suria

Ketahuilah azab terlibat dengan riba dan jangan ambil remeh simpanan, pinjaman bank

Bitcoin ialah satu pelaburan baharu yang semakin popular tetapi ia haram kerana terdapat riba dalam urusannya. Gambar: sekadar hiasan/AFP

ALHAMDULILLAH dalam dua siri yang lepas kita telah bincangkan tentang hutang dengan Allah dan hutang sesama manusia. Dalam siri kali ini insyaAllah, kita akan bincangkan mengenai hutang yang mana lebih dahsyat lagi sekiranya hutang tersebut melibatkan sumber yang haram seperti riba atau judi.

Dalam kehidupan, kita selalunya akan membuat beberapa pinjaman seperti untuk pembelian rumah.

Kalaulah pinjaman tersebut dibuat melalui bank konvensional dan bukannya bank-bank Islam dalam masa 30 tahun contohnya, maka hutang tersebut melibatkan sumber yang haram dan cara yang haram.

ARTIKEL BERKAITAN: Beratnya tak bayar hutang sehingga Nabi enggan solat jenazah si mati! Ketahui 10 perkara tentang orang berhutang

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan saja hutang sesama manusia perlu dibayar, kepada Allah juga hendaklah dilunaskan

Justreru kita akan berada dalam keadaan kufur dan berdosa selama 30 tahun kecuali kita bertaubat kepada Allah. Apa yang kita takuti adalah kita meninggal dunia sebelum sempat bertaubat kepada Allah.

Contoh-contoh lain yang turut membabitkan riba adalah seperti berikut:

1. Pembelian kereta atau apa jua kenderaan menggunakan pinjaman riba (sepatutnya kita ambik produk pinjaman cara Islam).

2. Pembelian perabut atau barangan lain menggunakan perjanjian pinjaman cara konvensional.

3. Menggadaikan barang kemas dengan cara konvensional bukannya di kedai pajak gadai Islam seperti Arrahnu.

4. Menukar barang kemas kita dengan yang baru yang tidak sama harga (sepatutnya cara halal adalah kita jual dulu barang kemas kita dan beli yang baru melalui dua transaksi yang berbeza).

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah memperkenalkan simpanan wang secara syariah sejak beberapa tahun lalu.

5. Menyertai insuran konvensional (Cara Islam adalah dengan mengambil Takaful).

7.  Membuat pinjaman peribadi secara konvensional dan bukannya secara islamik.

8. Menggunakan kad kredit konvensional.

7. Meminjam dengan orang perseorangan atau syarikat yang mengenakan faedah riba (Contohnya kita pinjam RM1,000 dan bayar balik RM1,300, maka RM300 itu ialah duit riba).

8.Terlibat dengan sebarang perjanjian yang melibatkan faedah riba seperti perjanjian jual beli rumah.

Biasanya diberikan tempoh dalam masa tiga bulan bagi bayaran tertunggak. Sekiranya pembayaran pembelian rumah tidak dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan tersebut, maka dikenakan faedah sebanyak lapan peratus atau 10 peratus, maka ia adalah wang riba. (Sepatutnya faedah lapan atau 10 peratus tadi dijadikan dalam bentuk bayaran sewa rumah untuk mengelakkan daripada riba).

10. Menyertai skim cepat kaya yang melibatkan riba.

11. Multilevel Marketing (MLM) mempunyia riba.

12. Pelaburan riba. Contohnya apabila wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kita tidak ditukar kepada simpanan secara Islam, maka simpanan tersebut akan terlibat dengan pelaburan berkaitan riba. Maka apabila kita keluarkan wang simpanan KWSP, sebahagian daripada dividen yang diterima ialah dariapda sumber yang haram dan ia perlu dibersihkan. Untuk makluman, zakat tidak boleh dikeluarkan daripada sumber yang haram.

13. Simpanan dalam bank konvensional yang terdapat riba (walaupun majikan memasukkan gaji dan kita tidak mengambil interest riba).

14. Forex Trading Online dan tidak patuh syariah.

15. Bitcoin tidak patuh syariah.

Pelaburan dalam Forex juga haram jika ia membabitkan riba. Gambar hiasan.

