suria

Umat Islam kini di zaman ‘Jababiro’... Fitnah dan kezaliman berleluasa

Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin menggambarkan dunia berada pada fasa kekejaman seperti yang disebut dalam Al-Quran. Gambar hiasan.

PERJALANAN kehidupan manusia silih berganti daripada bermulanya manusia pertama iaitu Nabi Adam AS sehinggalah kepada umat akhir zaman iaitu zaman kita hari ini.

Setiap umat bagi setiap nabi yang dilantik oleh Allah ada tempohnya bermula iaitu selepas Adam, muncul zaman Nabi Nuh, diikuti zaman Nabi Musa, Nabi Isa sehinggalah umat nabi terakhir iaitu nabi kita, Muhammad SAW.

Umat akhir zaman disebut kerana Muhammad ialah nabi terakhir dan penutup segala kenabian dan tidak akan ada nabi lagi yang dilantik oleh Allah selepas itu.

Maka kita pun ada tempohnya iaitu bila kita bermula dan pada zaman mana kita berada dan bila pula zaman kita akan berakhir atau dengan kata lain iaitu bilakah kiamat akan berlaku.

Mengenai persoalan ini, Rasulullah SAW bersabda:

"Akan datang kepada kalian masa kenabian, dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Kemudian, Allah akan menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya. Setelah itu, akan datang masa kekhilafahan ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah; dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya jika Ia berkehendak menghapusnya.

"Setelah itu, akan datang kepada kalian, masa raja menggigit, dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya. Setelah itu, akan datang masa raja diktator (pemaksa); dan atas kehendak Allah masa itu akan datang; lalu Allah akan menghapusnya jika berkehendak menghapusnya. Kemudian, datanglah masa Khilafah ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah (Khilafah yang berjalan di atas kenabian). Setelah itu, Baginda diam,” (HR. Imam Ahmad).

Manusia tidak lagi takut melakukan pembunuhan dan ini salah satu petanda akhir zaman. Foto AP, sekadar hiasan.

Hadis diatas diriwayatkan Ahmad, 4/273, dishahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Ash-Shahihah no. 5).

Dari hadis tersebut, Rasulullah menjelaskan bahawa hidup manusia terbahagi kepada lima zaman.

1. Zaman Nubuwwah - Yakni, zaman kenabian. Dimulai dari zaman Nabi Adam Alaihis Salam sehinggalah kepada baginda Nabi Muhammad.

2. Zaman Khilafah yang memimpin mengikut cara Nabi Muhammad - Pada zaman ini kepemimpinan dipegang oleh sahabat-sahabat Nabi SAW iaitu, saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali ra. Mereka memimpin selama hampir 30 tahun.

3. Zaman “Al-Mulk (kerajaan) yang menggigit” - Membawa dua maksud iaitu menggigit atau mengikut cara nabi SAW memimpin dan kedua menggigit dengan maksud ada sedikit ketidakadilan pada zaman ini dengan bermulanya kerajaan Bani Umayyah kemudian Bani Abbasiyyah dan berakhir dengan kerajaan Bani Uthmaniyyah di Turki yang runtuh pada tanggal 3 Mac 1924.

4. Zaman “Jababiro”  - Bermaksud zaman kepimpinan yang zalim. Apabila runtuhnya kerajaan Islam Bani Uthmaniyyah maka lahirlah kepimpinan dunia secara paksaan seperti penjajahan ke atas negara-negara di dunia oleh Pertugis, Belanda, Inggeris, Amerika Syarikat, Jerman, Sepanyol, Perancis dan Jepun secara paksaan ketenteraan.

Ini zaman fitnah yang amat dahsyat dan ia menguji umat Islam akhir zaman yang mana dalam banyak hadis nabi SAW memberikan ingatan kepada kita tentang bahaya zaman ini.

5. Zaman Khilafah ll - Satu zaman yang mana dunia akan kembali dipimpin seperti nabi SAW memimpin oleh seorang khalifah yang diberi gelaran Imam al-Mahdi.  Kemunculan Imam Mahdi ini menunjukkan tanda-tanda ia sudah berlaku. Insya Allah akan kita kupaskan dalam siri akan datang.

Pada akhir hadis iaitu selepas zaman kelima ini, nabi SAW diam. Maka ulama mentafsirkan bahawa dunia ini akan berakhir iaitu kiamat pada zaman kelima.

Dalam surah Al-A’raf ayat 187 Allah menegaskan bahawa “ …sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Maka bilakah akan berlakunya kiamat manusia tidak mampu memberikan tarikh tetapi manusia boleh mengetahuinya melalui tanda-tanda kiamat sebagaimana diajarkan oleh nabi SAW.

Persoalannya pada zaman mana kita berada sekarang? Maka terbukti kita berada pada zaman keempat.

Tapi bilakah akan berakhirnya zaman keempat ini dan bilakah bermula zaman kelima yang kita tunggu yang mana dunia akan kembali dipimpin oleh Islam dan keadilan akan disebarkan ke atas umat manusia?

Kemuculan zaman kelima apabila umat manusia sudah tidak tahan lagi dengan pelbagai bentuk kezaliman seperti pembunuhan jutaan manusia merata-rata tanpa belas kasihan, rogol di sana-sini, penculikan, penindasan dan sebagainya.

InsyaAllah pada siri akan datang kita boleh meneliti tanda-tanda kedatangan zaman kelima dengan kemunculan Imam al-Mahdi.

*** Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah kolej swasta.

akhir zaman, kiamat

Artikel Sebelum

Artikel Lain