu melihat baginda banyak melakukan amalan sunat, maka mereka turut berlumba-lumba melakukannya.

Solat sunat mempunyai fadilat yang tersendiri namun hakikatnya disembunyikan oleh Allah SWT.

Daripada segi hukum pula, mengerjakan solat sunat adalah mendapat pahala jika dikerjakan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

Biasanya solat sunat dilakukan sama ada secara berjemaah atau sendirian.

Enam solat sunat berjemaah adalah:

*Tarawih

*Aidilfitri

*Aidiadha

*Mohon hujan (Istisqa’)

*Gerhana matahari dan bulan

*Witir



Terdapat 15 jenis solat sunat yang boleh dilakukan sendirian termasuklah Tahajjud, Dhuha, Taubat dan Musafir.

Berikut adalah 15 Solat sunat yang dilakukan sendirian:

*Rawatib (mengiringi solat fardu)

*Tahiyyatul Masjid

*Tahajjud

*Dhuha

*Istikharah

*Isyraq

*Awwabin

*Wuduk

*Taubat

*Hajat

*Ihram

*Tawaf

*Musafir

*Mutlak

*Tasbih



Terdapat pelbagai kelebihan solat sunat termasuk mendekatkan diri kepada Allah.

Apakah kelebihan mengerjakan solat sunat?

Umumnya melakukan amalan solat sunat dapat menambah kesempurnaan dan menampung kekurangan solat fardu, meningkatkan keimanan dan mendekatkan dirinya dengan Allah.

Selain itu, ia juga membantu seseorang itu memperolehi ketenangan diri dan perasaan, juga sentiasa mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah serta mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan pada Allah.

Menurut hadis-hadis Rasulullah SAW, ada sembahyang sunat yang mempunyai keistimewaan tersendiri, bukan sahaja dari segi ganjaran tetapi juga fadilat, hikmah dan faedahnya.

Misalnya orang yang mengamalkan solat Tahajjud ditengah malam, ia bakal dikurniakan ketetapan iman, dimurahkan rezeki, di samping dipercayai dan dihormati oleh orang ramai serta doanya dimakbulkan Allah SWT.

Begitu juga mereka yang mengamalkan sembahyang sunat Dhuha, rezekinya tidak putus dan dimudahkan segala urusannya.

Bagi orang yang mengerjakan solat Tarawih di bulan Ramadhan pula diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Selain itu, orang yang mengamalkan sembahyang sunat Isyraq pula dikurniakan pahala seperti pahala Haji dan Umrah. Dan bergitulah pada solat-solat lain, ada keistimewaan yang tersendiri.



Ketika matahari hampir terbit atau sedang terbit diharamkan solat sunat.

Bilakah waktu yang diharamkan solat sunat?

Waktu yang diharamkan sembahyang sunat yang juga dikenali sebagai waktu tahrim adalah seperti berikut:

*Sesudah solat subuh

*Ketika matahari hampir terbit atau sedang terbit.

*Ketika rembang iaitu matahari tegak di atas kepala.

*Ketika matahari hampir terbenam.

*Sesudah solat asar.

Moga ilmu ini memberi manfaat buat bekalan kita untuk meneruskan kehidupan dengan tenang mengikut ajaran Islam yang indah ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain