suria

Muhasabah diri... sifat ikhlas cerminan iman, rasai nikmat keberkatan hidup!

Integriti adalah ketelusan dan kejujuran dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

MASIH ramai yang tertanya-tanya, apakah yang boleh difahami apabila disebut perkataan integriti? Atau dalam bahasa yang mudah, apakah itu integriti?

Tanpa kita sedari, ia sebenarnya membawa maksud sangat jelas di mana integriti adalah ketelusan dan kejujuran dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Itulah sebenarnya integriti!

Prinsip ini akan membawa setiap pekerja untuk melaksanakan sesuatu tugasan dengan betul dan sempurna pada setiap masa walau di mana juga mereka berada.

ARTIKEL BERKAITAN: Walau sekadar berjenaka... body shaming umpama menghina ciptaan Yang Esa!

Kebanyakan individu berintegriti merupakan mereka yang mempunyai nilai akhlak utuh dan berdisiplin. Jika diperhatikan golongan ini selalu kehadapan dalam kerjaya.

Integriti juga boleh dikaitkan dengan sifat ikhlas seseorang individu dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.



Bagi menjadi seorang yang berintegriti, latih diri supaya disiplin dengan waktu serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Ulama sufi Al-Ghazali membincangkan dengan terperinci sifat ikhlas dalam nukilan beliau melalui kitab Ihya' Ulum Al-Din (Menghidupkan Kembali Ilmu-ilmu Agama).

Al-Ghazali menyatakan definasi al-ikhlas sebagai sesuatu yang bercampur apabila bersih daripada campuran tersebut maka ia dikenali sebagai khalis. Oleh itu, ikhlas membawa maksud perbuatan membersihkan atau mengasingkan di antara kedua-duanya.

Allah S.W.T. berfirman (maksudnya): Kecuali hamba-hambaMu yang dibersihkan di antara mereka. (Al-Sad, ayat 38:83).

Sifat ikhlas ini juga sebenarnya mempunyai kaitan dengan konsep iman. Sebagaimana pandangan Al-Ghazali bahawa ikhlas yang sebenar-benarnya ialah apabila seseorang individu itu mengabdikan diri semata-mata kepada Allah S.W.T. dan tidak menjadi hamba kepada diri dan nafsu.

Ia istiqamah mematuhi segala perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan laranganNya. Tanpa iman dalam diri, perkara ini agak sukar dilaksanakan.

Oleh sebab itu, Al-Ghazali mempunyai pandangan yang penuh hikmah bahawa iman itu perlu sentiasa dibajai dengan sifat ikhlas dan benar.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah - adakah diri kita sudah disemai dengan sifat integriti? Saya akan kongsikan beberapa tip mudah untuk melahirkan sifat integriti dalam diri seseorang individu.



Jaga hubungan dengan Allah bagi mendapat kehidupan yang diberkati.

1. Niat melakukan sesuatu kerja kerana Allah S.W.T. dan jadikan sebagai ibadat.

2. Tidak mengharapkan pujian atau sanjungan orang sekeliling.

3. Tidak bertangguh dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.

4. Latih diri supaya sentiasa berdisiplin dengan waktu.

5. Jalankan amanah yang diberikan dengan tanggungjawab.

6. Hindari orang-orang sekeliling yang memberi aura negatif.

Kesan Integriti Dalam Kerjaya

Individu yang mempunyai sifat integriti sudah pasti mempunyai impak yang besar dalam kehidupan. Sebagaimana yang kita fahami, dalam hidup ini carilah keberkatan supaya hidup sentiasa dalam ketenangan dan keredaan Allah.

Mereka yang mempunyai sifat telus dan ikhlas dalam diri akan memperoleh keberkatan dalam apa juga mereka harungi.

Apakah itu keberkatan? Barangkali sudah lali mendengar di telinga tetapi adakah kita sudah dapat merasai nikmat 'keberkatan' itu? Keberkatan merupakan perkataan arab iaitu asal dari kalimah “barakah” yang membawa pengertian “keberkatan, kebahagiaan, bertambah”.

Mereka yang telah merasai nikmat keberkatan akan memahami bahawa berkat itu adalah sesuatu tidak boleh dilihat, akan tetapi boleh dirasai hasilnya.

Saya kemukakan dua situasi yang berbeza untuk kita fahami dengan lebih jelas apakah itu keberkatan. Jika kita perhatikan dari sudut kerjaya, ada segelintir manusia yang mempunyai kedudukan mahupun jawatan yang tinggi dalam sesuatu kerja yang diceburi, malah kadar gaji yang diperolehi setiap bulan juga tinggi dan mewah.

Tetapi, gaji tersebut masih belum mencukupi dengan kadar perbelanjaan bulanan. Kadang-kadang mereka turut diuji dengan masalah sosial anak-anak dan sebagainya.



Keberkatan membawa manfaat besar dalam hidup seseorang.

Perkara ini perlu diberi perhatian. Tepuk dada, tanyalah iman! Adakah kita telah amanah dengan kerja yang membawa hasil untuk keluarga nikmati? Atau adakah kerja kita telah bercampur aduk dengan riba atau rasuah yang membawa kepada ketidak berkatan dan sekaligus mempengaruhi ketidak cukupan rezeki kita setiap bulan?

Situasi kedua adalah keadaan yang berlaku kepada seseorang individu yang mempunyai kedudukan atau jawatan yang rendah dengan kadar gaji yang rendah dalam kerjaya. Akan tetapi, jika kita lihat nilai gaji yang diperolehi mencukupi kadar perbelanjaan bulanan mereka.

Malahan, mereka dikurniakan anak-anak yang baik akhlaknya, mempunyai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan berjaya dalam hidup. Kebanyakkan mereka yang berada dalam situasi kedua ini ialah golongan yang sangat amanah dengan kerja yang dipertanggungjawabkan.

Mempunyai ketelusan yang tinggi dan merekalah golongan yang berintegriti! Inilah dia nilai “keberkatan”. Sesuatu perkara yang diperolehi dengan kadar yang sedikit adalah lebih baik dari nilai yang banyak tetapi tidak mempunyai keberkatan.

Keberkatan ini sudah pasti membawa manfaat yang besar dalam hidup seseorang. Individu yang pernah merasai nilai keberkatan, mempunyai ketenangan dalam hidup.

Malah, reda Allah S.W.T. sentiasa mengiringi perjalanan hidup mereka. Inilah yang sepatutnya kita perlu cari dan kejar dalam meniti perjalanan hidup sekaligus menjadi hamba Allah yang diredai, sebagaimana kalam ulama: (Maksudnya) “Tuhan, Engkaulah maksud dan tujuanku. Dan reda Engkaulah yang aku cari”.

***Dr. Norhashimah Yahya adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain