SALAM kepada semua pembaca mStar, semoga dirahmati Allah. InsyaAllah kali ini kita akan bercerita tentang segolongan manusia yang dinamakan Yakjuj dan Makjuj. Bebasnya Yakjuj dan Makjuj adalah merupakan tanda besar kiamat ketika Nabi Isa AS diturunkan ke dunia oleh Allah buat kali kedua dari langit selepas Allah bebaskan Al-Masih Dajjal. Tetapi tahukah kita siapa, bagaimana rupa dan di mana Yakjuj dan Makjuj berada sekarang? ARTIKEL BERKAITAN: Tutup makanan dan pintu rumah... Elak kediaman diganggu jin dengan 7 amalan ini Terdapat sepuluh fakta yang perlu kita tahu tentang Yakjuj dan Makjuj. 1. Dari mana asal keturunan Yakjuj dan Makjuj? Yakjuj dan Makjuj adalah keturunan Nabi Adam dari anak Nabi Nuh AS yang mempunyai 3 orang anak iaitu Sam, Ham dan Yafits. Kemudian anak Yafits bernama Mada, Yunan, Makjuj, Tubal, Misk dan Tiran. Maka Yakjuj dan Makjuj adalah dari anak keturunan Yafit. 2. Bagaimana rupa Yakjuj dan Makjuj? Nabi SAW bersabda; “…sesungguhnya kalian berkata ‘tidak ada musuh,’ dan sesungguhnya kalian tiada henti memerangi musuh sampai Yakjuj dan Makjuj datang, lebar wajahnya, sepet matanya, perang rambutnya, dari setiap tempat yang tinggi mereka muncul, seolah-olah wajah mereka itu perisai yang dipukul (HR Ahmad). Dalam kitab Ensiklopedia Akhir Zaman dikatakan wajah mereka mirip orang Mongolia atau Tartar. Dipercayai benteng yang dibina menempatkan Yakjuj dan Makjuj ialah di sebuah kawasan pergunungan. Gambar hiasan. 3. Berapa ramai Yakjuj dan Makjuj? Dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW bersabda; “…di antara Yakjuj dan Makjuj seramai 999 dan dari kalian satu” - (HR Al-Bukhari). Itulah nisbah Yakjuj dan Makjuj dan manusia menunjukkan betapa ramainya mereka bahkan Nabi SAW bersabda; “Sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu termasuk anak keturunan Nabi Adam, andai kata mereka dilepaskan nescaya mereka akan merosakkan kehidupan manusia. Tiada seorang lelaki pun yang mati di antara mereka kecuali dia meninggalkan keturunannya yang berjumlah 1,000 orang atau lebih....” - [HR Attabrani]. Ya Allah ramainya mereka. 4. Apa yang disebutkan dalam al-Quran berkenaan Yakjuj dan Makjuj? Di dalam surah al-Kahfi ayat 93 hingga 98, Allah menceritakan kisah Yakjuj dan Makjuj dan Raja Zulkarnain. “Apabila Raja Zulkarnain sampai di antara dua gunung dia dapati satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak memahami perkataan. Mereka berkata: “Wahai Zulkarnain sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi, oleh itu setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” “Dia (Raja Zulkarnain) menjawab (kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhan aku jadikan, daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); Oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai- ramai) aku akan bina di antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.” Hasil pertemuan itu mereka dimaklumkan, memang penduduk di situ setiap hari akan mengetuk pintu besi Yakjuj dan Makjuj sebanyak tiga kali sehari dan kemudian merapatkan telinga pada pintu untuk mendengar reaksi dari dalam tembok berkenaan. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi sehinggalah ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia kemudian perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga ia menjadi merah menyala seperti api. Berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan ke atasnya. Maka mereka (Yakjuj dan Makjuj) tidak dapat memanjat (tembok) dan mereka juga tidak boleh menebuknya.” Ayat Al-Quran di atas menceritakan ketika Raja Zulkarnain tiba di negeri yang terletak berdekatan dua buah bukit (Armenia), penduduk di situ meminta pertolongannya kerana mereka menjadi mangsa kekejaman kaum Yakjuj dan Makjuj. Raja Zulkarnain yang mahsyur dengan kekuatan tentera dan kebijaksanaannya menawarkan bantuan secara percuma, lalu dibina dinding di antara dua buah bukit itu dari potongan besi, lalu dibakar dengan api dan kemudian dituangkan tembaga agar dinding kuat dan kukuh. Akibatnya, Yakjuj dan Makjuj tidak lagi dapat masuk ke negeri itu kerana mereka tidak boleh mendaki bukit atau membuat lubang melaluinya. 5. Di mana Yakjuj dan Makjuj berada sekarang? Pada zaman Abbasiah, Khalifah Al-Wathiq Billah telah bermimpi bahawa tembok Yakjuj dan Makjuj telah terbuka dan baginda mengarahkan satu ekspedisi yang diketuai oleh Sallam bersama dengan 50 anggota ekspedisi pergi ke tembok Yakjuj dan Makjuj dengan mengeluarkan belanja yang besar sebanyak 5,000 dinar. Menurut catatan Sallam, rombongannya berangkat ke Armenia dan menuju ke arah Utara ke daerah Rusia. 27 hari Sallam mengharungi perjalanan sehingga sampai ke satu kawasan tanah hitam dan berbau busuk. Selama 10 hari Sallam melewati daerah yang menyesakkan itu. Kemudian ditunjukkan satu daerah yang tidak berpenghuni yang dihancurkan oleh Yakjuj dan Makjuj. Selama enam hari mereka berjalan menuju ke daerah dan kawasan gunung tempat Yakjuj dan Makjuj berada. Sallam kemudian pergi menuju pergunungan Yakjuj dan Makjuj yang terpisah lembah. Luas lembah sekitar 150 meter ditutupi tembok berpintu besi setinggi 50 meter. Setelah sampai di pergunungan Yakjuj dan Makjuj tersebut maka mereka pun berjumpa dengan penduduk yang tinggal di kaki pergunungan Yakjuj dan Makjuj. Hasil pertemuan itu mereka dimaklumkan, memang penduduk di situ setiap hari akan mengetuk pintu besi Yakjuj dan Makjuj sebanyak tiga kali sehari dan kemudian merapatkan telinga pada pintu untuk mendengar reaksi dari dalam tembok berkenaan. Setiap ketukan itu dibuat, penduduk akan mendengar gema teriakan dari dalam. Sallam juga pernah bertanya kepada penduduk sekitar pergunungan apakah mereka pernah melihat Yakjuj dan Makjuj? Mereka mengaku pernah melihat sekumpulan Yakjuj dan Makjuj di atas tembok penutup lalu ketika itu datangnya angin yang kuat melemparkan mereka semula untuk masuk ke dalam tembok. Penduduk mendakwa melihat tubuh mereka sangat kecil. Kalau menurut catatan Ibnu Bathutah dalam kitab Rihlat Ibnu Bathutah, pergunungan Yakjuj dan Makjuj berada sekitar enam hari perjalanan dari negeri China. Catatan ini tidak bertentangan dengan Al-Syarif Al-Idrisi. Menurut tulisan ulama Abul Kalam Azad dan penulis lain bahawa di Utara Georgia terdapat satu timbunan besar tembok yang dibuat dari besi bercampur tembaga. Kisah mengenai Yakjuj dan Makjuj serta Raja Zulkarnain turut disebut dalam al-Quran menerusi surah Al-Kahfi. Gambar hiasan. Pergunungan itu terletak di Greater Caucasus Mountains, di suatu kawasan yang sempit antara dua bukit Dariel, satu bukit curam memanjang dari Laut Hitam hingga Laut Qazwain, panjangnya 1,200km dengan ketinggian 3,950 kaki. Sehinggakan lambang negara Georgia sangat mirip dengan lambang Zulkarnain menggunakan matahari, bulan dan lima bintang! 6. Akan terbukakah tembok Yakjuj dan Makjuj? Dalam surah al-Kahfi ayat 98: “Dan setelah itu berkatalah Zulkarnain: ini adalah suatu rahmat dari Tuhanku, dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar.” Dalam satu hadis dari Zainab Binti Jahsyi RA, bahawa Nabi SAW masuk ke kamarnya dalam keadaan ketakutan, seraya bersabda: “Lailahaillallah, celakalah orang Arab dari kejahatan yang sudah semakin dekat, hari ini sudah terbuka tutup Yakjuj dan Makjuj seperti ini, baginda melingkarkan ibu jari dan jari telunjuk. Aku berkata, Wahai Rasulullah, apakah kita akan binasa sedangkan di tengah-tengah kita masih ada orang-orang soleh? Rasulullah menjawab, “Ya, apabila kejahatan bermaharajalela.” - [HR Bukhari]. 7. Bagaiamana tembok Yakjuj dan Makjuj boleh terbuka? Dalam satu hadis Nabi SAW, menyatakan bahawa setiap hari kerja sebahagian Yakjuj dan Makjuj ialah menebuk tembok. Ketua mereka mengarahkan apabila malam hampir tiba, baliklah dahulu dan kerja menebuk disambung semula esok. Malangnya apabila mereka datang keesokan hari, mereka dapati tembok yang ditebuk semalam itu ditampal semula seperti tiada tebukan. Itulah kejra Allah yang maha mengetahui. Begitulah kerja sebahagian mereka setiap hari sehingga satu masa yang ditentukan Allah, ketua mereka akan mengungkapkan ayat dengan menyebut perkataan InsyaAllah: “Baliklah kamu esok kita sambung semula insyaAllah tembok akan terbuka. Maka kerana perkataan itulah keesokan harinya ketika mereka melakukan kerja-kerja menebuk, maka tembok tersebut akan terbuka. Ini disebabkan ketua mereka menyebut perkataan insyaAllah. 8. Apa yang akan Yakjuj dan Makjuj musnahkan? Allah berfirman surah al-Anbiya ayat 96 “...hingga apabila dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi” dan akan membunuh setiap manusia, binatang dan melakukan kerosakan yang amat dahsyat. 9.Siapakah yang selamat? Nabi SAW bersabda bahawa Allah berfirman kepada nabi Isa AS supaya membawa hamba-hambanya ke Bukit Tursina dan berlindung di situ. Itulah manusia yang Allah selamatkan dari dibunuh Yakjuj dan Makjuj. 10. Bagaimanakah Yakjuj dan Makjuj dihapuskan? Tiada siapa yang mampu membunuh Yakjuj dan Makjuj hatta Nabi Isa AS yang diturunkan ke bumi buat kali kedua pada waktu itu sendiri tidak mampu membunuhnya. Lalu Nabi Isa AS dan kaum muslimin yang bersama dengannya berdoa kepada Allah dan Allah makbulkan doa mereka. Lalu Allah menghantar sejenis virus seperti dalam hidung unta dan menyerang setiap leher Yakjuj dan Makjuj dan mereka akhirnya mati sekali gus. Dikatakan banyaknya mayat mereka seperti bangkai belalang. Kematian itu menyebabkan bumi berbau busuk selain mayat manusia yang dibunuh mereka. Nabi Isa AS bersama muslimin berdoa lagi kepada Allah supaya menyelesaikan masalah mayat manusia yang tersangat ramai. Lalu Allah menghantar sejenis burung besar dan mengangkat mayat Yakjuj dan Makjuj dan manusia lain ke satu tempat yang cuma Allah sahaja yang mengetahuinya. Tetapi sisa-sisa darah dan nanah masih lagi berbau busuk. Mereka berdoa lagi kepada Allah supaya menghilangkan bau busuk tersebut. Kemudian Allah menurunkan hujan yang lebat membersihkan seluruh bumi dari sisa sisa dan bau busuk dan bumi akhirnya bersih sebersihnya sehinggakan air hujan yang turun seperti manik manik yang jernih jatuh ke bumi. Semoga kita mendapat manfaat daripada perkongsian ini dan penuhilah hidup dengan amalan untuk menempuh ujian akhir zaman. Sila kongsikan artikel ini dan anda boleh melawat ke YouTube saya Ustaz Coopers. ***Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti.