suria

Main kutu nak kumpul wang segera... apa hukumnya dalam Islam?

Bermain kutu tidak salah dari segi hukum syarak namun perlu memastikan tiada unsur riba di dalamnya.

PASTI ramai di antara kita yang pernah main kutu sebagai salah satu cara mudah dan singkat mengumpul wang tunai.

Secara umumnya, main kutu adalah satu skim menyimpan dan mengumpul wang dalam tempoh singkat dan kebiasaannya disertai oleh beberapa orang pemain dengan jumlah bayaran bulan tertentu yang dipersetujui oleh semua ahli.

ARTIKEL BERKAITAN: Terjumpa wang tepi jalan... berdosakah kalau kita mengambilnya?

Cabutan nombor akan dibuat bagi menentukan giliran peserta mendapat wang mereka dan kebiasaannya salah seorang akan dilantik sebagai ibu kutu untuk mengumpulkan wang dan diserahkan kepada penerima setiap bulan.

Proses dan kaedah main kutu itu dilihat ringkas dan cepat tetapi bagaimana pandangan Islam mengenai main kutu?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan bermain kutu dibenarkan selagi mana jauh daripada riba, kezaliman dan unsur-unsur yang haram.

Pada asasnya kata Zulkifli, duit yang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah duitnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang. Apabila tiba gilirannya, maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya dengan segera disebabkan bayaran komitmen daripada semua ahli kumpulan.

Main Kutu 2

Setiap hutang yang dikenakan syarat tambahan bayaran, maka ia haram tanpa khilaf.

"Pada pandangan syarak, ia dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah daripada semua ahli yang menyertainya. Maka, setiap bulan semua ahli yang menyertainya akan membayar pinjaman yang mana duit pinjamannya itu akan kembali kepadanya apabila gilirannya tiba untuk mendapatkan jumlah yang disepakati tersebut.

"Sekiranya permainan kutu ini melibatkan pertambahan faedah dan keuntungan seperti dikenakan yuran untuk menyertai permainan ini, maka ia diharamkan," katanya.

Terang Zulkifli lagi, Ibn Qudamah menyatakan di dalam al-Mughni: "Setiap hutang yang dikenakan syarat tambahan bayaran, maka ia haram tanpa khilaf."

Ibn Munzir pula menyatakan: "Telah disepakati sekiranya pemberi hutang memberikan syarat kepada peminjam dengan tambahan duit ataupun hadiah, maka ia dikategorikan sebagai riba."

Hal ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Ubai bin Ka’ab, Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud bahawa mereka melarang pinjaman yang meminta manfaat dan faedah.

Berdasarkan hal ini kata Zulkifli, manfaat daripada hutang yang diharamkan ialah manfaat dikhususkan kepada pemberi pinjaman.

media_post_1a1f9b47172456e6ed301a1c5a7b5f9d

Undang-undang di Malaysia melarang permainan kutu.

"Adapun manfaat kepada peminjam, ia diharuskan. Namun demi memastikannya ia terjamin dan bebas daripada kezaliman, maka perlu dipastikan semua ahli yang menyertai ini adalah orang yang beramanah dan boleh dipercayai, dikenali dan membuat akad bertulis untuk kemaslahatan semua," ujarnya.

Tanpanya kata Zulkifli, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar. Akad bertulis mengenai hutang ini dinyatakan secara jelas berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu...[4]

Imam al-Baghawi menyatakan di dalam tafsirnya: Ulama berselisih pendapat tentang kewajipan menulis atau mencatat hutang melalui ayat di atas. Ada sebahagian ulama yang berpendapat bahawa mencatat atau menulis hutang itu adalah wajib. Namun, pendapat oleh majoriti ulama adalah sunat hukumnya dan sekiranya tidak dilakukan tidak mengapa. [5]

Sementara itu kata Zulkifli, sebelum bersetuju bermain kutu, peserta perlu membuat perjanjian dan akad bertulis selain penganjur tidak boleh meletakkan sebarang yuran atau apa-apa keuntungan daripada hasil permainan kutu kerana ia boleh menjerumus ke kancah riba.

Selain itu katanya, ia tidak dilakukan secara terbuka dan hanya melibatkan kumpulan yang kecil apatah lagi undang-undang di Malaysia melarang permainan kutu dan ia salah di sisi undang-undang.

Perbuatan permainan kutu ini telah diperuntukkan di dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang kutu 1971.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain