suria

Anjing boleh dibunuh jika mendatangkan mudarat... Haiwan juga akan dihisab di akhirat

Beberapa ekor anjing mati dipercayai akibat diracun oleh pihak tidak bertanggungjawab di Petaling Jaya. Foto Facebook Persatuan Haiwan Malaysia.

ISLAM merupakan agama yang menekankan sikap berkasih sayang bukan saja sesama manusia tetapi terhadap makhluk Allah yang lain.

Allah menjadikan makhluk lain bukannya sia-sia atau sekadar penghias alam tetapi Allah SWT menciptanya untuk manfaat kehidupan manusia. Sebagai contoh, penciptaan haiwan sebagai keseimbangan ekologi dan ekosistem alam.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasulullah berulang kali pesan “jangan marah...” 4 amalan ini boleh redakan api kemarahan

Islam mengajarkan umatnya untuk berbuat baik kepada semua makhluk termasuklah haiwan. Ini sepertimana dalam firman Allah SWT dalam al-Quran:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Surah al-An’am: 38).

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan penularan sebuah video rakaman CCTV yang memaparkan seorang lelaki membunuh anjing liar menggunakan busur panah.



Allah menjadikan makhluk lain bukannya sia-sia atau sekadar penghias alam tetapi Allah SWT menciptanya untuk manfaat kehidupan manusia.

Kejadian itu menjadi tular sekaligus menimbulkan kemarahan orang ramai. Benda sebegini bukanlah sesuatu yang baharu kerana beberapa kejadian yang sama pernah dilaporkan sebelum daripada ini tetapi dengan cara diracun.

Saidatina Aisyah R.Anha pernah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: “Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu: tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.” - [HR Bukhari (3314) dan Muslim (1198)]

Istilah fasiq membawa maksud haiwan perosak yang boleh membawa mudarat dan bahaya kepada manusia.

Perbuatan sebegini tidak sepatutnya dilakukan sewenang-wenangnya oleh seseorang yang beragama Islam walaupun hadis di atas mengharuskan untuk membunuh anjing.

Ini akan menyebabkan golongan bukan muslim memandang Islam sebagai agama yang ganas dan tiada belas kasihan terhadap haiwan.



Berbuat baik kepada haiwan kerana kebiasaannnya ia tidak menyerang manusia. - Gambar hiasan.

Ya, mungkin si pelaku bertindak demikian kerana adanya keperluan tetapi sepatutnya dalam kes ini, biarlah pihak berkuasa tempatan yang menguruskannya dan tiada haiwan yang tidak bersalah turut sama mati.

Adalah menjadi satu dosa menganiaya haiwan sama ada binatang haram atau yang halal dimakan atau disentuh bagi orang Islam.

Adapun jika binatang seperti anjing menyerang kita, Islam membenarkan untuk membunuhnya. Tiada khilaf dalam kalangan ulama bahawa anjing yang gemar menggigit atau mencederakan tidak termasuk dalam kategori haiwan yang muhtaram (haram dibunuh). Bahkan jika ia membawa mudarat besar maka ketika itu ia wajib dibunuh [Tuhfah al-Muhtaj, Nihayah al-Muhtaj].

Walaubagaimanapun, anjing tersebut tidak harus dibunuh dengan cara menyeksanya seperti dikurung tanpa makanan dan seumpamanya.

Ada sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW menyuruh supaya memperelokkan sembelihan sebagai satu ihsan kepada binatang yang mana ia secara jelasnya turut merangkumi haiwan-haiwan seperti anjing Rasulullah SAW bersabda:



Serahkan tugas membanteras haiwan liar kepada pihak berwajib.

Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan ke atas semua perkara. Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik. Jika sekiranya kamu menyembilah, maka perelokkanlah sembelihan tersebut. Tajamkanlah alat sembelihan dan rehatkanlah haiwan sembelihan tersebut. - [HR Muslim 1955].

Antara garis panduan yang boleh disimpulkan daripada dalil-dalil yang telah diberi ialah, jika seseorang hendak membunuh binatang yang membahayakan hendaklah dengan cara yang baik.

Cara yang terbaik adalah mematikan dengan segera, tiada sebarang bentuk penyeksaan kepada binatang dengan menanggung sakit yang berpanjangan dan penderitaan.

Perbuatan membunuh haiwan dengan menzalimi lebih-lebih lagi yang haram di sisi Islam adalah suatu perkara yang terlihat ‘terlebih Islam’ walhal hakikatnya ia menyebabkan Islam dipandang serong sedangkan segala masalah boleh disalurkan kepada pihak yang berautoriti.

Semua agama tidak pernah mengajar umatnya melakukan keganasan dan kezaliman walaupun terhadap haiwan yang dianggap tidak berakal.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain