PADA permulaan kitab Bidayah al-Hidayah, Imam al-Ghazali menjelaskan maksud judul kitabnya ini yakni bermaksud ‘permulaan petunjuk’. Niat dalam menuntut ilmu adalah untuk mendapatkan hidayah Allah. Hidayah adalah buah (hasil) dari menuntut ilmu yang terdiri daripada bidayah (permulaan) dan nihayah (kesudahan). Nihayah tersebut tidak akan dicapai melainkan setelah menerusi bidayah. ARTIKEL BERKAITAN: Kelas online bukan bererti tak perlu hormat pendidik... Doakan guru antara adab digariskan Imam al-Ghazali Bidayah al-Hidayah itu adalah takwa zahir yang merujuk kepada pematuhan segala arahan Allah dan menjauhi segala laranganNya secara lahiriah. Kitab ini hanya fokus kepada suruhan dan larangan yang zahir sahaja, manakala Nihayah al-Hidayah yakni takwa batin tidak disentuh.Imam al-Ghazali menggesa para pembaca agar mencuba mengamalkan isi kandungan kitab ini. Jika berjaya, maka ia boleh mencuba untuk mencapai Nihayah al-Hidayah pula. Antara isi kandungan kitab ini yang boleh cuba dipraktikkan ialah berkaitan adab-adab bagi seseorang guru.Imam al-Ghazali telah menyenaraikan lebih kurang tujuh belas adab yang perlu dilakukan oleh seseorang yang bergelar guru. Seorang guru yang tekun mengajar anak muridnya. - Gambar Sekadar Hiasan Beliau menyatakan adab-adab yang berharga ini di dalam kitab ini pada bahagian ketiga yakni bahagian terakhir kitabnya. Manakala adab-adab sebagai pelajar dinyatakannya setelah subtopik adab-adab sebagai guru dalam bahagian yang sama. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa bahagian ketiga ini menjadikan kitab Bidayah al-Hidayah ini lengkap dan mencukupi. Adab-adab seseorang guru adalah seperti berikut: 1. Bersabar menghadapi apa-apa kesukaran. 2. Perlu melambat-lambatkan kemarahan dalam urusannya. 3. Duduk dengan penuh haibah sebagai seorang guru dalam keadaan tetap dengan menundukkan kepala. 4. Meninggalkan takabbur terhadap hamba-hamba Allah melainkan apabila berhadapan dengan orang zalim bertujuan untuk mencegah kezalimannya. 5. Merendah diri ketika dalam perhimpunan dan majlis keramaian. 6. Meninggalkan gurauan dan bermain-main. 7. Berlemah lembut dengan para pelajar. 8. Tidak keras dengan pelajar yang kurang pandai. 9. Memberi bimbangan yang sewajarnya kepada pelajar yang bebal dan tidak memarahinya. 10. Meninggalkan sifat sombong dengan tidak malu untuk berkata ‘saya tidak tahu’ bagi persoalan yang diajukan oleh pelajar jika jawapannya tidak diketahui. 11. Memberi perhatian terhadap setiap soalan pelajar dan memahaminya dengan baik. Guru mendapat penghargaan daripada pelajarnya. - Gambar Sekadar Hiasan 12. Menerima hujah yang diberikan kepadanya. 13. Tunduk kepada kebenaran jika benar ia tersalah. 14. Melarang para pelajar dari menerima apa-apa ilmu yang memudaratkan mereka. 15. Melarang para pelajar dari niat selain mendapat keredaan Allah dalam menuntut ilmu yang bermanfaat. 16. Melarang para pelajar agar tidak memfokuskan ilmu fardu kifayah berbanding ilmu fardu ain yang belum selesai. Ilmu fardu ain bertujuan untuk membersihkan dirinya secara zahir dan batin dengan ketakwaan. 17. Para guru perlu beramal terlebih dahulu dengan ciri-ciri ketakwaan agar dapat dicontohi perbuatannya oleh para pelajar kemudian barulah diambil manfaat pula menerusi pertuturannya. Semoga para guru, pensyarah, pengajar atau seumpamanya dapat mengamalkan adab-adab sebagai seorang guru ini, untuk mencapai sasaran Bidayah al-Hidayah yakni permulaan petunjuk. Kemudian cuba pula untuk menggapai Nihayah al-Hidayah yang merupakan kemuncak petunjuk dari Allah bagi seseorang insan yang boleh dibaca lanjut dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din. ***Dr. Mohd Hasrul Shuhari ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!