Maka dalam hal-hal yang melibatkan transaksi riba seperti di atas, sabda nabi Muhammad SAW; "Allah melaknat pemberi riba, pemakan riba, penulis dan penyaksi. Mereka semuanya sama" - (HR Muslim). Dalam hal ini, peguam yang menyediakan perjanjian riba sebagai penulis dan penyaksi juga turut dikira bersubahat.

Berikut ini antara firman Allah bagi orang yang terlibat dengan riba.

1. Allah akan bangkitkan mereka pada hari Akhirat seperti orang gila dirasuk oleh syaitan - [Al-Baqarah: 275].

2.  Allah dan Rasul SAW mengisytiharkan perang terhadap orang yang terlibat dengan riba (Imam Malik mengatakan; “Aku semak seluruh Al-Quran, tidak ada dosa yang Allah dan Rasul SAW isytiharkan perang kecuali terhadap pemakan riba) - [Al-Baqarah: 279].

3.  Termasuk di kalangan orang yang zalim - [Al-Baqarah: 279].

4. Allah akan memusnahkan orang yang terlibat dengan riba - [Al-Baqarah: 276]

(Saya teringat seorang jemaah masjid dia menceritakan bahawa setelah berhenti dari kerja bank konvensional dia dapat satu juta lebih, tapi dalam masa tiga minggu licin duitnya nak bayar hutang pun tak terkambus).

5.  Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang duduk dalam keadaan kufur dan bergelumang dosa (dalam tempoh pinjaman riba selama 30 tahun sebagai contoh) - [Al-Baqarah: 276].

6. Hidup mereka tidak akan tenang dan merasa takut miskin dan papa - [mafhum dari Al-Baqarah: 277].

7.  Mereka ahli neraka sekiranya tidak bertaubat - [Al-Baqarah: 275].

Antara sabda Nabi SAW terhadap orang/syarikat yang terlibat dengan riba.

Nabi SAW bersabda seperti berikut:

1. "Satu dirham riba yang diambil seseorang, maka dosanya di sisi Allah lebih besar daripada 36 kali berzina yang dilakukannya dalam Islam" - (HR Darul Quthni).

2. "Setiap orang yang banyak makan riba maka urusannya akan mengalami kekurangan" - (dan akhirnya kerugian) - (HR Ibnu Majah dan Hakim).

3. Dosa riba termasuk dalam tujuh dosa besar - (HR Abu Hurairah).

4. "Apabila zina dan riba bermahajalela dalam suatu negeri, maka sesungguhnya mereka telah menghalalkan azab Allah diturunkan kepada mereka" - (HR Hakim).

5. "Apabila riba bermaharajalela dalam suatu bangsa, maka mereka akan ditimpa tahun krisis ekonomi dan apabila rasuah bermaharajalela, maka mereka suatu masa akan ditimpa rasa ketakutan [seperti takut miskin, takut bankrap, takut dirompak dan lain-lain]" - (HR Ahmad).

6. "Empat golongan yang tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan merasakan nikmatnya, yang menjadi hak mutak Allah: Peminum arak, pemakan riba, pemakan harta anak yatim dan penderhaka kepada kedua ibu bapanya" - (HR Hakim).

7. "Menjelang hampir kiamat akan bermaharajalela zina, riba dan arak" - (HR Thabrani).

Setelah kita menyedari kesilapan lampau terlibat dengan riba, maka bagaimana cara bertaubat terhadap dosa berkaitan riba ini?

Sebagai contoh, apa yang boleh dilakukan ialah dengan perasaan sangat menyesal perlu menukar daripada pinjaman yang konvensional kepada pinjaman cara Islam (refinancing/pembiayaan semula) dan berazam tidak akan terlibat dengan dosa riba lagi. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk keluar dari gelumang dosa riba yang dikutuk ini.

Sebarkan sebanyak mungkin dan semoga bermanfaat dan menjadi sebahagian amal soleh kita. Kalau ada sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada saya melalui e-mel di [email protected]. Waallahu a'lam.

*** Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti.

riba, haram, hutang

Artikel Lain