suria

Anak jika dilahirkan perempuan zaman jahiliah akan dibunuh namun Allah angkat martabat mereka... Wanita perlu jaga maruah dan punyai 3 sifat ini

Beberapa sifat yang seharusnya ada pada wanita pada masa kini agar maruah mereka sentiasa terjaga dan terpelihara.

WANITA dalam Islam merupakan makhluk Allah yang memiliki banyak keistimewaan. Mereka daripada seorang anak yang akan membesar dewasa menjadi seorang isteri dan juga seorang ibu.

Seorang perempuan sangat dimuliakan perananya dalam kehidupan sehinggakan Allah menamakan satu surah dengan Surah An-Nisa' (surah perempuan-perempuan) bagi mengangkat golongan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Allah tutup aib pada dosa di waktu malam, jangan dihebohkan pada waktu siang...’ Ingat! Orang sebegini tidak mendapat pengampunanNya

Pada zaman jahiliah wanita dipandang rendah dan hanya dijadikan tempat untuk melepaskan hawa nafsu kaum lelaki. Mereka tidak mengizinkan perempuan untuk hidup.

Oleh sebab itu, pada zaman jahiliah, setiap orang tua yang melahirkan anak perempuan akan membunuh anaknya hidup-hidup.

Hal ini turut diceritakan dalam Al-Quran, Surah An-Nahl ayat 58-59: (58) Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.



Tidak mudah bergelar seorang wanita dalam zaman kini.

(59) Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.

Justeru, Islam datang memelihara wanita dan mengangkat darjat wanita sehingga diutamakan kedudukan ibu daripada ayah disebabkan ibu yang telah berkorban untuk melahirkan anak dengan penuh kesabaran.

Bahkan wanita yang patuh perintah Allah dan taat kepada suami maka mereka boleh memilih mana-mana pintu syurga yang mereka inginkan.

Sabda Baginda Rasulullah: Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki. - [HR Ibn Hibban 4163].

Begitulah tingginya kedudukan wanita dalam Islam yang patut dipelihara dan dijaga oleh kaum wanita itu sendiri. Di sini suka ustaz kongsikan beberapa sifat wanita yang seharusnya ada pada wanita masa kini agar maruah mereka sentiasa terjaga dan terpelihara.

1. Sifat Iffah

Iffah bererti menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang tidak dibolehkan iaitu yang bermaksud terhindar dari segala maksiat dan keburukan.

Islam menuntut seorang wanita itu memiliki sifat ‘iffah untuk menjadi seorang wanita yang ‘afifah. Ia kerana, akhlak ini merupakan akhlak yang tinggi, mulia, dan dicintai oleh Allah.

Akhlak ini merupakan sifat hamba-hamba Allah yang solehah yang sentiasa mengharapkan keredaanNya. Seorang wanita yang ‘afifah takut akan kemurkaan dan azabNya. Inilah sifat seseorang muslimah sejati.

Allah berfirman di dalam Surah An-Nur ayat 31: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

Sebagai seorang wanita sewajibnya mereka menjaga diri dalam apa juga keadaan khususnya dalam dunia yang tanpa sempadan dengan penggunaan media sosial menjadi medium perhubungan. Kebanyakan mereka mula untuk mencari perhatian dan akhirnya membinasakan diri sendiri.



Wanita harus mempunyai sifat malu yang tinggi.

2. Malu

Sifat malu merupakan salah satu daripada sifat yang terpuji dan ia merupakan salah satu daripada cabang-cabang iman.

Sabda Baginda Rasulullah: Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan. - [HR Bukhari 9].

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Syeikh Mustafa al-Bugha ketika memberikan ta’liq pada hadis ini, beliau mengatakan bahawa malu itu adalah satu sifat yang di dalam diri manusia dan sifat tersebut akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan.

Sebagai seorang wanita sudah pasti perasaan malu itu lebih tinggi berbanding daripada kaum lelaki. Ini kerana sifat semula jadi wanita yang diciptakan Allah kepada mereka.

Perasaan malu ini Allah rakamkan di dalam Al Quran Surah Al-Qasas ayat 25 apabila menceritakan mengenai kisah dua orang wanita yang dibantu oleh Nabi Musa untuk memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka lalu mereka mendatangi Nabi Musa dalam keadaan tersimpuh malu.

Firman Allah: Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami.

Namun sayang, di zaman ini rasa malu pada wanita telah pudar sehingga hakikat penciptaan wanita yang seharusnya menjadi perhiasan dunia dengan kesolehannya, menjadi tidak lagi bermakna.

Hilangnya rasa malu inilah yang menyebabkan banyaknya wanita yang pada hari ini mula mendedahkan aurat mereka semata-mata untuk mengejar follower di media sosial.

3. Lemah lembut

Antara sifat yang terpenting juga bagi seorang wanita ialah sifat lemah lembut. Ini bukan bererti wanita tidak mampu berlawan atau sentiasa ditindas tetapi dalam keadaan biasa maka sifat lemah lembut inilah yang menjadi cerminan keperibadian bagi seorang wanita.

Sabda Baginda Rasulullah apabila berpesan kepada Aisyah: Wahai Aisyah, hendaklah engkau bersikap lembut kerana sesungguhnya tidaklah sikap lembut itu ada pada sesuatu kecuali akan menjadi penghias, dan tidaklah ia terlepas dari sesuatu kecuali akan muncul keburukkan. - [HR Abu Daud 4174].

Buat ibu bapa, didiklah anak-anakmu khususnya mereka yang memiliki anak perempuan dengan baik kerana ganjaran membesarkan dan mendidik mereka akan menjadi penghalang kepada api neraka.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain