SEBELUM ini tular di media sosial mengenai perkongsian seorang wanita yang mengambil suntikan vaksin Covid-19 tanpa pengetahuan suaminya yang melarang perbuatan itu. Lebih malang apabila si suami membuat ugutan iaitu sekiranya si isteri berdegil maka akan jatuh talak terhadapnya. ARTIKEL BERKAITAN: Hayati makna kemerdekaan yang hakiki agar kita menjadi rakyat dan mukmin sejati! Menjelaskan mengenai hal itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, di dalam Islam adalah menjadi kewajipan seorang isteri untuk mentaati suami. Jelas Dr Luqman, vaksinasi pula adalah satu bentuk penjagaan dari mendapat sesuatu penyakit yang mana dalam situasi ketika ini ia bertujuan melindungi seseorang daripada terkena jangkitan Covid-19 yang boleh mengancam nyawa. "Dalam keputusan muzakarah menyatakan hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan ditetapkan. Ada suami yang sanggup mengugut melafazkan cerai. "Manakala pihak pemerintah pula telah menjalankan program vaksinisasi besar-besaran di seluruh negara maka sepatutnya ia diambil cakna oleh setiap rakyat untuk menyambut baik usaha-usaha ini. "Untuk menjaga kerukunan rumah tangga (dalam hal ugutan berkenaan), si isteri sebaiknya berbincang dengan suami dalam perkara ini, begitu juga pihak suami tidak seharusnya menghalang isteri untuk mengambil vaksin lebih-lebih lagi ia adalah hak isteri untuk mendapat kaedah penjagaan yang sebaiknya daripada jangkitan Covid-19 berdasarkan pandangan pakar," katanya. Sistem kekeluargaan Islam kata Dr Luqman sangat memberi penekanan dalam aspek tanggungjawab atau hak-hak antara suami dan isteri. Suami isteri mesti bertanggungjawab dalam memastikan segala hak tersebut dilaksanakan dengan baik. Hal ini kerana, sebarang bentuk pengabaian terhadap hak dan tanggungjawab boleh menyebabkan keruntuhan dan kecelaruan berlaku dalam rumah tangga. Islam memberi penekanan yang jelas dalam perkara ini. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).” - Surah al-Baqarah (228). Suami isteri perlu berbincang sebelum membuat sebarang keputusan. Imam al-Thobari dalam menjelaskan ayat di atas, beliau kata Dr Luqman menukilkan kata-kata al-Dhahhak bahawa jika para isteri taat kepada Allah dan para suami mereka, maka suami perlu berkelakuan baik serta bertanggungjawab dalam menunaikan hak-hak isteri dengan sebaik mungkin. - (Rujuk: Jaami’ al-Bayan li al-Thobari, 4/531). "Selain itu, kesihatan dan keselamatan isteri merupakan hak yang wajib dipelihara oleh suami. Hal ini kerana aspek ini merupakan suatu tuntutan syarak dan maqasid syariah, bahkan ia berada dalam kategori al-Dharuriyyat al-Khamsah yang wajib setiap individu memeliharanya," jelasnya. Hal ini juga sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali R.H di dalam kitabnya: Maksudnya: “Dan tujuan Syariat itu ada lima, iaitu: untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka.” - (Rujuk: al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul, 174). Dr Luqman menjelaskan memelihara nyawa merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama. Justeru, ikhtiar perubatan adalah bertujuan untuk memelihara nyawa termasuklah mengambil vaksin. Tambahan pula, dalam keadaan wabak yang semakin kritikal adalah satu keperluan untuk seseorang itu mendapat vaksin bagi mencegah jangkitan Covid-19. Keputusan muzakarah menyatakan hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan ditetapkan. "Perkara yang perlu difahami ialah ketetapan oleh pihak kerajaan berdasarkan pandangan pakar-pakar yang dipercayai telah memutuskan untuk mengambil kaedah vaksinisasi sebagai langkah pencegahan dalam menangani wabak Covid-19," katanya. Bagi kita sebagai seorang Muslim, Islam telah mengajar supaya merujuk kepada pakar dalam bidangnya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. - Surah al-Nahl (43). Jelasnya lagi, ini sebagaimana umat Islam dituntut agar memelihara lima perkara teras dalam kehidupan seperti agama, nyawa, akal, harta dan maruah. "Oleh yang demikian, sebagai Muslim perlu menjaga kesihatan tubuh badan agar memelihara kelangsungan hidup berpanjangan. Lebih-lebih lagi apabila keadaan dunia dilanda dengan wabak yang berbahaya sehingga membawa kepada kematian," ujarnya. Oleh itu katanya, sekiranya terdapat sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap diri dan nyawa individu seperti wabak virus maka perlulah disingkirkan dan dihilangkan. Antaranya adalah dengan mengambil langkah berhati-hati terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa seperti pengambilan vaksin yang turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudaratan daripada menimpa seseorang individu. "Oleh yang demikian, pengambilan vaksin ini selari dengan kaedah fekah ini. Sebaliknya, perbuatan meninggalkan pengambilan vaksin yang boleh memberikan kemudaratan jangkitan terhadap seseorang individu adalah tindakan yang bertentangan dengan kaedah fekah tersebut," jelasnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI