IBADAH haji wajib dilakukan bagi yang berkemampuan kerana ia merupakan rukum Islam yang kelima.
Menjelang bulan haji atau Zulhijah, pasti ramai jemaah ingin membuat persediaan untuk mengerjakannya.
Selain fokus kepada kemampuan dari segi kesihatan, terdapat juga beberapa isu yang masih menjadi persoalan termasuk berkaitan kewangan dan harta.
Seperti yang dialami seorang wanita bergelar ibu tunggal ini, dia ingin mendapatkan penjelasan sekiranya tawaran mengerjakan haji ditolak atas faktor tiada sumber kewangan dan tidak bekerja.
Bagaimanapun, wanita ini menyatakan dia mempunyai beberapa utas gelang emas.
Mengulas tentang situasi yang dialami itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus (UAI) berkata hanya keperluan hidup manusia sahaja yang tidak wajib dijual.
"Wajib tak jual gelang emas untuk cukup (duit) pergi haji? Jawabnya, wajib.
"Yang tak wajib jual adalah keperluan hidup manusia, contoh, dia ada rumah dan dia duduk bersama anak isteri... duit tak cukup pergi haji.
"Kalau jual rumah, balik nanti kena menyewa... jadi tidak wajib sebab rumah keperluan hidup.
"Dia beli kereta untuk pergi kerja, hantar anak sekolah, kereta pertama yang perlu... tak wajib dijual untuk pergi Makkah," jelasnya.
Namun sekiranya individu tersebut mempunyai sebuah lagi kereta yang digunakan untuk meronda-ronda, maka kata UAI, ia wajib dijual.
Malah katanya, sekiranya kereta itu tidak dijual, individu tersebut akan menanggung dosa disebabkan dirinya dikategorikan sebagai sudah mampu.
"Oleh itu, kalau gelang tangan penuh, (apabila) jual boleh pergi haji, (tapi) dia tak jual... mati, berdosa sebab gelang bukan keperluan.
"Rumah keperluan manusia, dapur keperluan untuk memasak," tambahnya lagi.