suria

Wajah orang meninggal dunia dihidupkan guna aplikasi, ketahuilah hukumnya

Ramai tidak ketinggalan mencuba aplikasi tersebut terhadap foto insan kesayangan dan berkongsinya di media sosial.

GAMBAR merupakan salah satu tanda kenangan untuk mengingati momen tertentu dalam kehidupan kita.

Lebih-lebih lagi jika ia merupakan detik yang indah bersama keluarga terutama ketika anak masih dalam proses membesar atau pertemuan kaum kerabat jauh mahupun kenalan yang jarang bersua muka.

Akhir-akhir ini, terdapat aplikasi dikenali sebagai Deep Nostalgia dari My Heritage telah dipopularkan yang mana wajah seseorang itu boleh bergerak dan seolah-olah kelihatan hidup.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai teruja hidupkan foto orang dah mati guna aplikasi, ustaz risau fikirkan tuntutan ‘tiup roh di akhirat’... beri nasihat di TikTok!

Deep Nostalgia menggunakan teknik kecerdasan buatan (AI) yang mana ia mampu menganimasikan foto yang dimuat naik. Aplikasi ini kononnya sebagai alternatif bagi seseorang itu untuk ‘melepaskan’ rindu buat ahli keluarga mereka yang telah dijemput Ilahi.

Namun, timbul persoalan adakah aplikasi tersebut dibenarkan dalam hukum syarak kerana ia digunakan kepada mereka yang telah meninggal dunia?

Sebelum kita mengupas mengenai isu menggerakkan gambar orang yang sudah meninggal dunia, adalah lebih baik kita mengetahui mengenai hukum gambar.

Ulama berselisih pandangan mengenai isu bergambar. Ada yang mengatakan bahawa hukum gambar adalah haram berdasarkan sabda Baginda Rasulullah: Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat gambar (patung). - [HR Bukhari 5950].



Aplikasi ini sedang menjadi kegilaan ramai.

Ada juga yang membenarkannya seperti Dr. Yusof Al-Qardawi. Ini kerana fotografi dan videografi tidak termasuk dalam kategori taswir (menggambar atau mengukir) makhluk bernyawa yang diharamkan oleh ramai ulama kerana hilangnya illah/sebab menandingi ciptaan Allah. - (Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam: 203).

Bagi hukum mengantungkan gambar pula Imam Nawawi menjelaskan dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim (14/ 81-82): Menggunakan sesuatu yang terdapat padanya gambar binatang, jika ia digantung pada dinding, atau gambar itu dicetak pada pakaian, atau serban, atau selainnya, iaitu diletak gambar itu di tempat yang dianggap mulia, maka hukumnya adalah haram.

Sebaliknya, jika sesuatu yang terdapat padanya gambar binatang, dijadikan alas tempat duduk, atau dijadikan hamparan, iaitu pada tempat yang tidak dianggap mulia, maka hukumnya tidak haram.

Tempat yang dianggap mulia adalah seperti dinding, atas almari. Ini adalah ringkasan pendapat mazhab Syafie dan ia juga pendapat majoriti ulama.

Gambar binatang ini termasuklah gambar makhluk bernyawa, termasuk gambar manusia. Manakala jika gambar tidak bernyawa seperti pokok, batu, atau sungai, maka gambar tersebut tidak dilarang daripada digantung di dinding.

Dalilnya: Aisyah melaporkan: Rasulullah pulang dari safar dan aku menutup bilik kecilku dengan sebidang kain yang terdapat padanya gambar-gambar(lukisan-lukisan benda yang bernyawa). Apabila Rasulullah melihatnya Rasulullah menyentapnya seraya bersabda: Sesungguhnya manusia yang paling dahsyat azabnya pada hari Kiamat adalah mereka yang melakukan sesuatu yang menyerupai makhluk Allah (yang bernyawa). Kata Aisyah: Kami menjadikan kain tersebut sebuah atau dua buah bantal. - [HR Bukhari 5498].

Berbalik kepada permasalahan aplikasi yang membolehkan wajah seseorang yang telah meninggal dunia itu bergerak bagi tujuan untuk melepaskan rindu adalah haram.

Ini kerana wajib ke atas kita untuk beradab dan memuliakan saudara muslim yang lain sama ada ketika hidup ataupun setelah meninggal dunia. Segala perkara yang boleh membawa kepada pencerobohan nyawa, harta dan kehormatan diri seseorang muslim adalah haram dan dilarang di sisi agama kita yang mulia.

Sabda Baginda Rasulullah: Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya. - [HR Muslim 2564].

Maka memelihara maruah bukan sahaja sewaktu hidup bahkan walaupun selepas meninggal dunia. Ini kerana aplikasi tersebut menjatuhkan maruah seseorang yang telah meninggal dunia dengan mengerak-gerakkan mata mulut yang bukan dibuat oleh pemilik itu sendiri.

Gerakan itu juga tidak melambangkan sifat seseorang yang berada dalam gambar dan boleh mendatangkan bahan ketawa.

Oleh yang demikian, cara bagi seseorang yang rindu akan arwah keluarga yang telah meninggal dunia adalah dengan cara:

1. Bersedekah

Sabda Baginda Rasulullah: Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah. - [HR Muslim 1631].

2. Membaca al-Quran ke atas mereka

Imam Nawawi mengatakan bahawa bacaan Al-Quran bermanfaat serta akan sampai pahalanya kepada si mati. Dan sebaiknya bagi orang yang membaca al-Quran sejurus selepas selesai membacanya, hendaklah berdoa: Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada si fulan dan disunatkan juga untuk memuji dan menyebut akan kebaikannya. - (Al-Azkar 164].

3. Mendoakan mereka

Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya. - [HR Muslim 1631].

4. Sedekahkan solat sunat hadiah

Firman Allah di dalam Surah Al-Hasyr ayat ke 10: Maksudnya: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (daripada Muhajirin dan Ansar) berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih duhulu daripada kami.

Maka lebih baik mengirimkan pahala kepada arwah dari menggerak-gerakkan mereka melalui aplikasi. Ini kerana kehidupan yang kekal abadi bukanlah di dunia akan tetapi di akhirat nanti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain