suria

Ramai umat Islam tidak rebut peluang masuk syurga! Ikutilah tip saranan nabi

Jadikanlah amalan membaca surah Al-Mulk pada setiap malam iaitu sebelum tidur kerana ia mampu menjadi penyelamat ketika di alam Barzakh. Gambar hiasan /AFP

SALAM sejahtera kepada semua pembaca mStar. Semoga kita dapat menambahkan amalan baik kita pada penghulu hari dalam seminggu. Banyak-banyakkan berselawat keatas baginda Nabi Muhammad SAW. Allahumma solli ala Muhammad dan mengamalkan sunnahnya.

Kalau kita perhatikan realiti umat manusia hari ini dengan melakukan pelbagai kemaksiatan kepada Allah, solat entah ke mana, berpaksikan keseronokan tanpa batasan agama, mengumpul harta tanpa menghiraukan halal dan haram, nampak seperti mereka akan hidup selama-lamanya.

Ia seolah-olah tiada kematian, tiada pertanyaan hisab daripada Allah sedangkan mereka tahu syurga itu cuma bagi orang yang beriman dan melakukan amalan kebaikan bukan bagi orang yang melakukan kejahatan.

Tak nakkah mereka masuk syurga Allah yang kekal selama-lamanya? Berbeza dengan dunia yang sementara ini, yang Allah jadikan sebagai perhiasan sementara sebagai ujian kepada kita manusia hambaNya siapakah yang paling baik amalannya.

Dalam ayat kedua surah al-Mulk yang kita disarankan membacanya setiap malam sebelum tidur Allah berfirman: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda: “Semua umatku akan masuk ke dalam syurga melainkan yang enggan.” Sahabat berasa hairan lalu bertanya: “Ya Rasulullah! Siapa yang tidak mahu masuk ke syurga?”

Rasulullah SAW menjawab: “Siapa yang taat kepadaku bererti dia mahu masuk syurga dan siapa yang menyalahi ajaranku maka itulah orang yang tidak mahu masuk syurga.”

Antara perkara yang tuntut ialah melakukan solat secara berjemaah tidak kiralah di surau ataupun masjid kerana ada ganjaran yang menanti.

Atas tujuan itulah Allah telah mengutus nabi-nabi dan rasul rasul kepada umat manusia setiap masa dari Nabi Adam AS sehinggalah nabi terakhir iaitu Muhammad SAW dan apabila nabi SAW wafat, baginda meninggalkan sahabat-sahabat dan ulama-ulama sebagai pengganti bagi meneruskan kerja kenabian menyebarkan kebaikan memberikan peringatan kepada yang lalai.

Allah berfirman dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107: “Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”

Tetapi malangnya manusia pada hari ini mereka tidak endah dan enggan taat kepada peringatan Allah dan rasul melalui ajaran agama tok guru-tok guru, ulama-ulama, ustaz-ustaz yang sentiasa mengajak kepada kebaikan dan memberi peringatan.

Sebaliknya golongan itu dikutuk, dihina, dicerca, dimaki hamun, disekat dan dihalang dari menjalankan dakwah mengajak manusia menuju syurga Allah.

Bahkan kemaksiatan dan perkara yang haram dan menuju jalan ke neraka itulah yang dipuji dan disanjung.

Sabda nabi SAW: “ Ulamak itu adalah pewaris nabi.”

Dalam hadis lain nabi SAW bersabda daripada Jabir RA beliau berkata Rasulullah bersabda: “Perumpamaan aku dan perumpamaan kamu seperti seorang lelaki yang duduk berdekatan unggun api, maka banyaklah belalang dan rama-rama yang menjatuhkan dirinya ke dalam api itu. Lalu orang itu berusaha sekuat tenaga untuk menghalang binatang-binatang tadi supaya tidak jatuh ke dalamnya. Aku (Rasulullah SAW) berusaha memegang simpulan kain sarung kamu supaya tidak jatuh ke dalam jurang api neraka, namun banyak di kalangan kamu yang masih mahu melepaskan diri daripada peganganku.” - [HR Muslim].

Dalam satu hadis daripada Ibnu Abbas RA dan Imran bin Husain RA beliau berkata nabi Muhammad SAW bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan orang fakir.

Aku melihat ke dalam neraka kebanyakan penghuninya adalah daripada golongan perempuan - [HR Bukhari dan Muslim].

Dalam satu hadis daripada Ibnu Abbas RA dan Imran bin Husain RA beliau berkata nabi Muhammad SAW bersabda: Aku melihat ke dalam syurga kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan orang fakir.

Daripada hadis di atas menunjukkan bahawa kebanyakan orang fakir disebabkan mereka banyak masa beribadat kepada Allah, tidak berapa sibuk dan tidak banyak urusan dengan manusia maka mereka terselamat semasa hisab Allah yang sangat terperinci.

Manakala kebanyakan orang kaya mereka tiada masa beribadat kepada Allah dek kerana sibuk mengumpulkan harta dan menjaganya daripada berkurang serta juga mungkin kerana terlibat dengan urusan-urusan yang haram.

Mereka tidak lepas daripada hisab Allah. Sama jugalah dengan ramai wanita yang akan diazab disebabkan mereka derhaka dan tidak menunaikan hak suami serta tidak menutup aurat dengan sempurna.

Sebab tu dalam hadis yang lain nabi SAW bersabda ramai dalam kalangan wanita yang memakai pakaian tetapi mereka seperti telanjang!

Kalau kita lihat hari ini, masyaAllah pakaian wanita sangat ketat sehingga mereka seperti bertelanjang. Bahkan fesyen terbaru berlubang sana berlubang sini! Kalau kita lihat di media sosial dalam seribu orang ada tak sepuluh orang yang menutup aurat dengan sempurna!

Sebenarnya itulah pilihan manusia sama ada mereka memilih melakukan amalan kebaikan ataupun tidak, yang nabi SAW sifatkan sebagai enggan masuk syurga.

Kita lihat beberapa saranan nabi SAW dan apa yang manusia akan pilih nak atau tak nak?

1. Apabila kita merasakan semasa kita di akhirat kita sangat memerlukan syafaat daripada baginda Nabi SAW maka saranannya banyakkan selawat ke atas baginda nabi SAW, kelak di akhirat nabi SAW akan memberikan syafaat. Tetapi berapa ramai yang memilih untuk berselawat dengan banyak?

2. Nabi SAW menyarankan supaya kita membaca surah al-Mulk sebelum tidur, kelak ia akan menjadi penghalang dari siksa kubur. Berapa ramai yang memilih untuk membacanya dan berapa ramai yang enggan menyediakan “bodyguard” semasa di alam kubur?

3. Nabi SAW menyarankan supaya kita selalu melakukan solat berjamaah di masjid kerana ia akan memudahkan jalan ke syurga. Nah lihat berapa orang sahaja yang memilih untuk melakukan solat berjamaah di masjid atau surau. Kalau nak dibandingkan dengan perlawanan bola sepak atau konsert maksiat di stadium, puluhan ribu orang sanggup pergi.

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita memilih jalan ke syurga. Kalau dah terlajak dan tersalah jalan sesungguhnya Allah maha pengampun dan maha menerima taubat daripada hamba-hambaN yang ingin menuju syurga, tempat tinggal kekal abadi.

InsyaAllah. Kongsikan ilmu ini sebanyak mungkin semoga menjadi asbab insan lain kembali menuju jalan ke syurga Allah.

***Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti.

syurga, Al-Mulk, nabi, syurga, neraka, akhirat

Artikel Lain