suria

Lambang sebuah kasih sayang, isteri bawa anak autism bercuti tanpa suami

Shahriza akan sediakan aktiviti untuk anaknya dalam penerbangan yang lama.

MERANCANG percutian bersama anak-anak tanpa ditemani suami boleh mengukir memori indah dan menarik sekiranya jadual perjalanan seorang isteri diatur dengan teliti.

Mungkin tidak semua ibu-bapa mampu melakukannya atas faktor kewangan, namun bagi yang berkemampuan sudah pasti ia detik manis yang boleh dirakam untuk dikenang pada hari tua nanti.

Bagi Shahriza Embi,  dia lebih banyak menghabiskan masa bercuti bersama anak lelakinya, Ahmad Fawwaz Azman yang kini berusia 14 tahun.

Menurut wanita berusia 43 tahun ini, pertama kali dia bercuti berdua ketika anak tunggalnya itu berusia lapan tahun dan memilih London serta Paris sebagai lokasi percutian sulung mereka.

Idea untuk membawa anaknya menemaninya tercetus apabila suaminya, Azman Ab Ghani yang ketika itu bekerja sebagai wartawan tidak dapat mengambil cuti untuk tempoh lama.

"Ada satu hari saya tiba-tiba rasa tertekan kerana hal kerja dan rasa nak pergi ke satu tempat jauh, nak lupakan semua kerja dan ambil cuti panjang.

Shahriza dan anaknya ketika di Hobbiton, New Zealand.

"Ketika itu, suami bekerja sebagai wartawan dan dia tidak dapat ambil cuti yang panjang. Jadi, saya hanya beli tiket untuk pergi bersama anak.

"Saya pun kemas barang, pergi bercuti dengan anak. Masa itu, tak tahu nak pergi mana tapi apa salahnya pergi London selama seminggu dan buat trip satu hari ke Paris.

"Percutian itu saya lakukan secara spontan dan itulah kali pertama saya bercuti berdua dengan anak sahaja yang ketika itu usianya baru lapan tahun," katanya kepada mStar Online.

Menurut wanita yang bekerja sebagai Pengurus Komunikasi Dalaman di sebuah syarikat berkaitan kerajaan, bagi memastikan percutian mereka lancar, dia perlu membuat persiapan dan keperluan awal untuk anaknya.

Baginya, paling penting perjalanan yang ditempuhi turut memberi ilmu kepada anaknya dan sekurang-kuranngya dia dapat mempelajari sesuatu, bukan hanya menikmati percutian semata-mata sahaja.

Great Ocean Road, Australia pada Disember 2016.

Biarpun Fawwaz mengidap sindrom Asperger, namun dia tidak mempunyai masalah untuk menguruskan keperluan dan kehendak anaknya sepanjang percutian mereka. 

Penghidap sindrom Asperger dikategorikan sebagai penghidap autisme sederhana, yang mana antara ciri-ciri ketara penghidap sindrom ini adalah kemahiran sosial yang sangat rendah.

"Saya rasa setiap ibu dan bapa faham, tahu perangai dan keperluan anak-anak mereka. Pertama sekali kena sediakan aktiviti seperti baca buku atau tonton movie untuk anak supaya tak bosan dalam perjalanan.

"Anak saya ini mengidap sindrom Asperger atau lebih kurang seperti autisme tapi tahap yang rendah dan hampir seperti kanak-kanak yang normal cuma ada kekurangan.

"Dia ada had setiap apa yang dilakukan. Lagi memerlukan saya untuk memahami dan tahu apa keperluanya. Jadi, saya kena rancang perjalanan kami.

Foto kenangan ketika berada di Brighton Beach, Melbourne, Australia.

"Yang penting, dia belajar sesuatu bukan hanya berseronok untuk cuti semata-mata. Bila bercuti jauh, dalam penerbangan lama anak mudah bosan kena sediakan aktiviti," ujarnya.

Selepas London dan Paris pada Mac 2012, Shahriza mula membuat perancangan percutian mereka setiap setahun sekali bermula ke North Island New Zealand pada November 2013.

Pada Mac 2014 pula, mereka melancong ke Singapura dan kemudian meneruskan percutian ke Austria serta Switzerland pada Mac 2015.

Lokasi seterusnya mereka memilih Melbourne dan Great Ocean Road pada Disember 2016 dan terbaru mereka menikmati percutian di United Kingdom pada September lalu. 

Pastinya ia lambang kasih sayang tiada sempadan seorang ibu buat anaknya dan pastinya ia akan dikenang dan menjadi topik perbualan santai apabila meniti usia kelak.

travel, autism

Artikel Lain