suria

Makan terlalu kenyang antara 6 sifat tercela, menjadikan manusia sombong dan gagal kawal nafsu

Antara perkara yang boleh mengotorkan jiwa manusia adalah rakus dalam pemakanan. - Gambar Sekadar Hiasan

IMAM al-Ghazali dalam kitabnya yang berjudul al-Arba’in fi Usul al-Din (Empat Puluh Asas-asas Agama) telah menjelaskan bahawa terdapat 10 perkara yang menjadi asas utama sifat-sifat tercela.

Antara perkara yang boleh mengotorkan jiwa manusia adalah rakus dalam pemakanan. Ia merupakan asas pertama yang disebut al-Ghazali ketika menerangkan sifat-sifat tercela berkaitan jiwa.

Perut dianggap menjadi sumber kepada syahwat yang menimbulkan keinginan nafsu. Untuk mencapai keinginan tersebut, seseorang itu memerlukan harta dan berkaitan dengan harta ini ia pasti melibatkan penghormatan bagi seseorang.

ARTIKEL BERKAITAN: Bulan Safar Nabi berhijrah, kenapa sambut Tahun Baru Hijrah pada bulan Muharram? Ini Jawapannya

Untuk seseorang itu mencapai harta dan penghormatan, ia biasanya akan melibatkan pelbagai penyakit dalaman manusia seperti sombong, riyak, iri hati, dengki dan permusuhan.

Al-Ghazali menjelaskan kelebihan berlapar ketika meletakkan kaedah untuk menghadapi sifat tercela pertama ini.



Rakus dalam pemakanan merupakan asas pertama yang disebut al-Ghazali ketika menerangkan sifat-sifat tercela berkaitan jiwa.

Menurutnya, terdapat tujuh perkara manfaat ketika berlapar iaitu:

1. Dapat menjernihkan hati manakala kenyang menyebabkan kemalasan dan membutakan hati.

2. Dapat melembutkan hati sehingga berupaya merasai kelazatan munajat serta dapat kesan baik berzikir dan beribadah.

3. Dapat menundukkan jiwa, menghilangkan kesombongan dan menghapuskan kezaliman dari hati.

4. Dapat merasai ujian kelaparan yang mana ia bagaikan pintu syurga.

5. Manfaat terbesar dari berlapar ialah menghancurkan nafsu maksiat dan menguasai nafsu amarah.

6. Meringankan badan untuk melaksanakan solat tahajud dan menghilangkan mengantuk yang menjadi penghalang ibadah.

7. Melemahkan nafsu, berasa cukup dengan sedikit yang dimiliki dan dapat mengutamakan orang fakir.



Manfaat terbesar dari berlapar ialah menghancurkan nafsu maksiat dan menguasai nafsu amarah.

Menurut Sheikh Abu Sulaiman al-Darani, terdapat enam penyakit bagi seseorang yang kekenyangan iaitu:

1. Hilangnya kelazatan beribadah.

2. Terhalang dari menghafal sesuatu ilmu.

3. Tiada kasih sayang dengan manusia yang lain kerana apabila ia kenyang ia akan anggap orang lain pun kenyang.

4. Malas untuk melakukan ibadah.

5. Meningkatkan hawa nafsu.

6. Ia akan selalu pergi ke tandas sedangkan orang lain mungkin selalu pergi ke masjid.



Manfaat ketika berlapar dapat menjernihkan hati manakala kenyang menyebabkan kemalasan dan membutakan hati.

Jadi, bagaimana cara untuk mengatasi sifat terlalu kenyang ini bagi seseorang yang telah biasa dengannya? Imam al-Ghazali mencadangkan agar dibuat secara bertahap sehinggalah seseorang itu berjaya menghilangkan sifat mazmumah ini menerusi pengurangan setiap hari lebih kurang satu suap.

Dengan cara ini, seseorang itu tidak merasai perubahan yang drastik. Ini kerana, perubahan yang mendadak sukar dilaksanakan oleh seseorang untuk mengubah tabiatnya.

Imam al-Ghazali juga menjelaskan tentang tiga tahap ukuran pemakanan iaitu:

1. Tahap tertinggi yakni bagi golongan siddiqin, mereka makan cukup setakat untuk menegakkan tulang sulbinya.

2. Tahap sederhana yakni cukup sekadar memenuhi satu pertiga ruang perutnya setiap hari.

3. Tahap paling rendah yakni makan ketika lapar dan berhenti ketika ia benar-benar mula menyukai makanan tersebut.

Selain itu, digalakkan menetapkan masa untuk melatih diri agar dapat menahan diri dari terlalu banyak makan.

Al-Ghazali mencadangkan tiga peringkat:

1. Yang paling baik adalah menahan lapar selama tiga hari.

2. Yang sederhana adalah menahan lapar selama dua hari.

3. Yang paling rendah adalah setiap hari hanya makan sebanyak satu kali.



Sebagaimana nasihat Saidina ‘Umar al-Khattab kepada anaknya: “Makanlah sekali roti dengan daging, roti dengan mentega, roti dengan susu, roti dengan garam dan sekali roti tanpa lauk”.

Imam al-Ghazali juga memberi petua agar cuba membiasakan diri memakan roti dengan lauk atau roti tanpa lauk.

Sebagaimana nasihat Saidina ‘Umar al-Khattab kepada anaknya: “Makanlah sekali roti dengan daging, roti dengan mentega, roti dengan susu, roti dengan garam dan sekali roti tanpa lauk”.

Cadangan ini adalah rumusan Imam al-Ghazali berdasarkan kefahamannya terhadap al-Quran dan hadis yang sangat menganjurkan puasa.

Antara puasa sunat yang dianjurkan dalam Islam ialah puasa selang sehari seperti amalan Nabi Daud a.s, puasa hari Isnin dan Khamis, puasa hari ‘Asyura’, puasa 10 hari awal Muharram, puasa 10 hari awal Zulhijjah, puasa Hari Putih setiap bulan dan seumpamanya.

Hikmah di sebalik puasa ini adalah untuk menyekat dan melemahkan nafsu seseorang yang boleh memudaratkan aspek rohaninya.

Di samping itu, rumusan Imam al-Ghazali ini juga berdasarkan pengalaman ulama salaf soleh yang dipelajarinya. Ini juga berdasarkan pengalaman peribadinya ketika berada dalam fasa pengasingan dirinya dari dunia kemasyhuran yang pernah beliau capai dengan memfokuskan kepada ibadah dan kajian secara langsung tentang tabiat dan hakikat diri manusia.

Kepakarannya berkenaan kajian tabiat dan hakikat kemanusiaan ini terbukti diiktiraf dan digunapakai dalam kajian ilmu moden khususnya berkaitan psikoterapi atau kaunseling Islam.

Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada sesiapa yang cuba menyekat nafsu makannya dan obesitinya yang sekali gus dijangka dapat membantu aspek jiwa kerohaniannya.

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain