PEJAM celik kita hanya ada beberapa hari sahaja lagi sebelum ketibaan Ramadan yang pastinya dinanti-nantikan umat Islam. Namun begitu, ada beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian ketika kehadiran bulan mulia ini, antaranya ialah soal fidyah. Ayuh kita mengulang kaji semula apa itu fidyah dan menjawab segala kekeliruan. Fidyah adalah topik perbincangan yang pastinya timbul setiap kali ketibaan Ramadan. (Gambar hiasan, Freepik) Apa itu fidyah? Fidyah merupakan denda ke atas umat Islam yang baligh akibat melanggar hukum dalam ibadah puasa, haji dan yang berkaitan. Jika hukum yang dilanggar berkait dengan ibadah puasa, maka fidyah akan dikenakan akibat meninggalkan puasa wajib sama ada kerana melewatkan puasa ganti (qada) atau atas sebab-sebab tertentu. Hukum fidyah Pembayaran fidyah hukumnya wajib. Ia perlu disempurnakan mengikut bilangan hari berpuasa yang ditinggalkan. Sekiranya tidak dilaksanakan, ia akan menjadi satu tanggungan atau hutang kepada Allah. Terdapat beberapa pembahagian kategori untuk mereka yang perlu membayar fidyah dan mereka yang perlu mengganti puasa. Ayuh kita semak satu-persatu. Hukum pembayaran fidyah adalah wajib. (Gambar hiasan, Freepik) Golongan yang dikenakan fidyah dan wajib mengganti puasa: - Perempuan hamil yang bimbangkan keselamatan kandungan jika berpuasa Ramadan. - Perempuan yang menyusukan anak dan bimbangkan keselamatan bayinya jika berpuasa Ramadan. - Wanita yang uzur syar’ie dan tidak menggantikan puasa dari Ramadan sebelumnya - Mereka yang melambatkan ganti puasa hingga melangkah ke Ramadan tahun yang berikutnya. Antara yang terlibat dengan pembayaran fidyah adalah ibu mengandung. (Gambar hiasan, Freepik) Golongan yang wajib mengganti puasa sahaja: - Wanita hamil yang bimbang keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan. - Wanita yang menyusukan anak dan bimbang akan keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan. - Orang yang musafir dan berbuka kerana musafirnya. Seseorang yang bermusafir pada bulan Ramadan dengan jarak jauh kira-kira 85 kilometer atau lebih, maka harus baginya berbuka puasa dan kemudian menggantikannya semula. - Orang yang sakit sehingga tidak dapat berpuasa kemudian sembuh semula. Fidyah yang tidak dibayar dikira sebagai satu hutang dengan Allah. (Gambar hiasan, Freepik) Golongan yang perlu membayar fidyah sahaja: - Orang tua yang sangat uzur dan tidak mampu berpuasa Ramadan. - Orang yang sakit dan tiada harapan sembuh. - Mereka yang meninggal dunia tetapi belum sempat menggantikan puasa, waris perlu membayar fidyah untuk si mati. Cara pengiraan fidyah Untuk kira bayaran fidyah anda perlulah gandakan nilainya dengan jumlah hari yang anda meninggalkan puasa. Sebagai contoh, Lembaga Zakat Selangor meletakkan nilai secupak beras adalah RM1.80 untuk kiraan fidyah di Selangor. Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahun. Jadi, sekiranya anda meninggalkan puasa selama tiga hari, maka kadar bayaran fidyah adalah: RM1.80 (1 cupak beras) X 3 hari = RM5.40 Jika anda melangkau tahun contohnya anda tidak berpuasa selama 3 hari pada tahun 2019 dan ingin gantikan puasa serta bayar fidyah pada tahun 2023, maka kadar fidyah adalah seperti berikut: RM1.80 (1 cupak beras) X 4 tahun X 3 hari = RM21.60 Sebagai makluman, nilai secupak beras mungkin berbeza mengikut negeri, sila rujuk pada pusat zakat negeri masing-masing. Bayaran fidyah boleh dibuat secara tunai melalui pejabat agama dan pejabat zakat negeri masing-masing atau secara atas talian melalui laman sesawang e-zakat negeri masing-masing. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube