suria

Mak ayah pergi tarawih, anak-anak hantar ke taska, UMT siap tawar iftar percuma!

Warga UMT berkumpul beramai-ramai sambil menunggu waktu berbuka. - Facebook Pusat Islam Sultan Mahmud UMT

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) terus mencipta kelainan dalam menyambut Ramadan kerana bukan sahaja menyediakan iftar percuma tetapi juga menyediakan ruang taska sementara ketika solat tarawih diadakan.

Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT Dr Riswadi Azmi berkata taska itu diuruskan oleh pelajar UMT dan ia dibuka bukan sahaja untuk golongan pelajar tetapi juga penduduk sekitar yang kurang berkemampuan.

"Lumrah untuk golongan ibu terutamanya tidak dapat menunaikan solat tarawih di masjid kerana tidak mahu anak kecil mereka mengganggu jemaah lain, sebab itu UMT sediakan khidmat taska sementara ini untuk mereka tidak ketinggalan melakukan ibadah itu dengan lebih tenang tanpa risaukan anak mereka.

"Pusat Islam sangat mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan Ramadan di universiti ini agar hubungan pelajar dan komuniti terus terjalin mesra," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Sesi iftar di masjid dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara umat Islam. - Facebook Pusat Islam Sultan Mahmud UMT

Menurut Riswadi, juadah percuma itu dinikmati kira-kira 800 pelajar kurang berkemampuan di UMT dan ia merupakan program yang telah bermula sejak 2015, melibatkan 300 pelajar ketika itu.

Tajaan program itu diterima menerusi kakitangan universiti, komuniti setempat, syarikat korporat dan swasta serta individu perseorangan yang peka dengan nasib pelajar kurang berkemampuan malah sejak 2015, jumlah tajaan semakin meningkat.

Perbelanjaan program juadah iftar itu dijangka meningkat kepada RM100,000 untuk Ramadan kali ini berbanding RM80,000 pada tahun lepas berikutan semakin ramai pelajar yang berada di akhir semester mengalami masalah kewangan.

"Menerusi program sama, UMT turut meraikan keluarga miskin yang tinggal berhampiran kawasan universiti dan keluarga pelajar untuk bersama-sama berbuka puasa, solat maghrib dan isyak seterusnya solat tarawih di Pusat Islam bagi mengimarahkan lagi Ramadan kali ini,” katanya. - Bernama

UMT, taska, solat tarawih

Artikel Lain