KEDATANGAN Ramadan tentunya dinanti-natikan oleh umat Islam di seluruh dunia kerana ia merupakan satu-satunya bulan yang diwajibkan untuk berpuasa dengan dijanjikan ganjaran besar.
Malah, kita juga digalakkan melaksanakan ibadah lain seperti solat tarawih, qiamullail, khatam al-Quran dan sedekah untuk memperoleh pahala berlimpat kali ganda.
Bagaimanapun, terdapat beberapa ibadah sunat lain yang umat Islam mungkin terlepas pandang atau tidak tahu mengenai kepentingannya.
Melakukan solat sunat ba'diah Isyak adalah lebih afdal.
1.Solat sunat ba'diah Isyak
Solat sunat ba'diah Isyak atau solat sunat selepas solat fardu Isyak lebih afdal dilakukan sebelum menunaikan solat sunat tarawih.
Menurut agamawan Datuk Dr. Abdul Basit Abdul Rahmat, tindakan sengaja meninggalkan solat sunat ba'diah Isyak bagi mereka yang menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid dianggap sebagai perbuatan yang merugikan.
Ini kerana solat tersebut merupakan sunat muakad atau solat sunat yang dituntut bahkan ia juga menjadi amalan lazim buat Nabi Muhammad SAW.
“Sebahagian masyarakat selepas menunaikan solat fardu Isyak mereka tidak bangun melakukan solat ba'diah Isyak, saya perhatikan ada duduk bersandar, main telefon dan bersembang.
“Bila solat tarawih baru nak bangun, untuk pengetahuan semua ia merupakan satu kerugian besar kerana solat ba'diah Isyak termasuk dalam solat muakad,” katanya dalam satu video cermah di TikTok.
Berdasarkan pandangan yang sahih, Imam al-Nawawi menegaskan bahawa para ashab menyatakan solat sunat rawatib (ba'diah Isyak) lebih afdal kerana solat ia sentiasa dilakukan tidak seperti solat tarawih.
Dalam pada itu pendakwah bebas ustaz Wadi Anuar pula menjelaskan, ganjaran yang diperoleh sekiranya menunaikan solat sunat ba'diah Isyak sebanyak empat rakaat adalah sama seperti mendirikan solat pada malam lailatul qadar.
“Sesiapa yang solat sunat empat rakaat selepas Isyak dengan tidak dipisahkan di antaranya dengan taslim (salam), seolah-seolah solat itu didirikan pada malam lailatul qadar,” jelasnya dalam satu video ceramah di TikTok.
Amalan bersedekah digalakkan dalam Islam.
2. Sedekah
Bersedekah pada bulan Ramadan amat digalakkan kerana ganjaran yang diperoleh lebih besar berbanding bulan-bulan lain.
Oleh itu, pendakwah bebas Ustaz Fawwaz Matjan, menyarankan umat Islam untuk memberikan duit raya kepada keluarga terdekat lebih awal iaitu pada hari terakhir berpuasa bagi memperoleh ganjaran yang berlipat kali ganda.
Tambahnya, sekiranya amalan tersebut dilakukan pada pagi Syawal, ganjaran yang bakal diperoleh tidaklah sehebat seperti bulan Ramadan.
“Sekiranya kita berikan siap-siap duit raya kepada anggota keluarga sehari sebelum raya, pemberian kita itu masih dikira dalam bulan Ramadan maka pahalanya akan berganda.
“Boleh saja kita berikan kepada jiran dan saudara-mara semasa hari raya tetapi untuk keluarga terdekat sebaiknya diberikan siap-siap dalam bulan Ramadan,” ujarnya dalam satu video ceramah si TikTok.