suria

Nak cemerlang dunia akhirat? Fahami 'man jadda wajada' antara 6 syarat menuntut ilmu menurut Imam Al-Shafie

Hukum menuntut ilmu adalah wajib bagi kita seluruh umat Islam dan ia perlu dilakukan bersungguh-sungguh.

KITA semua menyedari bahawa manusia yang tidak memiliki ilmu dalam kehidupannya pasti tergolong dalam kalangan orang yang rugi.

Tambahan lagi, bagi mereka yang diberikan kesempatan umur yang panjang namun tidak digunakan sebaiknya untuk menimba ilmu Allah SWT.

Hukum menuntut ilmu adalah wajib bagi kita seluruh umat Islam tidak kira lelaki mahupun wanita. Hal ini kerana terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyeru manusia untuk menuntut ilmu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuntut ilmu itu wajib bagi umat Islam tapi perlu disertai niat kerana Allah supaya tidak memakan diri

Allah SWT berfirman: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat" (Surah al-Mujadalah ayat 11) dan sabda nabi SAW: "Siapa yang mengehendaki (kejayaan) hidup di dunia, hendaklah dengan ilmu. Siapa yang mengehendaki (kejayaan) hidup di akhirat, hendaklah dengan ilmu dan siapa yang mengehendaki kedua-duanya (kejayaan hidup di dunia dan akhirat) hendaklah dengan ilmu" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Namun begitu umum perlu mengetahui bahawa ilmu Allah SWT ini luas dan tidak mudah diperolehi melainkan dengan kesungguhan dan keikhlasan. Al-Imam al-Syafie telah berkata mengenai syarat menuntut ilmu di dalam syiirnya: “Wahai saudaraku, Ilmu tidak akan dapat diperoleh melainkan dengan enam perkara yang akan aku terangkan secara terperinci" (Diwan Imam al-Shafie (1997))



Kita perlu bersemangat ketika menuntut ilmu.

1. Zaka’ (Kecerdasan)

Kecerdasan otak adalah salah satu syarat utama dalam menuntut ilmu. Otak yang tidak cergas hanya akan menyebabkan pemiliknya sukar untuk berfikir secara benar. Maka untuk kita menjaga kecerdasan otak, perkara-perkara maksiat perlulah dijauhi terlebih dahulu.

Hal ini kerana apabila kita melihat atau melakukan sebarang bentuk maksiat, hati akan menjadi hitam dan otak juga akan menjadi rosak dan tidak cerdas.

Imam al-Syafie pernah mengadu kepada gurunya Imam Waqi’ mengenai masalah hafalannya yang semakin merosot, lantas gurunya menyuruh Imam Syafie meninggalkan maksiat seraya berkata: “Sesungguhnya Ilmu Allah itu cahaya, dan Cahaya Allah itu tidak akan dikurniakan kepada seorang pelaku maksiat”.

Maka difahami daripada nasihat Imam Waqi’ ini bahawa sesungguhnya perbuatan maksiat jelas akan melemahkan ingatan dan menjadi punca lemahnya kecerdasan otak manusia.

2. Hirs (Semangat)

Bersemangat dan merasa tidak puas dengan ilmu yang dimiliki merupakan suatu hal yang paling utama dalam memperoleh sesuatu ilmu. Seorang penuntut ilmu tidak boleh merasa puas dengan ilmu yang dimiliki.

Hal ini kerana jikalau dia berasa puas dengan ilmu yang didapati, maka dia akan berhenti untuk terus belajar. Sebaliknya, jika setiap kali dia mendapat ilmu, dan menyedari akan kekurangannya, pasti dia akan terus berusaha untuk mempelajari sesuatu untuk memperbaiki dirinya.

Imam al-Syafie pernah berkata: "Semakin aku bertambah ilmu, semakin aku tahu akan kebodohanku". Bahkan rasulullah SAW sendiri diperintahkan oleh Allah SWT untuk terus berdoa: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku" (Surah Toha ayat 114).

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu sentiasa berusaha menuntut ilmu dan tidak pernah merasa takbur dengan ilmu dimiliki.



Menuntut ilmu biarlah dengan bimbingan seorang guru.

3. Ijtihad (Bersungguh-sungguh)

Setiap orang yang ingin menuntut ilmu Allah SWT harus memiliki motivasi dan kesungguhan yang tinggi. Hal ini kerana pepatah Arab ada mengatakan: 'Man jadda wajada' dengan makna 'Sesiapa yang berusaha, akan mendapat apa yang diusahakannya'.

Ulama dahulu misalnya sangat bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu Allah sehingga ada yang sanggup bermusafir dari satu tempat ke tempat yang lain.

Imam bukhari misalnya, demi mencari kebenaran akan sesuatu hadis sanggup berjalan jauh, keluar masuk perkampungan, menyusuri sekian ratus kota, demi belajar dan mengumpulkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.

4. Bulghah (Bekal yang mencukupi)

Selain Zaka’, Hirs dan Ijtihad, seseorang harus mempunyai bekal atau biaya yang mencukupi untuk menuntut ilmu. Hal ini kerana, tidak ada yang percuma di dunia ini melainkan perlu kepada pengorbanan jiwa dan harta untuk mencapainya.

Kadangkala kita memerlukan bekal kewangan misalnya untuk membeli kitab, alat tulis, dan membayar yuran pembelajaran yang akan membantu kita dalam proses menuntut ilmu Allah SWT. Ilmu memerlukan kepada pengorbanan maka tidak perlulah merasa takut menginfakkan harta pada jalannya.

5. Suhbah Ustaz (Bersahabat (bimbingan) dengan ustaz)

Seseorang tidak akan memperoleh ilmu tanpa ada petunjuk dan bimbingan daripada seorang insan yang bernama guru. Sebahagian kita mungkin boleh belajar sendiri atau membaca sesuatu tanpa ada guru yang mengajarkan, namun kita tidak akan pernah mengetahui apakah pengetahuan dan pemahaman kita itu benar ataupun salah.

Maka hal inilah yang membuatkan kita mesti mendapatkan petunjuk dan bimbingan para guru. Guru adalah sandaran bagi seorang penuntut ilmu, dan ianya dikenali juga sebagai sanad di dalam agama Islam.

Abdullah bin al-Mubarak telah berkata: “Isnad adalah sebahagian dari agama, kalau bukan kerana isnad maka setiap orang yang berkeinginan akan mengucapkan apa yang dia inginkan”.

6. Thol Zaman (Waktu yang panjang)

Menuntut ilmu tidak boleh dalam tempoh yang singkat bahkan ia memerlukan kepada tempoh waktu yang panjang. Maka disebabkan itu kita dituntut untuk menuntut ilmu sejak kita dilahirkan sehingga kita dikuburkan. Maka selagi mana hayat dikandung badan, selama itulah menjadi kewajiban kita untuk menuntut ilmu Allah SWT.

Semoga kita sama-sama berusaha memenuhi syarat-syarat menuntut ilmu seperti yang telah digariskan oleh Imam al-Syafie rahimahullah. Mudah-mudahan kita dapat mencapai keberkatan ilmu dan juga keredhaan daripada Allah SWT.

***Muhammad Hafizi Rozali adalah pensyarah di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain