suria

Terlalu sibuk kejar dunia dan populariti, 2 perkara ini jentik hati Kak Love untuk berubah - “Niqab adalah perisai diri sendiri”

Kak Love tidak pernah berasa menyesal meninggalkan kerjaya sebagai jurusolek. Foto Instagram @shazreeyanashukri

BAGI yang mengenali jurusolek terkenal Kak Love pasti terkejut apabila melihat perubahan imej berniqab selain mengumumkan persaraannya daripada bidang solekan tahun lalu.

Peminat personaliti media sosial ini tertanya-tanya dengan keputusan dibuat itu memandangkan dia cukup aktif sebagai jurusolek selain mengadakan kelas solekan dan tutorial di laman sosialnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Elak rezeki haram... 5 pekerjaan ini melelahkan tetapi diredai Allah

Menyingkap penghijrahannya itu, pemilik nama sebenar Shazreeyana Shukri, 36, ini memberitahu dia menganggap perubahannya itu adalah proses menjadikan versi dirinya lebih baik.

Malah kata jurusolek dengan 11 tahun pengalaman ini, ia bukan sekadar tentang pakaian dan niqab tetapi membetulkan dalaman dan hubungannya dengan sang pencipta.

"Sejujurnya saya tidak sedar pun Allah beri hidayah kepada saya tetapi sejak tahun lalu hati saya seperti terjentik untuk memperbaiki diri.

Kak Love 3

Shazreeyana memberitahu niqab adalah perisai untuk dirinya sendiri.

"Saya tertanya sepanjang bernafas di bumi Allah ini, apa saya telah lakukan untuk menggembirakan pencipta saya walhal Allah memberikan pelbagai kesenangan kepada diri saya," katanya kepada mStar.

Pandemik, isu Palestin jentik hati

Pandemik yang melanda seluruh dunia sejak tahun lalu kata Shazreeyana membuatkan dia banyak bermuhasabah diri apatah lagi sebelum itu dia cukup sibuk dengan urusan dunia.

Kata Shazreeyana, Covid-19 yang melanda penuh dengan hikmah tersendiri dan bagi dirinya sendiri ia meninggalkan rasa manis kerana ia titik tolak perubahan dalam hidupnya.

"Saya sibuk dengan dunia, kejar populariti, harta dunia... Hak Allah saya ketepikan dan abaikan sebab sibuk mengejar benda yang bersifat sementara.

Jika ada orang doakan yang baik-baik, kita aminkan dan ucap Alamdulillah. Jika ada perkara-perkara kurang enak kita perlu sabar dan reda.

SHAZREEYANA SHUKRI

"Pandemik telah banyak membuatkan saya berfikir mengenai tanggungjawab sebenar saya, apa yang saya mahukan dalam hidup secara perlahan-lahan saya cuba memperbaiki diri," katanya.

Apabila mula memahami tentang pelbagai persoalan bermain dalam fikirannya Shazreeyana mula melihat objektif baharu dalam hidupnya.

"Pandemik juga banyak buat saya fokus dan merenung kembali tentang diri sendiri. Tempoh ini banyak saya gunakan untuk fokus mencari 'puzzle' yang hilang dalam hidup saya.

Isu pergolakan di Palestin juga membuatkan Shazreeyana terfikir bagaimana masyarakat di sana cukup reda dan tenang dengan semua ujian diberikan seperti peperangan, kehilangan ahli keluarga dan penindasan berterusan pihak Zionis.

"Saya terpegun dengan ketabahan mereka dan saya tertanya-tanya, sekiranya jadi pada saya, apa reaksi dan tindakan saya?

Kak Love dan Suami

Suami pendorong dan penyokong terbesarnya.

"Sikit-sikit Allah jentik melalui isu di Palestin, suasana pandemik. Ia buat banyak saya fikir pelbagai perkara," ujarnya.

Betulkan hubungan dengan manusia

Dalam proses menjadi insan lebih sempurna itu kata Shazreeyana, dia memulakan dengan membetulkan hubungan dengan manusia.

Jelasnya sebagai manusia biasa, dia sendiri pasti pernah melakukan kesalahan kepada keluarga dan rakan-rakan sama ada sedar atau tidak sengaja.

"Ada kawan-kawan yang sudah lama tidak berhubung atau bertegur sapa, saya mula cari dan betulkan hubungan dengan mereka.

Kak Love 2

Pandemik dan isu di Palestin membuka mata Kak Love melakukan perubahan.

"Saya ambil peluang meminta maaf dengan mereka agar tiada sebarang rasa kecil hati atau terluka. Tidak mengapa jika bukan kita yang salah, saya tetap minta maaf.

"Mahu selesaikan semua tanpa mengungkit apa-apa... Sekiranya berbuat dosa dengan Allah, kita boleh minta ampun denganNya kerana Allah itu maha pengampun lagi mengasihani.

"Tetapi dengan manusia, sekiranya mereka tidak maafkan, Allah juga tidak ampunkan. Saya jadi takut dan insaf apabila mengenangkan perkara itu," katanya.

Niqab kerana takut dengan diri sendiri!

Berkongsi mengenai keputusannya mengenakan niqab, Shazreeyana memberitahu ia dilakukan bukan kerana mengikut trend atau mencari perhatian sesiapa sebaliknya ia dilakukan demi diri sendiri.

252677764_913121649630900_6286243585227784213_n

Kak Love bersama suami dan dua cahaya mata mereka.

Malah kata ibu kepada dua cahaya mata ini, dia sendiri tidak pernah terfikir untuk mengenakan niqab namun apabila mengenakannya buat kali pertama hatinya menjadi tenang.

"Ada juga yang terkejut dan bertanya kenapa berubah sampai mengenakan niqab tetapi apa yang saya lakukan ini adalah demi diri sendiri dalam mengelak ada timbul rasa riak dan ujub apabila bertemu orang lain.

"Sebagai seorang wanita saya cukup sukakan kecantikan dan dahulu selalu terdetik dalam hati agar orang tengok dan puji kecantikan saya.

"Saya bimbang akan timbul rasa itu dan sebab itu saya ambil keputusan untuk memakai niqab sebagai perisai saya sendiri daripada godaan dan mengelak daripada timbul rasa riak dan ujub dalam diri," ujarnya.

Kak Love Mengaji

Masa terluang kini banyak dihabiskan mendalami ilmu agama.

Sedar tidak dapat memuaskan hati semua pihak, Syazreeyana memberitahu dia sentiasa bersikap positif dan menganggap apa sahaja perkara dikatakan orang lain sebagai cabaran dan dugaan dalam menjadi insan lebih baik.

"Jika ada orang doakan yang baik-baik, kita aminkan dan ucap Alamdulillah. Jika ada perkara-perkara kurang enak kita perlu sabar dan reda.

"Pada saya kita perlu bersyukur Allah hadirkan orang-orang begini dalam perjalanan ini kerana ia adalah ujian dan tanda Allah sayangkan kita.

"Jangan berdebat sebaliknya titipkan doa buat mereka dalam doa kita agar mereka juga sentiasa dilindungi serta menjadi insan lebih baik," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain