suria

Nikmat besar jika memiliki rumah, amalkan 4 perkara ini mohon perlindungan Allah sebelum masuk kediaman baharu

Membaca al-Quran ketika memasuki rumah baru merupakan perkara yang dianjurkan dalam Islam.

RUMAH ialah tempat manusia berlindung dan berasa selamat dari segala ancaman seperti cuaca hujan dan panas.

Bahkan rumah itu sendiri dilihat penting kerana memberi tempat berteduh dan berehat selepas penat melakukan tugasan harian. Oleh itu, suatu nikmat besar bagi seseorang sekiranya memiliki rumah.

Bagi orang Islam, perkara paling asas yang dilakukan untuk berpindah ke rumah baharu ialah mengucapkan syukur kepada Allah kerana merahmati dan memurahkan rezeki mereka untuk memiliki rumah.

Tiada amalan khusus yang diperintahkan oleh syarak ketika memasuki rumah baharu selain daripada berdoa supaya rumah yang kita diami itu diberkati.

Namun, jika bertujuan untuk mengharapkan keselamatan dan perlindungan Allah SWT daripada keburukan dan kejahatan syaitan, maka digalakkan melazimi perkara berikut;

1. Memberi salam

Berilah salam ketika memasuki sesuatu tempat yang tiada orang di dalamnya sebagaimana sabda Rasulullah:

Maksudnya: "Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni, katakanlah: Assalamu'alaina wa'ala ibaadillahis solihin – Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh" [Muwatta' Malik]

2. Membersihkan rumah baharu

Islam sangat mengutamakan kebersihan. Seeloknya, bersihkan keseluruhan rumah baharu supaya lebih selesa dan terhindar dari penyakit atau perkara yang tidak diingini.

Sentiasa memohon perlindungan untuk keluarga dan rumah yang baru didiami daripada Allah.

Sentiasa memohon perlindungan untuk keluarga dan rumah yang baru didiami daripada Allah.

3. Membaca Bismillah, berzikir dan berdoa ketika membuka dan menutup pintu

Sentiasa mengingati Allah dalam apa jua perkara yang kita lakukan untuk mengelakkan gangguan syaitan dan sebagainya. Sabda Rasulullah:

Maksudnya: "Apabila seseorang masuk ke dalam rumah lalu dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata 'Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam'. Tapi apabila dia tidak mengingati Allah ketika masuk, maka syaitan berkata: 'Kalian mendapatkan tempat menginap.'" [HR Muslim, 2018]

4. Membaca Surah Al-Baqarah

Sabda Rasulullah:

Maksudnya: "Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah." [HR Muslim, 780]

Salah satu amalan untuk memasuki rumah baharu ialah membaca surah Al-Baqarah seperti yang disebutkan dalam hadis. Tiada halangan jika ingin menghabiskan bacaan secara berperingkat mengikut keselesaan.

Oleh itu, apa sahaja perbuatan yang dilakukan dengan meniatkan kepada perkara yang baik adalah digalakkan untuk melakukannya.

Akan tetapi, jangan dilakukan dengan niat yang salah sehingga menimbulkan kepercayaan syirik atau riyak pada diri.

Pada masa sama, sentiasa memohon dan berharap supaya Allah melindungi diri, keluarga, dan rumah yang baru didiami daripada bahaya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan