suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tersalah kiblat, Mufti kongsi cara ubah arah tanpa batal solat... Orang ternampak disaran tegur secara lisan atau perbuatan

Orang yang menyedari kesilapan arah kiblat seseorang yang sedang solat disarankan menegurnya. -Gambar hiasan AI

MENGHADAP kiblat merupakan antara syarat sah solat yang wajib dipatuhi setiap umat Islam ketika menunaikan ibadah berkenaan.

Namun, bagaimana pula jika seseorang menyedari dirinya tersalah arah kiblat ketika sedang menunaikan solat?

Adakah dia perlu menghentikan solat dan mengulanginya semula atau memadai dengan mengubah kedudukan menghadap arah kiblat yang betul?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi ruangan soal jawab agama menjelaskan menghadap kiblat adalah wajib dan menjadi syarat sah solat sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 150 yang memerintahkan umat Islam supaya menghadapkan wajah ke arah Masjid al-Haram.

Berhubung cara menentukan arah kiblat, individu yang berada berhampiran Kaabah wajib menghadapnya dengan yakin.

Bagi mereka yang berada jauh pula, arah kiblat perlu ditentukan berdasarkan petunjuk kukuh dan tepat selepas berusaha mencari arah yang diyakini.

Tersedar salah kiblat ketika sedang solat

Mengulas mengenai situasi seseorang menyedari kesilapan arah kiblat ketika sedang solat, terdapat dua pandangan dalam kalangan ulama mazhab Syafie.

Pertama, seseorang perlu memulakan semula solat dengan menghadap arah kiblat berdasarkan ijtihad baharu.

Kedua, seseorang tidak perlu mengulangi solat sebaliknya hanya perlu memalingkan tubuh ke arah kiblat yang baharu sebelum meneruskan ibadah berkenaan.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pandangan kedua merupakan pendapat paling sahih dalam mazhab Syafie.

Malah, solat seseorang itu tetap sah walaupun terpaksa menghadap empat arah berbeza dalam satu solat disebabkan perubahan ijtihad.

Cara tegur individu yang tersalah kiblat

Dalam pada itu, orang yang menyedari kesilapan arah kiblat seseorang yang sedang solat disarankan menegurnya supaya individu berkenaan dapat membetulkan kedudukan.

Teguran boleh dilakukan sama ada secara lisan atau melalui perbuatan, bergantung kepada keadaan.

Sekiranya teguran dibuat secara lisan dan individu berkenaan menerima maklumat daripada orang yang dipercayai serta yakin arah kiblat yang dimaklumkan adalah tepat, dia wajib mengubah kedudukan mengikut arah baharu.

Bagaimanapun, jika teguran secara lisan tidak disedari atau tidak memberi kesan, teguran melalui perbuatan juga dibolehkan.

Caranya adalah dengan mengalihkan kedudukan individu yang sedang solat ke arah kiblat yang betul, namun tindakan itu perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menyebabkan solatnya terbatal.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan seseorang tidak boleh mengubah kedudukan individu yang sedang solat sekiranya arah kiblat yang dipertikaikan itu hanya berdasarkan perbezaan ijtihad.

Ini kerana terdapat kaedah fiqh yang menyebut bahawa sesuatu ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad yang lain.

Kesimpulannya, jika seseorang menyedari kesilapan arah kiblat ketika sedang solat berdasarkan petunjuk yang pasti, dia perlu mengubah kedudukan menghadap arah yang betul dan meneruskan solat.

Orang yang mengetahui kesilapan itu juga bertanggungjawab memberikan teguran sekiranya mempunyai kepastian mengenai arah kiblat sebenar.

Teguran berkenaan boleh dibuat secara lisan atau perbuatan dengan memastikan solat individu terbabit tidak terbatal akibat tindakan tersebut.

Artikel Lain

Najib kembali ke Penjara Kajang