RAMADAN yang kita tunggu-tunggu hampir tiba sebagaimana kita selalu berdoa; “Ya Allah berkatilah pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanalah kami dengan bulan Ramadan.” Persoalannya sudah berapa kali Ramadan kita sudah melaluinya? Mungkin dah 10 tahun dan lebih tapi kita masih lagi malas untuk melakukan solat sebaliknya sekadar melakukannya pada hujung waktu sahaja. Begitu juga amalan membaca al-Quran sekadar dilakukan pada bulan Ramadan namun selepas itu, kitab suci berkenaan dilupakan. Sebenarnya bulan Ramadan ialah bulan latihan untuk jadi Muslim yang patuh dan taat kepada Allah. Solat sunat tarawih mempunyai banyak keberkatan. (Gambar Hiasan) Ini kerana pada bulan Ramadan Allah tutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga, Allah rantai segala syaitan sebagai bantuan kepada kelancaran dan keberkesanan latihan kita. Allah menegaskan bahawa; “Setiap perbuatan anak cucu Adam adalah untuknya kecuali puasa. Kerana puasa itu untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.” Dalam al-Quran Allah menyatakan; “sesiapa yang berjihad/berusaha pada jalan kami maka nescaya Allah akan berikan petunjuk/hidayah.” Nah sekarang Allah dah anugerahkan sebulan bulan Ramadan, maka berusahalah kita menuju jalan Allah dengan berpuasa, banyakkan bersedekah, banyakkan melakukan solat sunat, banyakkan baca dan tadabbur al-Quran, nescaya Allah akan berikan hidayah kepada kita. Cuma masalahnya seandainya kita tidak menjaga usaha kita tadi maksudnya tidak istiqamah sehingga ke hujung bulan. Ada sesetengah orang ke masjid untuk bersolat Terawih minggu pertama ada beberapa minggu sahaja. Apabila masuk minggu keempat, sibuk dengan urusan untuk buat kuih raya dan membeli kelengkapan hari raya. Banyakkan bersedekah kepada golongan memerlukan. (Gambar Hiasan) Oleh itu jadikanlah Ramadan kali ini sebagai bulan yang paling baik dalam hidup kita. Allah janjikan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, maksudnya buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang, nescaya Allah akan berikan jalan keluar dari segala masalah kita dan Allah akan berikan rezeki dari sumber yang kita tak sangka-sangka. Itulah ayat seribu dinar yang selalu kita gantung di dinding rumah, kedai dan pejabat.Tapi ramai yang tak faham bagaimana kita nak selesaikan masalah rumah tangga kita, bisnes kita, anak-anak kita, masalah jiran kita, masalah masyarakat kita maslah hidup dan mati kita. Rujuk idola kita baginda Nabi Muhammad SAW, apa yang baginda buat terutamanya ketika menyambut Ramadan? Ketika memasuki Ramadan, Rasulullah SAW selalu memperbanyakkan amalan kebaikan, lebihkan bersedekah, lebihkan mengerjakan amal-amal soleh terutama yang sunat seperti melakukan solat sunat Rawatib dan sunat-sunat yang lain. Amalkan juga sikap suka senyum ketika bertemu dengan kaum muslimin, menyambung silaturrahim, mengunjungi kaum kerabatnya, bersikap lemah lembut, senang memberi dan berkorban untuk orang lain dan Nabi SAW mengkhususkan bulan Ramadan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Elakkan pembaziran dan bersederhana ketika berbelanja membeli makanan. Apa istimewanya Ramadan? Inilah kelebihannya yang perlu diketahui: 1. Sabda nabi SAW: “Orang yang berpuasa pada bulan Ramadan denganpenuh keimanan dan penuh harapan maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” Tetapi yang Nabi SAW maksudkan adalah dosa-dosa kecil sahaja yang akan diampuni. Ada pun dosa besar memerlukan taubat yang khusus dan kalau dosa tersebut terlibat dengan manusia maka terlebih dahulu kesalahan tersebut dimaafkan oleh mangsa baharulah Allah akan ampunkan dosa tersebut. 2. Nabi SAW bersabda: “Di syurga terdapat sebuah pintu yang bernama al-Rayyan. Orang–orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu. Jika mereka telah masuk maka pintu itu akan dikunci sehingga orang–orang selain mereka tidak dapat masuk ke dalamnya.” 3. Nabi SAW bersabda: “Orang yang berpuasa satu hari ketika berjuang pada jalan Allah, wajahnya akan dijauhkan Allah dari neraka sejauh 70 kali musim luruh.” 4. Allah anugerahkan malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan. 5. Allah gandakan pahala amalan pada bulan Ramadan. Nabi SAW bersabda; Setiap amalan anak Adam pasti dilipatgandakan. Satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali kebaikan sehingga 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan tertentu sesuai kehendak Allah. Allah berfirman: “Kecuali puasa, kerana puasa itu milik-Ku dan Akulah yang akan memberikan balasannya.” 6. Nabi SAW bersabda: “Ketika sedang berbuka, seseorang yang berpuasa memiliki satu doa yang tidak akan ditolak oleh Allah.” Maka jangan lepaskan peluang ini berdoalah kepada Allah. 7. Segala syaitan dirantai, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga puasa bukan sahaja menahan makan dan minum, bahkan daripada segala maksiat mata, telinga dan mulut serta lain-lain anggota. Banyakkan membaca al-Quran, melakukan solat sunat dan bersedekah. Semoga Allah menjadikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan yang terbaik atau mungkin yang terakhir bagi kita sebelum berjumpa Allah. Kongsikan artikel ini semoga menjadi sebahagian amalan jariah kita pada bulan Ramadan. InsyaAllah.