suria

Miliki keistimewaan... Ketahui 5 puasa sunat yang tercatat dalam Al-Quran dan hadis sahih

Terdapat lima jenis puasa sunat yang adanya nas dan dalil sah di sisi Islam.

PUASA sunat merupakan salah satu ibadah yang selalu dilakukan oleh umat Islam untuk mempertingkatkan iman serta menjadi medium mengumpul pahala. Ada puasa sunat yang berbentuk mingguan (Isnin dan Khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan dan puasa tahunan (Hari Arafah, A’syura dan enam hari di bulan Syawal).

Fadhilat ibadah puasa adalah sangat besar kerana Allah sendiri yang akan memberi ganjaran kepada hambaNya yang berpuasa. Ini bertepatan dengan sebuah hadis:

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ambil mudah melewatkan solat kerana tempat mereka ialah di neraka Wail

Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun. [HR Bukhari 2840]

Orang yang rajin berpuasa akan disediakan satu syurga yang dikhaskan untuk mereka yang mana syurga tersebut diberi nama Ar-Rayyan. Golongan yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan mereka layak untuk mendapat pelbagai kenikmatan daripada Allah.

Umum mengetahui kelebihan puasa yang sangat besar, oleh itu mereka mula mereka-reka hadis-hadis palsu dan juga saranan untuk melakukan puasa yang mana tidak ada nas dan dalil.



Terdapat pelbagai kelebihan dan ganjaran bagi mereka yang berpuasa sunat.

Puasa sunat hanya dianggap sunat apabila terdapatnya nas sama ada daripada al-Quran atau hadis yang menggalakkan puasa sunat tersebut.

Contohnya, adalah masyhur dalam kalangan masyarakat kita untuk berpuasa pada tarikh 27 Rejab sempena Israk Mikraj.

Pelbagai program diatur pada tarikh 27 Rejab bagi mengingati peristiwa bersejarah tersebut. Ia merupakan satu usaha yang murni bagi mengingatkan kembali umat Islam agar mengambil pengajaran daripadanya tetapi hakikatnya puasa pada tarikh tersebut tidak mempunyai apa-apa keistimewaan melainkan ianya jatuh pada hari Isnin atau Khamis ataupun hari putih.

Antara puasa sunat yang adanya nas dan dalil yang sahih adalah:

1. Puasa Arafah

Iaitu puasa pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Qatadah RA katanya, Baginda bersabda:

Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. [HR Muslim 1162]

2. Puasa 6 di bulan Syawal

Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” [HR Muslim 1164]



Puasa sunat hanya dianggap sunat apabila terdapatnya nas sama ada daripada AlQuran atau hadis yang menggalakkan puasa sunat tersebut.

3. Puasa pada hari putih setiap bulan

Ia adalah pada hari yang ke-13,14 dan 15 setiap bulan Islam. Pada tarikh ini bulan dalam keadaan mengambang penuh, jadi cahaya bulan akan terang benderang menerangi alam.

Ini berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah RA, katanya:Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur. [HR Bukhari 1124 dan Muslim 721]

4. Puasa Isnin & Khamis

Dalil sunat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut ialah hadis, daripada Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW mengambil berat tentang puasa pada hari Isnin dan Khamis. [HR Tirmizi 745]

5. Puasa pada hari Asyura' dan Tasu'aa

Asyura’ adalah hari yang ke-10 bulan Muharam, manakala Tasu’aa’ pula adalah hari yang kesembilan pada bulan tersebut. Ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas RA, katanya:

Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut. [HR Bukhari (1900) dan Muslim (1130)]

Jelaslah beberapa jenis puasa sunat yang sahih dalilnya di dalam sunnah Baginda Nabi dan adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengetahui asal-usul sesuatu amalan beserta fadhilatnya kerana Baginda Nabi ada bersabda:

Sabda Rasulullah: Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka. [HR Bukhari 107]

Marilah sama-sama kita beramal dengan apa yang telah Allah perintahkan melalui Rasulnya. Berdoalah selalu agar kita diberikan hidayah dan dapat melakukan ibadah di atas jalan yang benar. Semoga Allah memberikan kita segala kebaikan di dunia dan akhirat.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain