suria

Puasa qada di hari Syak... adakah dibolehkan dalam Islam?

Adakah kita dibolehkan untuk puasa ganti pada hari terakhir bulan Syaaban?

KURANG daripada seminggu, umat Islam akan meraikan kedatangan bulan Ramadan dan sudah pasti ketika ini ramai membuat pelbagai persiapan termasuk menggantikan puasa yang ditinggalkan sebelum ini.

Bagaimanapun timbul persoalan, apakah hukum menggantikan puasa pada hari Syak iaitu hari terakhir dalam bulan Syaaban sebelum masuknya bulan Ramadan?

ARTIKEL BERKAITAN: Bagaimana umat terdahulu berpuasa? Apakah Ramadan dimuliakan umpama zaman Nabi Muhammad?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, maksud hari Syak adalah hari ke-30 dari bulan Syaaban sebagaimana dinyatakan oleh para fuqaha. Imam Al-Nawawi berkata;

(Maksudnya): Para ashab kami berkata bahawa hari syak adalah hari ke- 30 dari bulan Sya’ban.

Zulkifli menjelaskan pada asasnya, terdapat larangan daripada berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadan. Antaranya, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

(Maksudnya): “Janganlah kalian mendahulukan Ramadan dengan sehari berpuasa atau dua hari kecuali bagi sesiapa yang telah terbiasa berpuasa sebelumnya.”

1525911

Antara hikmah larangan mendahulukan puasa satu atau dua hari sebelum Ramadan adalah agar dapat dibezakan antara puasa wajib dan puasa sunat.

Dalam lafaz yang lain di dalam Sahih al-Bukhari: (Maksudnya): “Janganlah seorang daripada kalian mendahului bulan Ramadan dengan berpuasa sehari atau dua hari kecuali apabila seseorang itu sudah biasa berpuasa maka berpuasalah pada hari itu.”

Jelas Zulkifli, maksud hadith di atas adalah, tidak dibolehkan berpuasa awal sehari atau dua hari apabila tiba bulan Ramadan melainkan jika seseorang itu sentiasa melakukan puasa dan secara kebetulan hari yang biasanya dia berpuasa itu bersamaan dengan hari akhir dalam bulan Syaaban.

"Contohnya seperti berpuasa hari Isnin pada setiap minggu dan hari isnin jatuh pada hari terakhir dalam bulan Syaaban. Maka dalam masalah ini, dibolehkan untuk berpuasa sama ada sehari atau dua hari sebelum Ramadan berdasarkan kebiasaan yang dilakukan," ujarnya.

Kata Zulkifli lagi, antara hikmah larangan mendahulukan puasa satu atau dua hari sebelum Ramadan adalah agar dapat dibezakan antara puasa wajib dan puasa sunat.

Ini kerana, memisahkan antara amalan yang wajib dan sunat adalah sesuatu yang disyariatkan, berdasarkan arahan Nabi SAW melarang seseorang itu menyambung solat yang wajib dengan solat sunat tanpa diselangi dengan salam atau zikir terlebih dahulu.

Ini juga merupakan antara perkara yang disukai oleh Ibn Abbas dan juga disukai oleh golongan salaf iaitu memisahkan antara Syaaban dan Ramadan dengan tidak berpuasa sehari atau dua hari.

1525908

Adakah kita sudah bersedia untuk memasuki bulan Ramadan?

Hukum puasa qada pada hari Syak

Sementara itu, hukum berpuasa pada hari syak secara umumnya adalah haram sekiranya tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh syarak. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Silah beliau berkata:

(Maksudnya): Kami berada di sisi ‘Ammar (bin Yasir R.A) pada hari syak. Kemudian beliau dihidangkan dengan daging kambing, maka sebahagian orang menjauhkan diri dari memakannya. Lalu ‘Ammar berkata: “Sesiapa yang berpuasa pada hari ini (hari syak) sesungguhnya dia telah menderhakai Abu al-Qasim SAW.”

Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya seseorang berpuasa padanya (hari syak) yang menjadi kefardhuan ke atas dirinya, maka ia dimakruhkan dan puasa tersebut adalah sah.”

Kemudian Imam al-Nawawi berkata lagi: (Maksudnya): Tidak sah berpuasa pada hari syak (sebagai puasa) Ramadhan tanpa sebarang khilaf (di sisi para ulama) berdasarkan apa yang disebutkan oleh musannif (pengarang kitab). Sekiranya seseorang itu berpuasa qadha’, nazar, atau kaffarah padanya (hari syak) maka puasanya sah.

Kemudian kata Zulkifli, beliau menukilkan dua pendapat antara yang memakruhkan hal tersebut dan juga ulama yang tidak memakruhkannya. Jumhur Al-Syafi’eyyah mengatakan bahawa ia tidak makruh.

Antara hujah yang menguatkan pendapat di atas adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

(Maksudnya): “Janganlah kamu mendahulukan puasa Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari (sebelumnya) melainkan seseorang yang berpuasa lalu hari tersebut jatuh pada hari dia berpuasa, maka dia boleh berpuasa pada hari tersebut.”

Justeru, hadis ini kata Zulkifli, secara umumnya melarang seseorang itu untuk berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum masuknya bulan Ramadan. Namun, diberikan pengecualian bagi seseorang yang sudah melazimi puasa sunat, kemudian hari kebiasaan dia berpuasa jatuh pada hari larangan tersebut.

Sebagai contoh, seseorang yang melazimi puasa sunat Nabi Daud iaitu puasa sehari dan tidak berpuasa sehari, maka jika dia berpuasa dan esoknya tidak berpuasa, masuk hari berikutnya yang dia sepatutnya berpuasa merupakan hari syak, maka untuk orang ini tidak ada masalah baginya berpuasa pada hari tersebut meskipun ia merupakan sehari atau dua hari sebelum Ramadhan. Demikian juga bagi mereka yang melazimi puasa pada hari Isnin dan juga Khamis.

Imam al-Nawawi ketika mengulas isu ini beliau berkata: (Maksudnya): Ini kerana, apabila dibolehkan untuk seseorang berpuasa sunat yang mempunyai sebab padanya (hari syak), maka puasa fardhu pasti lebih utama.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain