suria

Kenali Ramadan yang bakal temui kita tak lama lagi...

Ramadan adalah penghulu segala bulan dalam Islam.

RAMADAN merupakan bulan untuk kita meningkatkan amal ibadah. Bulan yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran bagi mereka yang sentiasa mencarinya.

Ia boleh diibaratkan seperti sebuah pasar raya yang menyediakan promosi yang hebat untuk dinikmati oleh semua pelanggan yang hadir. Maka akan datanglah manusia berpusu-pusu dari segenap tempat untuk mendapatkannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Miliki keistimewaan... Ketahui 5 puasa sunat yang tercatat dalam Al-Quran dan hadis sahih

Antara ganjaran yang Allah janjikan di dalam bulan Ramadan ialah keampunan, kerahmatan, dibuka pintu-pintu syurga, dimakbulkan doa dan terdapat satu malam yang mana amalan pada malam itu akan dilipat gandakan seperti ibadah selama 1,000 bulan.

Tahukah kita sebenarnya bulan Ramadan mempunyai pelbagai nama yang mana disebutkan di dalam hadis nabi. Antara nama-nama bulan Ramadan ialah;



Ramadan mengajar kita untuk menjadi lebih sabar.

1. BULAN SABAR

Bulan Ramadan dikenali juga sebagai bulan kesabaran. Bulan Ramadan bulan untuk kita menambah amal ibadah. Ini kerana pada bulan-bulan yang lain kita akan sentiasa memberi alasan dengan kesibukan urusan dunia seperti kerja, makan, bersama dengan isteri, kawan dan bermacam lagi alasan yang kita cipta untuk tidak melakukan ibadah.

Ini berdasarkan hadis baginda Rasulullah: Berpuasa pada bulan sabar dan tiga hari daripada setiap bulan adalah menyamai puasa setahun. [HR Baihaqi 12529]

Rugilah mereka yang leka sehingga tidak melakukan ibadah puasa dengan baik, mereka hanyalah lapar dan dahaga ibarat mengisi air ke dalam baldi yang mana baldinya bocor.

Sabda Rasulullah: Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahala puasanya selain lapar dahaga dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan pahala solat malamnya selain hanya sekadar bangun malam. [HR Ibn Majah 1690]

Sabar juga bukan bererti menahan makan, minum dan tidak bersama isteri di siang hari, akan tetapi sabar dari melakukan segala perbuatan yang tidak diredai Allah.



Perbanyakkan membaca al-Quran pada Ramadan.

2. BULAN AL-MUAWASAH (BELAS KASIHAN)

Pada bulan Ramadan ramai dikalangan umat Islam yang berlumba-lumba untuk melakukan amalan sedekah. Ini kerana sedekah merupakan amalan kebajikan yang sangat besar di sisi Allah.

Seseorang itu boleh melakukan ibadah sedekah dalam banyak cara seperti memberi makanan kepada fakir miskin atau memberi makanan kepada orang yang mahu berbuka puasa. Sedekah menjadikan hati seseorang itu lembut dan rendah diri.

Oleh kerana itu, bulan Ramadan juga dinamakan bulan berkasih sayang. Disebutkan di dalam hadis: Ia adalah bulan berbelas kasihan. [HR Baihaqi 3608]

Kita diminta untuk sentiasa mengingati orang yang lebih susah daripada kita yang mana mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak ada makanan.

Sifat kasih sayang ini dengan sendirinya akan wujud apabila tibanya bulan Ramadan yang mana manusia akan berebut-rebut memberi makan kepada fakir miskin, anak-anak yatim, memberi makan kepada orang berbuka puasa, sedekah ditabung-tabung masjid dan pelbagai lagi amalan sedeqah yang dilakukan. Semua ini timbul dek kerana bulan Ramadan itu merupakan bulan berkasih sayang.



Rebut peluang untuk tingkatkan ibadat dan amalan kepada Allah.

3. PENGHULU SEGALA BULAN

Allah telah menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk kita meningkatkan ketawaan kepadaNya dan ganjaran berlipat kali ganda untuk mereka yang sentiasa bersabar dalam mematuhi perintah Allah.

Maka ia adalah bulan yang Allah lipat gandakan rahmatNya kepada sekalian alam yang ingin kembali kepadaNya dengan dibuka seluas-luasnya pintu rahmat dan ditutup serapat-rapatnya pintu neraka. Disebabkan itu bulan Ramadan dikenali sebagai penghulu segala bulan. Sabda Rasulullah: Penghulu segala bulan adalah bulan Ramadan. [HR Baihaqi 3364]

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan, telah difardukan Allah ke atas kita untuk berpuasa, dibuka padanya pintu-pintu syurga, dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, dirantai padanya syaitan-syaitan, padanya malam Lailatul Qadar sebaik 1,000 bulan, kerana itu, siapa yang terlepas daripada kebaikannya maka ia hilang kelebihan itu.

Semoga dengan kehadiran bulan Ramadan kali ini memberikan penuh makna kepada kita semua. Nikmat menghadiri Solat Terawih di masjid dan surau merupakan satu nikmat besar yang mana pada tahun lepas kita semua tidak dibenarkan untuk hadir ke masjid dan surau kerana covid-19. Maka gunakan peluang yang ada pada kali ini bagi meningkatkan amalan.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain