suria

Dosa terhadap ibu bapa dibalas Allah di dunia... Jangan dicemuh ketika usia tua mereka

Berbakti kepada orang tua semasa usia lanjut mereka menjadi penyebab untuk mendapat syurga Allah. Gambar hiasan.

BERBAKTI kepada orang tua sudah menjadi satu tuntutan dalam Islam. Ini kerana sebagai menghargai pengorbanan mereka yang tidak putus-putus untuk membesarkan anak-anak dengan sebaik mungkin dan menjadikan kita seorang manusia yang berguna.

Perintah berbakti kepada ibu bapa dirakamkan oleh Allah didalam Surah Al-Isra' ayat 23 yang maksudnya;

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.  Jika salah seorang daripada kedua-dua mereka sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sesekali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 ancaman untuk orang berhutang, kata-katanya juga dusta

Dewasa ini kita sering kali dikejutkan dengan berita-berita yang menyayat hati bagaimana seorang anak yang sanggup membunuh ibu bapa dek kerana harta. Ada yang sanggup mendera ibu bapa mereka dan ada juga yang suka memaki hamun orang tuanya.

Menghadiahkan ayat-ayat suci al-Quran  kepada ibu bapa dapat membantu mereka mendapat  rahmat Allah.

Sabda baginda Rasulullah:  Kehinaan, kehinaan, kehinaan. Baginda ditanya: Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga. - [HR Muslim 2551].

Kunci utama bagi seseorang untuk masuk syurga adalah dengan mentaati ibu bapanya dan berbakti kepada mereka selagi mana mereka tidak menyuruh melakukan kemaksiatan dan kemurkaan kepada Allah.

Berbakti kepada kepada ibu bapa boleh dibahagikan kepada dua keadaan:

1. Semasa mereka hidup

Berbakti kepada ibu bapa sewaktu hidup boleh disebut dalam beberapa perkara antaranya ialah:

A. Bercakap dengan nada yang lemah lembut kepada mereka tanpa menggores hati mereka dengan perkataan-perkataan yang kasar. Ini berdasarkan firman Allah seperti yang disebutkan tadi didalam Surah Al-Isra' ayat 23.

B. Membantu dan meringankan beban mereka dengan memberi wang pembelanjaan sekadar termampu.

C. Sentiasa mengambil tahu keadaan mereka terutama daripada sudut kesihatan.

Sabda Rasulullah: Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana aku dapat ini? Allah berfirman: Dengan istighfar anak kamu kepadamu.

[HR: AHMAD 10610]

D. Sering menelefon mereka jika  kita berada jauh daripada ibu bapa agar mereka mengetahui bahawa kita sentiasa mengambil berat terhadapnya.

E. Sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka agar sentiasa dirahmati dan diredai Allah.

F. Menjaga mereka ketika mereka sakit.

G. Menyantuni mereka ketika usia mereka sudah lanjut.

 2. Setelah mereka meninggal dunia

A. Mendoakan mereka supaya mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Sabda Rasulullah: Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibubapanya. - [HR Muslim 1631].

Salah satu manfaat yang bakal diterima ibu bapa selepas mereka meninggal dunia ialah doa yang dikirimkan daripada anak yang soleh.

B. Melunaskan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya. Seperti mana dalam sebuah hadis telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” - [HR al-Bukhari (1953].

C. Selesaikan hutang-hutang ibu bapa yang telah pergi kepada sesama manusia setakat yang mampu.

D. Menziarahi sahabat-sahabat kepada ibu bapa. Agama kita amat menganjurkan setiap umatnya untuk menyambung pertalian silaturrahim dengan sesiapa sahaja dan bukan sahaja sesama ahli keluarga sahaja.

E. Tunaikan segala wasiat yang ditinggalkan sebaik mungkin.

F. Bersedekah untuk mereka dengan niat khusus agar sedekah itu sampai ganjarannya kepada arwah ibu bapa.

Ibu bapa kita tidak pernah meminta jasa mereka dibalas. Cukup bagi mereka untuk melihat semua anaknya bahagia dan berjaya didunia dan akhirat.

Ada diantara kita yang menyesal atas perbuatan mereka dahulu yang pernah melukakan hati atau tidak patuh kepada orang tuanya.

Anak-anak perlu dilatih agar menyayangi ibu bapa selain mendoakan kesejahteraan orang tua masing-masing. Gambar hiasan.

Apabila melalui detik kehilangan itu, baharulah hadir perasaan rindu. Sekiranya masa itu dapat diundur, sudah pasti hendak saja anak itu sentiasa berbuat baik serta memohon keampunan kepada ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, janganlah berasa terlalu kecewa kerana peluang itu sebenarnya masih ada walaupun mereka sudah meninggalkan kita.

Sabda Rasulullah: Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana aku dapat ini? Allah berfirman: Dengan istighfar anak kamu kepadamu. - [HR Ahmad 10610].

Dan ingatlah dosa kepada ibu bapa akan dibalas di dunia lagi sebelum akhirat.

Ini berdasarkan hadis nabi SAW: Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendakNya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” - [HR al-Hakim 7263].

Semoga kita menjadi anak yang soleh dan solehah yang sentiasa menjadi permata buat ibu dan ayah.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

Doa Ibu Bapa

Artikel Lain