TEH mutiara atau 'bubble tea' semakin menjadi kegilaan di negara ini selepas ia menjadi satu fenomena. Bukan sahaja rasanya enak, bebola hitam kenyal yang disedut bersama minuman pelbagai perisa tersebut menambah keenakan produk ini yang berasal dari luar negara ini. Kini, pelbagai jenama minuman 'bubble tea' muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan di pasaran. Namun, baru-baru ini seorang pelayar Facebook menimbulkan persoalan tentang status halal dua jenama minuman 'bubble tea' yang cukup popular dalam kalangan pelanggan Muslim iaitu Xing Fu Tang dan The Alley. Posting yang dimuat naik gadis itu pada Ahad menjadi tular sehingga menerima lebih 5,800 komen dan 7,700 perkongsian di Facebook. Minuman jenama The Alley dan Xing Fu Tang yang semakin popular dalam kalangan penggemar 'bubble tea'. - Twitter @fikrisyafiq92 "Disebabkan saya teringin sangat nak minum, tapi hati rasa ragu-ragu, terus saya semak status halal minuman ini. "Yang The Alley tu dalam proses (mendapatkan persijilan) halal Jakim. Nanti dah dapat (sijil halal) boleh beratur beli. "Tapi yang Xing Fu Tang tidak ada (sijil halal)," tulisnya pada posting tersebut. Perkongsian gadis berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang secara tidak langsung turut meragui status halal minuman jenama tersebut. Penjelasan oleh Xing Fu Tang. - World of Buzz Sementara itu, kenyataan ringkas yang didakwa dikeluarkan oleh Xing Fu Tang yang tersebar di internet memaklumkan bahawa produknya mendapat perakuan halal dari Taiwan dan bebas kandungan khinzir. Manakala The Alley melalui Insta Story memberitahu, semua produknya menggunakan bahan semula jadi dan tidak mengandungi sebarang bahan bukan tenusu atau alkohol. Kenyataan berhubung status halal minuman The Alley. - World of Buzz "Kami juga dalam proses mendaftarkan pensijilan halal dengan Jakim," katanya. Bagi mendapatkan penjelasan yang lebih tepat, mStar menghubungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu ini. Sumber Jakim memberitahu, premis makanan Xing Fu Tang dan The Alley masih belum menjadi pemegang sijil halal Malaysia berdasarkan semakan oleh jabatan tersebut. Minuman Xing Fu Tang dan The Alley popular dalam kalangan pelanggan Muslim. "Bahagian ini menegaskan bahawa premis makanan yang menggunakan bahan mentah atau ramuan yang telah dipersijilkan halal tidaklah bermaksud ia boleh memperihalkan premis makanan tersebut sebagai telah dipersijilkan halal. "Melainkan hendaklah diperakukan halal oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) selaku pihak yang berautoriti dalam Pensijilan Halal Malaysia," jelas Jakim melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa. Jelas sumber, pengguna hendaklah memeriksa tiga ciri utama Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk mendapatkan kepastian tentang status halal premis. Ciri-ciri tersebut adalah mempamerkan logo Halal Malaysia di hadapan atau pintu premis, mempamerkan sijil pengesahan Halal Malaysia yang asal dan masih sah tempoh di premis serta maklumat tentang premis yang boleh disemak melalui direktori Halal Malaysia. "Premis yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia tidak akan dipaparkan. "Sekiranya terdapat premis yang mendakwa telah mendapat pengesahan halal, sila pastikan premis tersebut memiliki ketiga-tiga ciri ini," ujar kenyataan tersebut. Jakim menggariskan tiga ciri utama untuk mengenal pasti Sijil Pengesahan Halal Malaysia. - Foto Bernama Tanpa ciri-ciri tersebut, Jakim memaklumkan bahawa status pengesahan halal premis terbabit adalah diragui. Antara bentuk kekeliruan yang digunakan oleh premis untuk memperdaya pengguna adalah dengan mempamerkan logo halal tanpa kebenaran atau logo halal palsu atau tidak diiktiraf oleh Jakim. Selain itu, terdapat juga premis yang memperdaya pengguna dengan perbuatan mempamerkan salinan sijil halal bahan ramuan atau pembekal; mengubah suai dan mempamerkan salinan sijil halal premis lain; mempamerkan hiasan ayat al-Quran atau perlambangan bercirikan Islam (bulan, bintang, atau masjid) bagi premis milikan bukan Islam. Sekiranya pengguna mendapati terdapat sebarang penyalahgunaan logo atau sijil halal, aduan boleh disalurkan terus ke emel [email protected] atau pesanan terus ke Facebook Bahagian Hab Halal Jakim.