suria

Kalaulah Bella hidup di zaman Nabi! Sejarah Islam buktikan golongan OKU dapat pembelaan sewajarnya

Kisah malang yang menimpa adik Bella membuatkan seluruh rakyat Malaysia berang dan mahukan keadilan buatnya.

SELURUH negara ketika ini mengikuti rapat kisah menyayat hati yang menimpa seorang kanak-kanak Down Syndrome dijumpai dalam keadaan kusut, lebam, luka bernanah serta kulit badan melecur.

Meskipun anak kelainan upaya ini hanya menjawab ringkas setiap persoalan yang diajukan kepadanya, namun daripada raut wajah muramnya jelas dapat kita rasai jiwanya meronta-ronta meminta pertolongan.

ARTIKEL BERKAITAN: Asyik rasa diri sendiri saja betul... Sedarlah wahai hati, ego tak ke mana!

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, dalam perbahasan fiqh, insan istimewa di sisi Allah seperti adik Bella adalah anak syurga yang dikategorikan sebagai bukan mukallaf, iaitu seorang yang tiada pertanggungjawaban syariat ke atas dirinya.

Jelas Luqman, Nabi Muhammad SAW menganjurkan umatnya untuk menyantuni setiap lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan taraf kemampuan sama ada golongan yang sempurna akal fikiran mahupun orang kelainan upaya (OKU).

Golongan yang kuat dan sihat seharusnya menyokong dan menyayangi insan lemah dan kurang sempurna. Hal ini dijelaskan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir RA dan Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam. [Riwayat Muslim]

"Hadis di atas menekankan kepentingan untuk menjaga hak sesama manusia dan saling bantu membantu jika sebahagian mereka menghadapi kesukaran atau dizalimi. Selain itu juga setiap individu di dalam kelompok masyarakat bertanggungjawab dalam menerapkan sikap berbuat baik antara satu sama lain," katanya.

Dera_FILATEST_censored

Keadaan fizikal Bella yang menyayat hati selepas dibawa ke hospital.

Dalam pada itu, Luqman berkata, kelainan upaya semula jadi yang ditakdirkan Allah SWT ke atas sebahagian hamba-hamba-Nya sama sekali tidak menjadi pembeza aras, taraf dan darjat antara manusia.

Seorang yang sihat dan kuat tidak menjadikan dirinya lebih mulia daripada individu yang lemah dan sakit. Yang paling mulia di sisi Allah adalah hambanya yang paling bertakwa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Surah al-Hujurat (13)]

"Golongan kelainan upaya ini berhak untuk mendapatkan hak seperti insan lain termasuk kehidupan yang aman, kehormatan dan juga pendidikan. Hak-hak Mereka tidak sepatutnya diabaikan dan dizalimi apatah lagi didera serta dijadikan hamba suruhan," katanya.

Teladan daripada Rasulullah SAW dan Sahabat Baginda

Sejarah Islam kata Luqman membuktikan bahawa golongan kelainan upaya mendapat pembelaan sewajarnya dan diberi kedudukan yang sama seperti golongan biasa.

Perkara ini jelasnya dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW yang tinggi pekerti dan akhlaknya berinteraksi dengan golongan ini sehingga dirasakan diri mereka dalam kedudukan yang mulia.

Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Julaibib RA ialah seorang kelainan upaya yang sangat disayangi Nabi SAW. Julaibib RA dikatakan mempunyai saiz fizikal yang kerdil, tidak mempunyai rupa paras yang elok, tiada harta dan keluarga namun seorang periang dan suka bergurau senda.

Nabi SAW menganggap Julaibib RA seperti sebahagian daripada diri Baginda sendiri sehingga Baginda SAW berusaha mencari jodoh yang terbaik buat beliau.

Julaibib kemudiannya dikatakan menyertai perang bersama Rasulullah SAW dan syahid di saat sebahagian sahabat tidak menyedarinya kecuali Rasulullah SAW dan baginda bersabda “Aku telah kehilangan Julaibib”. Jasad Julaibib ditemui bersama tujuh mayat Musyrikin yang dibunuhnya dan Rasulullah SAW bersabda lagi; “Dia sebahagian daripada diriku dan aku sebahagian daripada dirinya”.

Terdapat kisah lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya perihal mengenai Abdullah bin Mas’ud RA yang dikenali sebagai seorang sahabat Nabi yang mempunyai saiz fizikal yang kecil dan lemah ketika Ibn Mas’ud memanjat sebatang pokok, Rasulullah SAW melihat sebahagian sahabat Baginda yang ketawa apabila melihat kaki Ibn Mas’ud yang kecil.

Lantas Rasulullah SAW bersabda; “Apa yang membuatkan kamu ketawa ? Sesungguhnya kaki Ibn Mas’ud lebih berat di atas timbangan amal berbanding Bukit Uhud.

Dosa Besar Menyakiti Golongan Kelainan Upaya

Hukum menyakiti golongan ini adalah jelas dilarang dan dilaknat oleh Allah SWT, sepertimana sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Adalah dilaknat orang yang memesongkan orang buta dari jalan laluannya” [Riwayat Ahmad]

Al-San'ani mengatakan bahawa hadis ini sebagai pedoman buat umat Islam supaya membantu orang kelainan upaya dalam apa jua bentuk supaya mereka boleh menjalani kehidupan seperti orang lain.

"Islam jelas membuktikan bahawa golongan lemah seperti OKU ini mempunyai tempat yang istimewa di sisi Rasulullah dan para sahabat sehinggakan mengabaikan hak mereka walaupun sedikit merupakan satu sikap dan perbuatan yang zalim dan mengundang kemurkaan Allah.

"Apatah lagi perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dengan mencederakan fizikal golongan yang lemah dan kurang upaya, bahkan perbuatan ini pastinya memberi kesan yang amat negatif terhadap emosi dan mental mereka. Jelas perbuatan ini satu dosa besar yang ditanggung di atas bahu si pelaku yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Justeru kata Luqman, peristiwa yang berlaku kepada adik Bella sama ada pengabaian atau penganiayaan fizikal dan mental oleh pihak tidak bertanggungjawab ternyata keluar daripada batas kemanusiaan yang mencerminkan keruntuhan akhlak serta krisis kerohanian masyarakat pada hari ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain