ALLAH telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Padanya lelaki dan juga wanita yang berbeza daripada sudut penciptaan. Antara hikmah penciptaan lelaki dan wanita ini adalah bertujuan untuk saling kenal mengenal antara satu sama yang lain. Firman Allah di dalam Surah Al-Hujuraat ayat 13 yang maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. ARTIKEL BERKAITAN: Neraka itu dahsyat kenapa dijadikan watak filem? Agamawan kesal babak dalam ‘Puasa 18 di Kampong Pisang’ ditayangkan undang fitnah besar Perbezaan inilah yang menjadikan warna-warni dalam kehidupan. Oleh kerana itu setiap kejadian pasti ada perbezaan antara satu sama yang lain bagi menunjukkan kebesaran Allah. Antara perbezaan yang ada pada wanita dan tidak ada pada lelaki ialah darah haid. Ini kerana darah haid merupakan darah kotor dan boleh memudaratkan. Wanita yang dalam keadaan haid pula diberikan kelonggaran dalam melakukan ibadah antaranya solat. Ini berdasarkan sabda Baginda Rasulullah: Ketika kedatangan haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat. - [HR Bukhari 236]. Baru-baru ini timbul satu isu yang mana guru memeriksa haid pelajar untuk memastikan mereka tidak menipu dan meninggalkan solat. Tindakan memeriksa sama ada seorang wanita itu haid atau pun tidak boleh menjatuhkan maruah mereka. Isu ini telah menarik perhatian masyarakat untuk dibincangkan. Pada sudut pandang hukum syarak pula seseorang itu tidak dibenarkan untuk memeriksa haid pelajar jika tidak mempunyai keperluan yang mendesak. Maka kata para alim ulama ada beberapa faktor yang menegah dari melakukan perkara yang demikian. Antaranya ialah: 1. Perlu menjaga dan memelihara maruah seseorang Maruah merujuk kepada harga diri yang perlu dipelihara pada setiap masa. Tidak ada insan waras sanggup membiarkan dirinya diperlakukan sewenangnya oleh orang lain. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Kita tidak boleh membiarkan diri dizalimi, diperkotak-katikkan serta ditertawakan orang lain. Maruah diri perlu dipelihara tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan taraf hidup. Ketika berpidato pada hari perpisahan Hajjatul Wada Baginda Rasulullah menegaskan antara lain: Wahai insan semua, sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu adalah haram ke atas sekalian sehingga kamu menemui Tuhan kamu, seperti mana haramnya hari kamu ini, di dalam bulan kamu ini dan di dalam negeri kamu ini. - [HR Bukhari 5583]. Penegasan Baginda Rasulullah agar kita sentiasa menjaga kehormatan antara satu sama yang lain. Seorang muslim haram hukumnya menjatuhkan maruah orang lain. Apabila kita kembali kepada isu memeriksa haid pelajar maka ia tidak menjadi keperluan sehingga memegang tempat yang tidak sepatutnya dalam keadaan yang tidak mendesak. Walaupun alasan untuk mendidik mereka supaya mengerjakan ibadah solat dengan tujuan yang baik tetapi tujuan tidak menghalalkan cara. Mengintip aurat ataupun kesalahan seseorang merupakan satu perbuatan yang ditegah di dalam Islam. 2. Dilarang buruk sangka Perbuatan memeriksa haid pelajar ini adalah hasil daripada buruk sangka guru yang mana timbul kerana ada dalam kalangan pelajar cuba mengelak daripada melakukan aktiviti keagamaan seperti solat atau membaca Al-Quran. Oleh yang demikian bagi memastikan apa yang dikatakan itu benar maka guru yang bertanggungjawab mula memeriksa pelajar bagi memastikan mereka bercakap benar. Dalam persoalan ini memang kita dituntut untuk mendisiplinkan pelajar agar mereka melakukan ibadah kepada Allah dan tidak bercakap bohong. Walaubagaimanapun sedar tidak sedar kita telah mewujudkan dalam diri pelajar dan masyarakat satu budaya buruk sangka. Islam mengajarkan kita supaya tidak buruk sangka kepada orang lain. Buruk sangka adalah salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (yang dikeji). Manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk di dalam hati manusia. Apabila timbulnya buruk sangka, maka sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan seseorang itu timbul sehingga terbukalah kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu. Firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 12: Wahai orang-orang yang beriman ! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. 3. Ditegah untuk mengintip Mengintip aurat ataupun kesalahan seseorang merupakan satu perbuatan yang ditegah di dalam Islam. Allah menjelaskan mengenai hukum mengintip di dalam Al-Quran firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 12: Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Perbuatan memeriksa aurat orang lain dan memegangnya dalam keadaan tidak diperlukan hukumnya berdosa. Ini kerana aurat seorang wanita Islam dengan wanita islam yang lain ialah daripada pusat hingga ke lutut. Setiap wanita Islam yang berakal dan sampai umur baligh adalah diwajibkan menutup aurat masing-masing. Seharusnya guru menjadi contoh teladan yang baik kepada pelajar agar menjaga aurat antara satu sama yang lain. Menyentuh aurat boleh menyebabkan pelajar-pelajar akan terbiasa dengan perkara yang demikian dan hasilnya akan berlakulah perkara-perkara yang lebih dahsyat seperti perbuatan LGBT. Kebarangkalian untuk pelajar tersebut itu trauma juga ada. Islam hanya membenarkan seseorang yang ingin menyentuh aurat seseorang atau memegangnya dalam keadaan yang mendesak dan diperlukan sahaja. Walaupun begitu, terdapat batasan yang perlu dijaga sewaktu memeriksa. Malahan pula terdapat banyak cara untuk memastikan seseorang gadis atau pelajar perempuan itu sedang didatangi haid seperti bertanya kepada ibu bapa atau rakan mereka. Ingatlah bahawa dalam sebuah hadis Sabda Baginda Rasulullah: Apa yang aku larang kamu lakukan, hendaklah kamu jauhi dan apa yang aku perintahkan kepadamu, maka lakukanlah sesuai kemampuan kamu. - [HR Muslim 1337]. ***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!