suria

Padah mulut... Niat baik tapi teguran dengan cara mencarut dilarang syarak! Fikir dulu sebelum bercakap

Sebelum bercakap maka kita fikirkanlah terlebih dahulu akibat daripada perkataan yang kita keluarkan.

MULUT merupakan salah satu anggota badan yang sangat penting dalam hidup manusia. Pada hari kiamat nanti mulut yang mampu bercakap ini akan dikunci oleh Allah dan yang akan bercakap pada hari itu ialah anggota lain seperti tangan dan kaki.

Firman Allah di dalam Surah Yasin ayat 65: Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Besi ditusuk sehingga tembus pipi, belakang leher antara siksaan kaki fitnah... Hati-hatilah semua, media sosial antara punca manusia diazab Allah

Maka sebelum kita dihitung oleh Allah dengan segala percakapan dan perkataan kita maka seharusnya kita bermuhasabah diri.

Ada beberapa pepatah melayu mengatakan: Terlajak perahu boleh diundur tetapi telajak kata-kata buruk padanya.

058932100_1505294601-fighting-over-desks-1024x683

Kerana mulut boleh menyebabkan pergaduhan.

Ini semua menggambarkan kepada kita betapa pentingnya berfikir dahulu sebelum bercakap. Sabda Baginda Rasulullah dalam sebuah hadis, maksudnya: Jangan kamu bercakap dengan sesuatu perkataan yang esoknya kamu akan menyesal kelak. - [HR Ibn Majah 3381].

Imam As-Syafi'e menyebutkan bahawa Baginda Rasulullah menyarankan kita agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata.

Jika apa-apa yang akan disampaikan itu tidak memudaratkan ke atasnya maka bolehlah dia berbicara, (akan tetapi) jika ia memudaratkan atau ada keraguan padanya, maka hendaklah dia tahan (daripada berbicara). (Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim 1/128).

Ramai dalam kalangan kita pada hari ini yang ingin menyampaikan sesuatu perkara yang baik antaranya nasihat-nasihat yang baik ataupun teguran-teguran yang menginginkan kebaikan kepada saudara yang lain.

Tetapi ada yang menegur menggunakan perkataan-perkataan yang kasar dan tidak sesuai tidak kurang juga yang menggunakan perkataan carut-marut untuk menyampaikan satu teguran. Walaupun niat mereka baik tetapi cara sebegitu tidak dibenarkan dalam syarak.

cakap

Fikir sebelum mengeluarkan kata-kata kerana ia mungkin boleh mengguriskan perasaan orang lain.

Setiap perkataan yang mahu dilontarkan maka hendaklah ia memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Isi kandungan mestilah baik

Setiap apa yang mahu dikatakan atau dikeluarkan daripada mulut maka hendaklah difikirkan isi kandungannya terlebih dahulu agar apa yang terkeluar daripada mulut adalah perkataan-perkataan yang baik sahaja.

2. Disampaikan sesuai dengan tempat dan masa

Setiap perkataan yang ingin disebutkan perlulah melihat pada dua faktor yang sangat penting iaitu tempat dan masa. Ada suami isteri contohnya menegur pasangan dengan cara yang tidak sesuai di hadapan orang lain. Maka ini boleh menjatuhkan maruah dan air muka pasangan itu sendiri.

3. Penyampaian mestilah sesuai dengan keperluan

Apabila seseorang ingin menasihati atau bercakap sesuatu perkara maka mereka perlulah memberi tumpuan pada perkara yang perlu sahaja tanpa menyebut atau mengaitkan perkara lain.

Ini banyak berlaku dalam masalah rumah tangga yang mana si isteri atau si suami suka mengungkit atau menyebut perkara lain selain daripada perkara yang dibincangkan dan akhirnya membawa kepada pergaduhan dan perbalahan yang tidak berkesudahan.

4. Memilih kata-kata yang tepat, ringkas dan padat

Perkataan-perkataan yang dikeluarkan dari mulut seseorang perlulah dipilih terlebih dahulu agar tidak menyakiti orang lain dengan lidahnya.

Sudah menjadi kebiasaan ibu dan ayah yang suka membebel kepada anak-anak yang akhirnya menyebabkan anak-anak makin renggang dengan mereka. Walaupun ia bertujuan baik tetapi cara mestilah tepat dengan keadaannya.

Umar Al-Khattab pernah berpesan: Siapa yang banyak percakapannya, banyaklah salahnya. Siapa yang banyak salahnya, banyaklah dosanya. Siapa yang banyak dosanya, maka neraka lebih patut untuknya. (Syu’ab al-Iman 4640).

Setiap hari kita bercakap dengan bermacam-macam perkara. Ada yang baik dan ada juga yang buruk. Kedua-dua bentuk percakapan ini bergantung kepada tahap iman, akhlak dan faktor suasana kita sehari-harian.

Jika bercakap itu boleh mengeluarkan perak maka diam itu dapat mengeluarkan emas. Bererti sebelum bercakap maka kita fikirkanlah terlebih dahulu akibat daripada perkataan yang kita keluarkan.

Disebabkan percakapan, adik beradik bergaduh, bercerai berai pasangan suami isteri dan bermusuhan antara satu sama yang lain. Oleh itu gunakan akal yang diberikan Allah untuk berfikir sebelum bercakap.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain