RAMADAN adalah bulan yang diwajibkan ke atas semua umat Islam untuk berpuasa sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 183: Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” Puasa itu menahan diri dari lapar, dahaga dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula waktu terbitnya matahari sehingga terbenam matahari berserta niat. ARTIKEL BERKAITAN: Sedap tidur selepas sahur, apa hukumnya? Jangan biasakan diri, takut terlajak solat Subuh! Apabila telah masuk waktu Maghrib, kita sudah boleh berbuka puasa. Inilah waktu yang dinanti-nantikan oleh semua yang berpuasa. Makanlah hidangan yang sudah terhidang apabila masuk waktu berbuka dan barulah solat dengan khusyuk. Waktu berbuka puasa merupakan kegembiraan bagi orang yang berpuasa seperti yang disebutkan dalam sabda Baginda Rasulullah: Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya.” [HR Tirmizi: 766] Tetapi, mana satu yang kita perlu dahulukan? Berbuka puasa atau solat Maghrib terlebih dahulu? Antara amalan sunnah adalah menyegerakan berbuka puasa sebaik sahaja matahari telah terbenam yang menandakan telah masuk waktu Maghrib. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’d: Maksudnya: “Sentiasalah manusia itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka.” [HR Bukhari 1957] Elakkan diri daripada makan terlalu banyak sehingga kita sukar untuk mendirikan solat selepas berbuka puasa. Dalam konteks ini, kita disunatkan untuk menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika azan dilaungkan, terus utamakan untuk berbuka puasa. Selain menyegerakan berbuka puasa, sunnah untuk kita berbuka dengan buah tamar iaitu kurma dan air. Hal ini disebut dan diriwayatkan daripada Anas bin Malik; Maksudnya: “Rasulullah akan berbuka dengan kurma segar sebelum mengerjakan solat. Jika tidak ada kurma segar maka (baginda akan berbuka) dengan kurma kering, dan jika tidak ada kurma kering maka baginda meneguk beberapa teguk air." [HR Tirmizi 696] Berkenaan dengan isu mendirikan solat dalam keadaan makanan telah terhidang, terdapat hadis Rasulullah: Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu berada di hadapan hidangan makan, maka janganlah dia bersegera sehinggalah dia menyelesaikan hajatnya dari makanan tersebut, meskipun solat telah didirikan.” [HR Bukhari 674] Justeru, hendaklah kita makan dahulu (segerakan berbuka) sehingga selesai, kemudian baru tunaikan solat Maghrib. Apabila sudah berbuka pasti dapat melakukan ibadah dengan tenang dan khusyuk. Tetapi ingat, amalkan makan secara sederhana ketika berbuka. Sederhana dalam apa juga perkara sangat dituntut dalam Islam. Elakkan diri daripada makan terlalu banyak sehingga kita sukar untuk mendirikan solat selepas berbuka puasa. Bagi keadaan seperti di masjid-masjid pada hari ini yang berbuka puasa dengan juadah ringan terlebih dahulu (dengan kurma dan air mineral), dibolehkan dan ia tidak bercanggah dengan syariat. Bahkan, lebih afdal berbuka dengan cara tersebut kerana mengambil sunnah berbuka puasa segera dan dapat menunaikan solat secara berjemaah dalam tempoh yang awal. Oleh itu, segerakan berbuka dan tunaikan hajat kita untuk makan makanan yang telah terhidang kemudian baru kita lakukan solat dan ibadah lain selepasnya agar hati, fikiran dan jiwa kita hanya tertumpu pada ibadah tersebut hanya kerana Allah. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI