suria

Terlanjur buat silap, teladanilah sikap Nabi Adam dan Hawa! Usah jadi seperti iblis, bangga ingkar perintah Allah

Apabila melakukan sesuatu kesalahan segeralah bertaubat kepada Allah SWT.

SETIAP manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Namun begitu, perkara yang membezakan antara manusia yang baik dan manusia yang buruk adalah tindakan susulan setelah membuat kesilapan.

Manusia yang baik adalah, apabila dia melakukan kesalahan akan menyesal dan bertaubat. Tindakan yang mulia ini telah ditunjukkan oleh bapa dan ibu pertama kita dahulu, iaitu Nabi Adam dan Hawa.

ARTIKEL BERKAITAN: Lidah kelu saat sakaratul maut? Ini hukumkan jika bercakap ketika azan

Sebaliknya, manusia yang buruk adalah apabila dia melakukan kesalahan, dia tidak menyesal dan bertaubat. Bahkan lebih teruk lagi, jika dia berbangga dan bersifat angkuh dengan kesalahan tersebut. Tindakan buruk ini adalah sifat yang terdapat dalam diri iblis.

Kesalahan iblis dan keangkuhannya

Pada suatu masa dahulu, selepas penciptaan manusia pertama (iaitu Nabi Adam), Allah SWT telah memerintahkan kepada para malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam sebagai tanda penghormatan. Lantas, semua malaikat telah mematuhi arahan Allah SWT dengan bersujud kepada Nabi Adam.

174B293E50EED7B417

Jangan sesekali kita mempersoalkan hukum Allah..

Namun begitu, pada saat itu Iblis tidak sujud kepada Nabi Adam, iblis telah melakukan kesalahan dengan mengingkari arahan Allah SWT.

Malah, iblis bukan sahaja tidak menuruti arahan Allah SWT, iblis juga dengan angkuhnya mempersoalkan arahan tersebut. Apabila Allah bertanya kepada iblis, “Apa sebab engkau tidak patuhi arahan aku?” lantas iblis menjawab:

“Perlukah aku sujud kepada Adam, sedangkan aku lebih baik daripadanya? Aku diciptakan daripada api sedangkan Adam diciptakan daripada tanah!”. [Surah al-A’raf, ayat 12]

Iblis bukan sahaja melakukan kesalahan dengan keengganannya mematuhi arahan Allah SWT, malah dia begitu angkuh mempersoalkan arahan Allah SWT.

Akibat keengganan dan keangkuhan iblis ini, Allah SWT telah melaknat dan menjadikan iblis termasuk dalam golongan orang-orang kafir hinggalah ke hari akhirat.

Jika kita perhati gelagat dan sikap manusia pada zaman ini, tidak kurang yang bersikap angkuh dengan dosa dan kesalahan yang mereka lakukan. Sungguh, manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Akan tetapi, biarlah dosa-dosa yang kita lakukan itu dilakukan atas dasar kelemahan kita sebagai manusia.

perbuatan-dosanya

Sentiasa mengingati Allah dalam setiap apa kita lakukan.

Taubat Nabi Adam dan Hawa

Setelah peristiwa penciptaan manusia juga, Allah SWT mengarahkan Nabi Adam dan Hawa untuk tinggal di syurga. Mereka berdua dibenarkan untuk menikmati segala makanan dan kemewahan yang terdapat di syurga. Namun begitu, Allah SWT melarang mereka untuk menghampiri satu pokok.

Nabi Adam dan Hawa sentiasa mematuhi arahan Allah SWT. Bagaimanapun, pada satu masa syaitan yang menjadi musuh mereka telah menghasut mereka untuk menghampiri pokok tersebut. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran di dalam Surah Al-A’raf, ayat 20-21:

Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepada mereka agar menampakkan aurat mereka (yang selama ini) tertutup. Dan (syaitan) berkata, “Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini, agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam syurga)”. Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya, “Sesungguhnya aku ini benar-benar termasuk para penasihatmu.”

Akhirnya, Nabi Adam dan Hawa telah tertewas dengan hasutan syaitan. Akibatnya, mereka berdua telah dikeluarkan dari syurga dan telah diturunkan ke bumi.

Namun begitu, tindakan susulan dari Nabi Adam dan Hawa selepas melakukan kesalahan adalah berbeza dengan tindakan susulan dari iblis. Nabi Adam dan Hawa sama sekali tidak mempertikaikan arahan Allah SWT. Sama sekali tidak keluar dari mulut mereka, “Wahai Tuhan, kalau Engkau tidak mahu kami menghampiri pokok ini, kenapa Engkau cipta pokok ini?”.

Mereka berdua menyesali kesalahan yang telah dilakukan dan bertaubat dengan berdoa:

“Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.” [Surah Al-A’raf, ayat 23]

Allah SWT telah menerima taubat mereka kerana Allah SWT sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadaNya. Sungguh, rahmat Allah SWT kepada hamba-hambaNya sangatlah luas dan pintu pengampunan Allah sentiasa terbuka luas kepada hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadanNya.

Teladanilah tindakan yang telah ditunjukkan oleh bapa dan ibu pertama kita ini. Apabila terlanjur dalam melakukan sesuatu kesalahan, bersegeralah kembali dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Nabi Adam dan Hawa sama sekali tidak mempersoal atau mempertikai arahan Allah. Jangan sesekali kita mempersoalkan hukum Tuhan, seoalah-olah kita lebih mengetahui daripada Tuhan.

***Mohd Farouq Nukman adalah pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.

Artikel Lain