suria

Kos tinggi sesi terapi, kaunseling anak istimewa dorong jayakan Projek Autisme Masjid secara percuma

Mohammad Hazwan Abdul Ghani (empat dari kiri) bersama sukarelawan yang juga penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut membantu sebagai terapi kerja pada Projek Autisme Masjid.

DIKURNIAKAN anak syurga autisme yang kini sudah memasuki usia empat tahun banyak menyedarkan Mohammad Hazwan Abdul Ghani tentang kepentingan dan keperluan dalam menjaga anak kesayangannya itu.

pemuda berusia 31 tahun itu memberitahu kos tinggi diperlukan untuk mengikuti program intensif terutamanya di hospital swasta mendorong dirinya untuk mengadakan projek khas bagi membolehkan ibu bapa kurang berkemampuan mendapatkan khidmat terapi dan kaunseling secara percuma.

Pilih masjid lokasi Projek Autisme

Enam bulan melakukan persiapan bersama rakan sukarelawan yang lain, Hazwan memberitahu Projek Autisme Masjid akhirnya menjadi kenyataan pada pertengahan April 2019 dan ia diadakan di Masjid Annur USJ 4, Subang Jaya, Selangor.

Masjid Annur USJ4, Subang Jaya menjadi lokasi Projek Autisme Masjid. 

"Saya memilih masjid kerana ingin orang ramai mendekatinya dan mengubah mentaliti masyarakat bahawa tempat itu hanya untuk tujuan beribadah.

"Alhamdulillah pihak masjid menyokong usaha murni kami dengan memberi ruang kepada ibu bapa berbilang kaum tempat untuk mengadakan program ini," katanya.

Bagaimanapun kata Hazwan, bagi membolehkan mereka mencapai sasaran, pihaknya akan membuat tapisan terlebih dahulu dan hanya menerima golongan benar-benar layak termasuk kanak-kanak dibawah enam tahun.

"Kami buat program ini kerana nak bantu ibu bapa tidak berkemampuan jadi kalau kami buka untuk semua golongan maka objektif projek ini tidak akan tercapai.

Walaupun mereka ada kekurangan tetapi sebagai ibu bapa kita harus ingat, anak-anak istimewa kita ini juga akan membesar dan perlu berdikari.

MOHAMMAD HAZWAN ABDUL GHANI 

SUKARELAWAN

"Malah kami hanya fokus kepada kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah kerana pada usia inilah paling sesuai untuk pencegahan awal serta terapi.

Terapi kerja, pertuturan dan latihan kemahiran secara percuma!

Dalam pada itu, Hazwan memberitahu menerusi Projek Autisme Masjid, mereka menyediakan tiga perkhidmatan penting termasuk terapi kerja serta terapi pertuturan kepada kanak-kanak autisme oleh ahli terapi berpengalaman.

Ibu bapa juga akan diberi pendedahan mengenai beberapa kemahiran dan latihan kemahiran hidup kepada kanak-kanak itu seperti melukis, menyediakan makanan ringkas serta mengaji.

"Walaupun mereka ada kekurangan tetapi sebagai ibu bapa kita harus ingat, anak-anak istimewa kita ini juga akan membesar dan perlu berdikari dan kemahiran ini sangat penting.

Antara sesi terapi yang diadakan bagi membantu kanak-kanak dengan sindrom Autisme.

"Jika tidak dimulakan sejak awal mereka tidak dapat menguruskan diri sendiri dan ia akan mendatangkan masalah apabila besar nanti," katanya.

Selain itu kata Hazwan, pihaknya turut menyediakan sesi kaunseling termasuk secara berkumpulan dalam berkongsi permasalahan dan cabaran dilalui setiap hari membesarkan anak autisme.

"Saya wujudkan sesi kaunseling ini kerana dalam masyarakat kita ia masih kurang diamalkan berbanding di negara maju seperti Amerika Syarikat.

"Ia sebenarnya sangat penting kerana ibu bapa juga perlukan tempat meluahkan perasaan mereka dan sebab itu juga saya wujudkan sesi melegakan hati secara berkumpulan kerana golongan ini memahami cabaran dan boleh berkongsi masalah masing-masing," ujarnya.

Angel Chong bersama anaknya Daniel Lim turut hadir bagi mendapatkan khidmat nasihat terapi.

20 ahli terapi tawar jadi sukarelawan

Hazwan memberitahu dia terkejut apabila projek itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak yang sanggup mengorbankan cuti hujung minggu mereka bagi sama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Malah sehingga kini, 20 ahli terapi profesional termasuk penuntut universiti turut serta sepanjang berlangsungnya program ini.

"Saya memang tidak boleh bergerak sendiri... Program ini adalah hasil kerja berkumpulan daripada sukarelawan yang mempunyai kepakaran masing-masing dalam menghulurkan bantuan.

"Saya juga melihat penglibatan penuntut universiti yang membantu adalah sebagai latihan industri serta dapat mengutip pengalaman dalam kerjaya mereka pada masa akan datang," katanya yang akan meneruskan projek itu setiap Sabtu selagi mendapat sambutan masyarakat.

Projek itu juga adalah kolaborasi bersama Persatuan Intervensi Autisme Malaysia dan Autisme Cafe Project selain dibantu oleh Fakulti Sains Kesihatan UKM, Persatuan Pelajar Terapi Carakerja UiTM Shah Alam, Sekolah Terapi Carakerja Universiti Perdana dan Sekolah Terapi Carakerja PICOMS serta Rehab360.

Asrul berharap Projek Autisme Masjid akan diteruskan. 

Ibu bapa harap Projek Autisme Masjid diteruskan

Bagi Asrul Asri, 33, dia bersyukur program seperti ini diwujudkan kerana kos untuk berjumpa dengan pakar terapi di hospital swasta sangat mahal.

Malah katanya, menerusi program ini dia bukan sahaja dapat mengetahui lebih lanjut mengenai situasi dialami anaknya tetapi berkenalan dengan ibu bapa yang turut mempunyai anak sindrom autisme.

"Anak saya disahkan mild autisme ketika usianya tiga tahun dan sejak itu saya banyak bergantung kepada internet bagi mendapatkan info tentang terapi dan penjagaan kerana kos berjumpa pakar terapi mahal.

"Alhamdulillah apabila mengetahui tentang projek ini saya dan isteri bawa anak kami untuk mendapatkan terapi serta kaunseling. Harapan saya agar program ini dapat diteruskan," katanya.

Kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai program tersebut atau mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Hazwan di talian 016-304 3464 atau layari Instagram @projekautismemasjid.

Artikel Lain